Saturday, October 29, 2011

Anak Kecil Hadapi Risiko Jangkitan Bila Lawat Pesakit Hospital


Di semua hospital dan pusat perubatan sama ada swasta atau awam, terdapat papan kenyataan: "Kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilarang masuk" di pintu masuk utama dan wad.
Penulis yang kerap mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di sini telah bertanya seorang pegawai keselamatan sama ada ibu bapa dibenarkan membawa bersama anak kecil ketika melawat keluarga atau rakan yang dimasukkan ke hospital.

"Sudah tentu hospital mengamalkan konsep mesra pelawat. Kanak-kanak memang dibenarkan masuk jika mereka ditemani orang dewasa setiap masa. Tetapi untuk kesejahteraan pesakit, anak kecil yang tidak sihat memang tidak digalakkan melawat pesakit di hospital," kata beliau.
Pegawai itu (yang enggan namanya disiarkan) menjelaskan bahawa hospital tetap memberi keutamaan kepada pesakit dan sebab itulah anak-anak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.
Bagaimanapun jururawat boleh menggunakan budibicara mereka bergantung pada situasi, kata beliau.


Had Bilangan Pelawat
Terdapatkah had bagi bilangan pelawat pada satu-satu masa?
Pegawai keselamatan itu berkata, peraturan yang sedia ada hanya membenarkan dua pelawat pada satu-satu masa dan ini hanya boleh dilakukan ketika waktu melawat. "Bagaimanapun kakitangan keselamatan boleh mengguna budibicara mereka tetapi membenarkan terlalu ramai pelawat boleh menyebabkan pesakit cepat letih.

"Kami (hospital) tidak mahu situasi di mana pesakit akan menjadi cepat letih kerana terpaksa melayan ramai pelawat," tambah beliau.
Ada kalanya kakitangan yang bertugas terpaksa meminta pelawat untuk beredar.
Ini kerana doktor dan jururawat mahu memastikan privasi dan keselesaan pesakit dan membenarkan mereka meneliti serta membuat laporan kesihatan pesakit dengan tepat, kata pegawai itu lagi.


Kenapa Wujudnya Peraturan Sebegini?
Seorang pegawai kejururawatan, Wan Norida (bukan nama penuh) berkata, anak bawah 12 tahun biasanya nakal dan ibu bapa mungkin sukar untuk mengawal gelagat mereka bila berada dalam wad. Lagipun wad di hospital bukan sama dengan taman permainan.

"Anak kecil biasanya tidak boleh duduk diam dan mungkin lari ke sana sini. Mereka juga mungkin menarik tiub atau mengganggu saluran intavena atau kelengkapan yang lain.
"Anak kecil juga mudah menangis. Jika ini berlaku, tangisan kuat mereka boleh mengganggu pesakit lain. Kehadiran anak kecil juga boleh mengganggu jururawat daripada menjalankan tugas," kata Wan Norida.
Beliau juga menasihati individu yang mempunyai penyakit mudah berjangkit seperti selesema menghindari daripada melawat pesakit di hospital.

"Jika keadaan anda mudah berjangkit adalah tidak digalakkan melawat pesakit di wad. Jika ada selesema atau simptom yang menyamai selesema, rujuk dulu kepada jururawat bertugas," tambah beliau. Wan Norida menasihati ibu bapa seboleh-bolehnya tidak membawa anak kecil ketika memasuki wad untuk melawat, melainkan jika tiada pilihan lain. "Kalau boleh rujuk dulu dengan petugas. Hospital punya peraturan tertentu berhubung pelawat bersama kanak-kanak," jelas beliau lagi.


Risiko jangkitan
Pegawai perubatan, Dr Junie Sng berkata: "Bukannya kami sengaja mengenakan peraturan ketat berhubung isu anak kecil.
Ada kalanya jururawat membenarkan ibu bapa membawa bersama anak kecil mereka bila melawat keluarga yang sakit dalam wad. "Tapi apa yang kami takutkan adalah dari segi risiko jangkitan. Anak kecil termasuk bayi mempunyai imuniti badan yang lebih rendah berbanding orang dewasa. Ibu bapa tidak sedar tindakan mereka membawa anak kecil akan mendedahkan kepada risiko dijangkiti.
"Dalam wad sebenarnya terdapat pelbagai kuman dan jika seorang pesakit menyentuh anak yang kecil, beliau dengan tidak sengaja memindahkan jangkitan kepada anak kecil itu.

"Ketika berada dalam wad, anak kecil juga boleh menerima jangkitan daripada pesakit lain dan tidak semestinya daripada pesakit yang mereka lawati. Sungguh menyedihkan jika ibu bapa membiarkan anak mereka menghadapi risiko jangkitan sedangkan situasi ini boleh dielakkan," kata beliau.
Beliau menasihati para pelawat mematuhi peraturan membasuh tangan serta peraturan keselamatan hospital yang lain.
Menurut Dr Sng lagi, pelawat mungkin membawa masalah kepada pesakit di wad.

Antaranya kecederaan berbentuk fizikal selain mental dan emosi. NASIHAT Doktor itu juga menasihati agar pelawat tidak mengambil masa yang lama untuk melawat pesakit.
"Meluangkan masa melawat pesakit adalah sesuatu yang baik tetapi tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama. Lebih baik kerap melawat dengan mengambil masa singkat berbanding mengambil masa yang terlalu panjang. Sebaiknya janganlah melebihi satu jam pada setiap masa.
"Segeralah beredar jika doktor atau jururawat datang dan mahu memeriksa pesakit.

"Juga penting agar tidak melawat jika mempunyai sesuatu yang mudah berjangkit. Pesakit dan kakitangan hospital tidak perlu terkena jangkitan yang dibawa dari luar. "Kalau (anda) ada batuk, selesema, ruam atau cirit-birit, simpanlah dulu niat anda untuk melawat keluarga di hospital. "Juga tidak digalakkan melawat jika kehadiran anda hanya akan mendatangkan keresahan, stres serta kurang selesa kepada pesakit. Jangan anggap pesakit perlu melayan anda.
"Mereka berada di hospital kerana perlukan rawatan untuk sihat semula. Daripada membuatkan mereka keletihan melayan pelawat ada baiknya biarkan mereka berehat sahaja," kata beliau.







.

Budget besar tapi kurang laris..


Filem bajet besar yang menampilkan bintang Bollywood, Shah Rukh Khan bertajuk Ra.One menerima maklum balas bercampur-campur kelmarin.

Pujian diberi kepada kesan-kesan khas yang digunakannya, tetapi skripnya dikritik. Menjadi antara filem India paling mahal dengan perbelanjaan mencecah AS$20 juta (RM61.3 juta), Ra.One dilihat gagal memecahkan rekod hari pertama tayangan.

Laman web Boxofficeindia.com yang memantau kutipan filem di panggung menyatakan filem adiwira sains fiksyen versi Hindi itu berjaya mengutip sekitar AS$3 juta (RM9.20 juta) dalam tempoh 24 jam pertama selepas ditayangkan pada Rabu lalu.

"Ia mungkin menjadi filem kedua atau ketiga yang mencatat kutipan tertinggi. Namun, ia ketinggalan sebanyak 30 peratus berbanding rekod filem Bodyguard yang ditayangkan dua bulan lalu," katanya.
Khan dilihat berusaha keras mempromosikan filem tersebut selama beberapa bulan dengan menghadiri tayangan-tayangan perdana antarabangsa di Dubai, London dan Toronto.
Dalam filem tersebut, Khan memegang watak G.One yang menentang makhluk jahat bernama Ra.One untuk menyelamatkan manusia sejagat.








.

Perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim

Majlis Berkaitan Hubungan Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberi kemudahan kepada banduan untuk memakai tudung selepas seorang wanita Islam yang didapati bersalah berhubung dakwaan keganasan terpaksa membuka tudungnya semasa berada dalam tahanan.

Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana menyalurkan wang kepada kumpulan pengganas Al-Shabab di Somalia.
Peguam wanita itu, Dan Scott berkata, anak guamnya mahu memakai tudung kerana mematuhi ajaran Islam. Menurutnya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim.

"Dia mahu memakai pakaian tradisinya (tudung). Ia amat penting baginya," kata Scott.
"Dia kini dipenjara. Justeru, apa yang dia mahu tidak semestinya dia dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan ajaran agamanya," tambah peguam itu.
Mengulas isu tersebut, Syerif Daerah Sherburne, Joel Brott berkata, Amina tidak boleh memakai tudung di penjara atas faktor keselamatan.

Pakaian awam termasuk tudung katanya, tidak dibenarkan dipakai di penjara kerana ia mungkin digunakan sebagai senjata atau menyembunyikan identiti banduan.
Namun, ujar Brott, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa persekutuan sama ada untuk memberikan pengecualian kepada Amina atau sebaliknya.








.

Tiba-iba jadi jutawan


Seorang kerani kerajaan dengan gaji bulanan cuma AS$130 (RM399) menjadi peserta pertama yang pernah memenangi AS$1 juta (RM3.07 juta) dalam rancangan kuiz popular di negara berkenaan.
Kemenangan Sushil Kumar dalam kuiz Who Wants to Be a Millionaire versi India menjadikannya ikon kepada jutaan belia di India yang mahu membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Kejayaan pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari pedalaman negeri Bihar, timur India itu mirip plot filem popular 2008, Slumdog Millionaire.

Filem tersebut yang memenangi beberapa anugerah Oscar, mengisahkan tentang seorang pemuda miskin yang menjadi kaya selepas memenangi kuiz berkenaan.
Kumar dan isteri yang baru lima bulan dikahwininya menangis semasa hos rancangan itu, Amitabh Bachchan, menyerahkan cek AS$1 juta kepada mereka selepas dia berjaya menjawab semua soalan dengan betul.

"Anda mencipta sejarah. Kecekalan dan keazaman anda membolehkan anda pergi begitu jauh dalam program ini," kata Bachchan.
Program yang dirakam pada Selasa lepas itu akan ditayangkan di India pada minggu depan.
Bercakap mengenai kemenangannya, Kumar berkata, dia terpaksa menonton rancangan kuiz itu di rumah jiran kerana tidak mampu membeli set televisyen.


Menurutnya, dia akan menggunakan sebahagian wang kemenangan tersebut untuk menduduki peperiksaan pentadbiran awam bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
Sebahagian lagi wang tersebut akan digunakan untuk membeli kediaman baharu buat isterinya, membayar semua hutang ibu bapanya dan dijadikan modal untuk adik-beradiknya membuka perniagaan kecil.








.

Penghormatan terakhir kepada Simoncelli [entri bergambar]


Beribu-ribu peminat berbaris di bandar kecil, Coriano, wilayah Rimini, Itali bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Marco Simoncelli yang terbunuh dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Sepang, Ahad lalu.




Rakan senegara mendiang yang juga rakan baiknya dan juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi turut hadir pada majlis pengebumian.


Keranda penunggang Honda itu diusung beberapa rakan rapat Simoncelli dari bandar berkenaan menuju gereja Santa Maria di mana majlis pengebumian berlangsung.







P/S - ENTRI TERDAHULU










.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!