Kejadian pukul 1 pagi itu berlaku ketika mangsa, Lans Koperal Nyzam Bahtiar, 35, bertugas dalam Ops Rempit bagi membanteras gejala lumba haram yang sering dilaporkan di kawasan itu, berhadapan sebuah kem tentera di Batu 3.
Menurut Nyzam, semasa sibuk memeriksa kenderaan lain, tanpa diduga, sekumpulan penunggang motosikal meluru laju ke arah mereka.
"Motosikal-motosikal itu begitu laju dan tanpa saya sedari sebuah daripadanya terus merempuh sisi saya.
"Saya pitam dan tidak sedarkan diri. Saya hanya berasa sakit apabila tersedar di bilik kecemasan, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya masa itu," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kluang di sini hari ini.
Nyzam berkata, kejadian itu tidak melunturkan semangatnya sebagai anggota polis trafik malah menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan reda.
"Ini kali pertama kejadian seteruk itu berlaku kepada saya tetapi ia tidak akan melunturkan semangat untuk terus berkhidmat," ujarnya.
Ditanya sama ada dia memaafkan perbuatan suspek, Nyzam yang ditemani ibunya, Hasnah Ishak, 56, berkata, biar undang-undang yang menjadi penentu.
Nyzam yang berasal dari Taiping, Perak telah berkhidmat sebagai anggota polis trafik sejak 10 tahun lalu dan mempunyai seorang anak.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, suspek yang berusia 17 tahun bersama enam penunggang motosikal lain dikatakan berlumba dari Batu Pahat ke arah Mersing.
Katanya, suspek yang menunggang motosikal EX5 berjaya ditahan selepas terjatuh dan mengalami kecederaan manakala yang lain melarikan diri.
Mohd. Fawzi turut meluangkan masa melawat mangsa yang dirawat di Hospital Kluang. Suspek turut dirawat di wad yang sama dengan mangsa.
.
2 Penyokong CHELSEA:
alahai kesiannya lah
hmmm kesian incik polis tu
Post a Comment