Wednesday, December 21, 2011

Penduduk gempar 27 kubur diselongkar


Sebanyak 27 kubur masyarakat Iban di Balai Nyabong, Brayang, dekat sini telah menjadi mangsa pencerobohan apabila kubur itu diselongkar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada awal pagi Sabtu lalu.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, daripada 27 kubur yang telah diceroboh itu, lima daripadanya telah diselongkar manakala 22 lagi kubur masih belum sempat digali.

Menurutnya, penduduk yang terkejut dengan perbuatan tersebut menyifatkan kejadian berkenaan sebagai tidak bertamadun kerana tindakan mereka telah menyebabkan tulang, rangka badan, tengkorak dan pakaian si mati bertaburan di merata-rata tempat.
"Perbuatan itu disedari pada pagi Sabtu lalu apabila dua penduduk kampung yang menghantar bahan binaan kubur milik salah seorang penduduk di rumah panjang Undi Brayang Kemuntang, dekat sini melalui kawasan berkenaan.

"Kedua-dua mereka terkejut selepas melihat kubur berkenaan diselongkar manakala barang- barang si mati bertaburan di sekeliling tanah perkuburan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Kedua-dua penduduk terbabit telah bergegas semula ke rumah panjang Undi Brayang Kemuntang bagi memaklumkan mengenai kejadian itu kepada penduduk di situ.
Sementara itu, Lingoh Ampak, 45, berkata, kubur milik saudaranya turut menjadi mangsa pencerobohan kubur pada kejadian kali ini.

"Kami tidak dapat menerima perbuatan ini dan ia adalah perbuatan kejam. Kami juga tidak pasti apa yang dicari dan sudah pastinya ini perbuatan tidak bermoral," ujarnya.
Linggih Bungin, 38, pula berkata, berdasarkan jejak dan kesan pencerobohan yang terdapat di tempat kejadian itu, mereka percaya perbuatan tersebut berlaku pada awal pagi.

"Mereka mungkin meninggalkan kawasan perkuburan ini apabila mendapati ada orang datang menghantar bahan binaan di tanah perkuburan berkenaan," ujarnya.
Kejadian yang terbaru itu merupakan insiden kedua di tanah perkuburan berkenaan dengan yang pertama dilaporkan berlaku pada 2008 membabitkan kira-kira 28 kubur.










.

2 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on December 22, 2011 at 8:48 AM said...

kes yang dah melampau ni...

Adzrien Shoppe on December 22, 2011 at 5:41 PM said...

teruknya diaorg ni..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!