Tanya rakan di sekeliling anda mengenai ular, pasti ramai malah mungkin semua mereka menyatakan rasa takut terhadap haiwan berbisa itu.
Apatah lagi serangan haiwan itu boleh mendatangkan pelbagai komplikasi lebih-lebih lagi sekiranya mangsa merupakan seorang kanak-kanak.
Di India misalnya, kadar kematian manusia yang disebabkan patukan ular dianggarkan antara 1,300 ke 50,000 orang setahun.
Bagaimanapun, fakta-fakta itu tidak sedikit pun menggentarkan Yahya Abdullah, 60, yang menganggap reptilia itu sebagai rakan karibnya.
Berasal dari Batu Pahat, Perlis, Yahya atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya bukan sahaja tidak kekok memegang ular, malah cukup selesa 'beraksi' dengan haiwan itu yang dianggap teman sepermainan.
Semuanya bermula sewaktu Yahya masih berusia tujuh tahun. Ketika itu datuknya, Muhammad Karnaian yang berketurunan Siam sudah mula menjinakkan diri dengan ular sehingga mendorongnya berkongsi minat yang sama.
"Ketika itu saya diajar memegang haiwan tersebut kerana arwah datuk dahulu keturunannya dari Thailand memang pandai bermain ular.
"Namun, pada usia 30 tahun, baru saya berani 'bermesra' dengan ular punti yang berwarna hitam berkilat disertai jalur kuning," katanya.
Ular punti yang hidup di hutan hujan dan monsun tropika mempunyai kepala dan mulut yang besar bagi membolehkannya menelan mangsa seperti tupai dan telur burung.
Yahya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, adik beradiknya yang lain tidak berminat mendekati ular kerana tidak mahu meninggal dunia akibat patukan haiwan tersebut.
Namun, alah bisa tegal biasa, meskipun, pernah dipatuk tiga kali sebelum ini, ia tidak sesekali membuat Yahya gentar untuk terus 'bersahabat' dengan haiwan tersebut.
"Kali terakhir saya dipatuk adalah semasa hari kedua Aidilfitri lalu oleh seekor ular tedung sehingga dimasukkan ke Hospital Taiping.
"Sebelum ini, saya juga pernah dipatuk ular tedung dan King Cobra' ketika cuba menjinakkan mereka," katanya yang kini menetap di Lembah Beriah, Bukit Merah.
Menceritakan pengalamannya dalam berdepan dengan pelbagai spesies reptilia itu, Yahya memberitahu, ular tedung merupakan yang paling berbisa.
Dia yang memperoleh lesen untuk memiliki haiwan tersebut menyimpan dua ekor ular tedung di sebuah kandang tertutup di belakang rumahnya.
"Ular tedung apabila 'bangun', kepalanya kembang dan matanya tidak berkelip. Namun, apabila 'berdiri' tegak, ia tidak akan mematuk melainkan berundur ke belakang sedikit sebelum berbuat demikian.
"Ular tidak akan mematuk sekiranya tidak berasa dirinya terancam. Oleh itu, kalau terserempak di hutan, terus sahaja diamkan diri dan jangan bergerak.
"Begitu juga kalau tidak ingin rumah dimasuki ular, hendaklah dipastikan bahawa katak dan tikus juga tidak bersembunyi di dalamnya," nasihat Yahya.
Bapa kepada enam anak itu memberitahu, dia sering dihubungi beberapa agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu sebarang usaha menyelamat berkaitan dengan ular.
Menurut Yahya, cara terbaik memegang ular adalah di bahagian lehernya ketika keadaan kering memandangkan sentuhan di hujung 'ekor' haiwan berkenaan akan menyebabkan reptilia itu bertindak balas.
Tambahnya, bagi mencium ular, keadaan posisi badan harus ditundukkan ke bawah kerana mata haiwan pemangsa itu tidak akan nampak sepenuhnya.
"Saya tidak percaya dengan mana-mana petua yang menyimpan batu delima tertentu untuk mudah berdamping dengan ular, itu semuanya karut," kata Yahya yang turut dijemput mengadakan persembahan di Bukit Merah Laketown Resort.
HADIAH MENARIK UNTUK LULU O_o
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment