Tuesday, October 11, 2011

Inginkan anak secepat mungkin...


Hampir sepuluh bulan mendirikan rumah tangga, pasangan Irwansyah dan Zaskia Sungkar masih belum menunjukkan ciri-ciri untuk menimang cahaya mata.
Kata Irwan, jika dahulu mereka merancang untuk tidak mempunyai cahaya mata dalam masa terdekat tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Menurut Irwan, keinginan untuk mendapatkan anak amat perlu bagi melengkapi kehidupan mereka sebagai suami isteri.

“Ya, dulu memang kami merancang untuk menunda dulu soal anak kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.
“Tapi bila melihat rakan-rakan seusia kami sudah mempunyai anak sendiri timbul pula rasa mahu mempunyai cahaya mata.

“Insya-Allah kalau boleh saya macam mahu sekarang,” ujar Irwansyah seperti dipetik DetikHot.com.
Kata Irwan, dia tidak pernah merancang berapa orang cahaya mata yang diinginkan.
“Kalau boleh saya mahu anak ramai tapi bergantung kepada ibunya, apa pun saya harap peminat mendoakan yang terbaik buat kami,” ujarnya.








.

Lantai Konkrit Bangunan Pembinaan KL Sentral runtuh..


“Ketika sibuk menyapu di pintu masuk, secara tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat diikuti bunyi kecoh dari arah tapak pembinaan bersebelahan KL Sentral,” kata pekerja pembersihan, Adrasyid, 37.
Sejurus terdengar dentuman pada jam 11 pagi itu, saksi berkenaan bergegas ke bahagian luar bangunan untuk melihat kejadian dan mendapati berlaku runtuhan di tapak pembinaan pusat beli-belah kira-kira 50 meter dari KL Sentral.


Dalam kejadian itu, satu bahagian pelantar di tapak pembinaan berkenaan runtuh menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 35 tahun terjatuh dari ketinggian empat meter sebelum terperangkap di bawah timbunan konkrit.
Difahamkan, pekerja berkenaan menyapu konkrit di pelantar berkenaan dan tidak sempat menyelamatkan diri sebelum beberapa pekerja lain yang menyedari insiden terbabit memberi bantuan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata pasukan bomba dan penyelamat yang tiba sebaik mendapat laporan kejadian membawa keluar mangsa pada jam 11.20 pagi.


“Berdasarkan pemeriksaan, konkrit di pelantar berkenaan dipercayai belum kukuh dan siap sepenuhnya menyebabkan berlaku runtuhan.

“Ketika melakukan kerja berkenaan, mangsa lengkap memakai alat keselamatan termasuk topi keselamatan bersama sembilan pekerja lain.

“Bagaimanapun, tahap kecederaan mangsa belum dapat dipastikan dan dia sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Laporan awal menyatakan mangsa cedera ringan pada bahagian luaran, namun pemeriksaan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kecederaan dalaman.

Menurut Wan Abdul Bari, pihaknya sudah memberi arahan kepada pekerja untuk mengosongkan tapak berkenaan dan menghentikan seketika proses pembinaan sehingga pemaju memberi kebenaran memulakan semula kerja.






.

Berhenti kerja deminya


BUKAN mudah untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Itu adalah hakikat yang terpaksa dilalui oleh finalis pertandingan Raja Lawak musim ketiga (RL3) dan Maharaja Lawak iaitu Jihan yang pernah bekerja dalam sektor kerajaan dan pada masa sama aktif dalam bidang lakonan.
Namun, demi minatnya dalam bidang lakonan, Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Muse sanggup berhenti kerja. Dia kini berlakon sepenuh masa selepas berhenti kerja sebagai juruteknik di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ogos lalu.

"Sewaktu menyertai RL3 saya masih bekerja di MBSA. Saya telah bekerja di situ sejak empat tahun lalu secara kontrak. Demi masa depan saya dalam bidang lakonan saya rasa lebih baik berhenti kerja supaya saya dapat menumpukan perhatian dalam bidang lakonan.

"Sekarang saya lebih senang untuk berlakon kerana tidak terikat dengan kerja lain. Kalau dulu, aktiviti lakonan saya biasanya pada hujung minggu. Saya telah memikirkan untuk berhenti kerja sejak dua tahun lalu tetapi baru sekarang saya buat keputusan," katanya kepada Hits.
Menurut pelakon kecil molek berusia 28 tahun ini, kini dia berasa puas dan lebih senang untuk menerima tawaran berlakon teater, drama mahupun filem yang semakin banyak diterimanya sejak kebelakangan ini.
Pemegang diploma dalam bidang senibina dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak ini misalnya, baru sahaja tamat menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk Cinta Tampal sebanyak 13 episod yang telahpun ditayangkan di Astro Warna (Saluran 132, Astro) pada September lalu.

"Selepas musim RL3 berakhir saya banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem. Filem pertama lakonan saya, Adik Manja the Return masih belum ditayangkan.
"Sementara drama Suka Benci Kamu (Astro Ria) dan Moh Ke Cafe Kita (TV3) telah pun ditayangkan baru-baru ini. Selain itu, teater terbaru lakonan saya bertajuk KL Ku telah dipentaskan di Stor Teater, DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) hujung bulan lalu," jelasnya.

Jihan yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, dalam banyak cabang lakonan, dia paling meminati dunia pementasan teater yang begitu dekat dengan jiwanya sebelum menyertai RL3.
Ini kerana katanya, bidang lakonan teater lebih banyak memberi kepuasan kepadanya berdasarkan persembahan lakonan secara langsung di hadapan para penonton berbanding drama atau filem yang dihasilkan secara rakaman.

"Sebelum menyertai RL3 ataupun berlakon drama dan filem, saya terlebih dahulu terbabit dalam pementasan teater. Dunia teater sudah sebati dalam jiwa saya.

"Saya berasa lebih puas berlakon teater kerana ia dipersembahkan secara langsung. Semua itu mencabar kemampuan saya dalam menghayati sesuatu watak itu.
"Semua itu secara tidak langsung menambahkan lagi keyakinan serta membantu saya sewaktu menjadi pengacara majlis. Ini kerana, selain berlakon saya juga banyak mendapat tawaran menjadi pengacara majlis," ujarnya.

Sehubungan itu, dia tidak menafikan banyak terhutang budi dengan pelakon yang juga aktivis teater, Fauziah Nawi yang banyak membimbingnya untuk menjadi seorang pelakon teater yang berketrampilan.
Jelas Jihan, sebelum dikenali ramai menerusi RL3, dia banyak mengikuti persembahan teater terbitan Sanggar Teater Fauziah Nawi atau Stefani milik Fauziah Nawi.

"Bagi saya dunia lakonan teater banyak membantu mempertingkat mutu lakonan saya. Ia secara tidak langsung menambahkan lagi keyakinan saya berdepan dengan orang ramai terutamanya pada persembahan yang diadakan secara langsung di atas pentas," jelasnya lagi.









.

Mahal wei....


Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal.
Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.

“Saya pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin hawa.

“Selepas ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ashraf yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.

“Walaupun saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.
Harga segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70 manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal pula RM5 hingga RM8.







.

Telinga hampir putus digigit isteri


Aneh tetapi itulah yang berlaku. Gara-gara ingin beristerikan wanita muda rakyat asing, seorang lelaki warga emas bukan sahaja tidak mendapat haknya sebagai suami, malah dia turut menjadi ‘mangsa’ penderaan isterinya.
Usia lelaki itu sudah mencecah 61 tahun dan belum pernah berumahtangga. Keinginannya untuk memperisterikan wanita yang muda dan cantik akan tercapai jika dia menjelaskan sejumlah wang kepada agensi mencari jodoh.

Bagaimanapun, perkahwinan lelaki itu dengan seorang gadis warga Vietnam berusia 29 tahun berakhir dengan kekecewaan apabila wanita itu melarikan diri baru-baru ini.
Lebih malang, mangsa turut digigit di telinga kirinya sehingga hampir putus oleh wanita itu. Wanita itu turut memberikan patung beruang untuk dijadikan teman tidur bagi menggantikan dirinya selain mengugut untuk memotong kemaluan mangsa jika dia cuba ‘menyentuhnya’.

Chin Weng Seng yang mengahwini wanita itu pada 5 Julai lalu, terpaksa menanggung kerugian RM18,916 iaitu bayaran untuk proses perkahwinan tersebut.
Menceritakan nasib malang yang menimpanya, pemandu teksi itu memberitahu, dia membayar RM5,000 sebagai pendahuluan untuk membawa pulang wanita itu ke rumahnya pada tarikh berkenaan.
“Pada 22 Julai, saya membayar sejumlah RM11,800 kepada agensi itu diikuti satu lagi bayaran sebanyak RM2,116 untuk pengurusan visa pada 16 Ogos lalu.

“Pada awal perkenalan, wanita itu tidak memberi sebarang masalah tetapi sebaik sahaja saya menyelesaikan bayaran terakhir kepada agensi, saya lihat dia mula berubah apabila tidak membenarkan saya menyentuhnya.
“Malah isteri saya menolak setiap kali saya cuba bermesra dengannya. Dia juga beberapa kali menghalau saya keluar dari rumah dan memberitahu saya dia menghidap penyakit HIV positif,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini, hari ini.

Weng Seng berkata, kesabarannya hilang apabila wanita asing itu yang dikenali sebagai Le Thi Quang menggigit telinganya sehingga hampir putus pada 2 Oktober lalu menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis.
“Polis kemudian menasihatkan isteri saya untuk tidak mengasari saya tetapi dia beberapa hari kemudian, dia bertindak melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau menerima lima laporan kes keganasan rumah tangga melibatkan wanita warga Vietnam sejak tahun lalu.
“Kita berjumpa dengan agensi berkenaan tetapi mereka meminta Weng Seng untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5,000 untuk menukar isteri yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengahwini warga asing supaya lebih berhati-hati.







.

Bakar diri sendiri


Orang ramai yang berada di Jalan Pasir Putih di sini, gempar apabila melihat 'tindakan berani mati' seorang lelaki yang membakar dirinya sehingga menemui ajal di kaki lima jalan itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, Chong Nam Choon, 68, yang melecur teruk di seluruh badan, meninggal dunia beberapa minit selepas api berjaya dipadamkan oleh orang ramai.
Seorang saksi, K. Lasar, 42, memberitahu, dia mulanya menyangka kepulan asap tebal dan api marak di kaki lima berhampiran stesen minyak itu adalah longgokan sampah yang dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Dia yang bergegas menghampiri tempat kejadian terperanjat apabila mendapati apa yang disangkanya longgokan sampah itu rupa-rupanya tubuh seorang lelaki yang mengerang kesakitan dipercayai cuba membunuh diri.

Lasar berkata, dia kemudian cuba membantu memadamkan api di tubuh lelaki itu dengan mengipas menggunakan bajunya sambil menjerit meminta bantuan orang ramai.
"Tidak lama kemudian, orang ramai mula datang dan menjirus air pada tubuh lelaki itu yang sedang mengerang kesakitan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.







.

Pintar kamu yer...


Dua penjenayah melarikan barangan kemas bernilai RM500,000 selepas menggerudi peti besi di sebuah kedai emas yang terletak dalam sebuah pasar raya besar di Kompleks Perniagaan Alam Jaya, Puncak Alam di sini semalam.

Kedua-dua suspek sebelum itu memecah masuk pasar raya tersebut melalui bumbung selepas premis itu ditutup malam Sabtu lalu sebelum menyelinap ke dalam sebuah butik pakaian dan menggerudi lubang di dinding butik untuk masuk ke dalam kedai emas.

Difahamkan, dua lelaki itu menggunakan sambungan elektrik dari butik pakaian untuk menggerudi dinding masuk ke kedai emas dan terus menggerudi peti besi bagi mengeluarkan barangan kemas yang disimpan di dalamnya sehingga awal pagi semalam.
Selepas berjaya mengeluarkan semua barangan kemas di dalam peti besi, mereka melarikan diri dengan meninggalkan gerudi serta peralatan lain yang digunakan untuk memecah masuk pasar raya tersebut.

Pemilik kedai emas hanya menyedari kejadian itu sebaik sahaja membuka perniagaannya awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya telah menemui semua peralatan yang ditinggalkan oleh kedua-dua suspek di tempat kejadian.

"Kita juga telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta bukti-bukti lain yang dapat membantu siasatan," kata beliau sambil memberitahu pihaknya sedang melancarkan gerakan memburu kedua-dua suspek.
Tambahnya, berdasarkan kenyataan yang diperolehi daripada pemilik kedai, kerugian kehilangan barang kemas dianggarkan berjumlah RM500,000.






.

Nyaris maut akibat kecuaian ahli farmasi


Gara-gara kecuaian seorang ahli farmasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang warga emas berusia 64 tahun yang menghidap sejenis penyakit kulit terlantar di hospital selama 12 hari setelah dia mengambil sejenis ubat kanser dalam kuantiti yang berlebihan.

Mangsa, Wong Yee Lan yang menghidap penyakit psoriasis mendakwa, semuanya berpunca apabila ahli farmasi tersebut memberi arahan mengambil ubat tidak tepat selepas dia menerima rawatan sakit kulit pada 7 September tahun lalu di hospital berkenaan.

Menurut Yee Lan, ubat untuk merawat penyakit kulit tersebut sepatutnya dimakan enam kali seminggu tetapi dia telah diberi arahan supaya ubat itu dimakan sebanyak enam kali sehari.
“Saya disuruh makan ubat itu enam kali sehari dan saya menghabiskan dua paket ubat tersebut yang mengandungi 72 biji pil dalam masa 12 hari sahaja.

“Kesan ubat itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya mengalami kesukaran bernafas dan beberapa kali rebah ketika berjalan kerana pitam sehingga terpaksa dihantar ke klinik sebanyak empat kali.
“Selain itu, mata saya juga kerap berair dan sukar untuk membuka mata, bibir bengkak, rambut gugur dan sukar tidur,” dakwanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini semalam.

Bimbang dengan keadaan dirinya yang semakin teruk, dia kemudian mendapatkan rawatan susulan di hospital yang sama pada 1 Oktober 2010 bagi mencari punca kesakitan yang dialami.
“Saya terpaksa dimasukkan ke wad selama 12 hari kerana keadaan kesihatan saya menjadi semakin teruk.
“Saya begitu terperanjat apabila doktor yang merawat memaklumkan bahawa saya telah mengambil dos ubat secara berlebihan,” katanya.







.

Jadi kahwin tahun depan..


Selepas melalui kontroversi dalam rumah tangganya, pelakon dan penyanyi, Joey telah memutuskan untuk bernikah dengan bekas anggota kumpulan Elite, Norwati Sadali (Watie Elite) pada Januari tahun depan.
Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud berkata, keputusan untuk mengambil Watie sebagai isterinya adalah tepat kerana merasakan penyanyi dan pelakon popular itu memenuhi ciri-ciri yang diingininya selama ini selain menganggap ia sebagai jodoh.

"Pertemuan kami seperti telah ditentukan untuk hidup bersama. Saya merasakan Watie adalah orang yang dapat membahagiakan hidup saya hingga ke akhir hayat," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega di sini, Isnin.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan mereka berdua, Joey menjelaskan ia semakin bertambah baik dan dia mengagumi ketabahan kekasihnya itu.

"Dengan segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya sudah tentu dia akan berasa tertekan dan runsing. Tetapi kami sering berbincang bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dan Alhamdulillahlah semuanya kembali okey.
"Tambahan pula kami berdua pernah mengalami detik hitam kehancuran rumah tangga jadi kami lebih memahami antara satu sama lain," ujarnya.

Baru-baru ini, Watie ketika ditemui menjelaskan dia sedang keliru sama ada ingin meneruskan hasrat untuk berumah tangga dengan Joey ataupun tidak kerana tertekan dengan tohmahan sesetengah pihak terhadapnya.
Watie meluahkan dia amat kecewa dengan tuduhan orang yang mengaitkannya sebagai dalang kepada keretakan rumah tangga Joey walaupun kes penceraian pelakon itu dengan bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir sudah selesai.

Sementara itu, ditanya lanjut mengenai perancangan mendirikan rumah tangga dengan Watie, Joey menjelaskan dia tidak berfikir untuk mengadakan majlis besar-besaran tetapi lebih menumpukan kepada ikatan yang bakal terjalin nanti.

"Saya tidak begitu memikirkan tentang majlis perkahwinan secara besar-besaran kerana sebaliknya yang lebih penting ialah kehidupan selepas berkahwin nanti, Insya-Allah," jelasnya.





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!