Monday, October 31, 2011

Kereta api rempuh lori tangki dekat Kota Kinabalu


Sebuah kereta api dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Aru ke Papar merempuh sebuah lori tangki di lintasan berhampiran sebuah stesen minyak di Petagas dekat sini petang tadi.

Kejadian kira-kira 5.30 petang tadi itu menyebabkan letupan kuat dan sekurang-kurangnya enam orang cedera dengan pemandu lori tangki berkenaan patah kaki.

Asap tebal akibat letupan itu boleh dilihat dari jarak sehingga lima kilometer.


Berikutan rempuhan itu, kereta api dan lori tangki berkenaan melekat dan masih berada di landasan.










.







Koridor banglo runtuh, 3 cedera parah


Tiga buruh binaan mengalami kecederaan parah selepas koridor banglo tiga tingkat yang sedang dalam pengubahsuaian runtuh di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, pagi tadi.

Kesemua mangsa kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 9.20 pagi itu, kesemua mangsa yang berumur antara 35 hingga 50 tahun sedang melakukan kerja kemasan terakhir pada koridor di tingkat tiga banglo berkenaan.
Akibat runtuhan itu, ketiga-tiga mangsa terjatuh bersama lantai koridor berkenaan sebelum dihempap dan mengakibatkan kecederaan teruk di kepala, badan dan kaki mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata siasatan awal mendapati bahagian koridor yang dibina tidak kukuh menyebabkan runtuhan berkenaan.

"Ketiga-tiga mangsa sedang bekerja di koridor berkenaan manakala dua lagi rakan mereka di aras bawah sedang membersihkan kawasan pembinaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, seramai 11 anggota bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dari Sungai Buloh mengambil setengah jam bagi mengeluarkan seorang mangsa yang dihempap konkrit selepas dua lagi rakannya berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital dengan bantuan orang ramai.
Katanya, pihaknya akan meneliti laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan sama ada pembinaan banglo itu mendapat kelulusan atau sebaliknya.

Sementara itu, dua lagi rakan mangsa terselamat kerana berada di tingkat bawah banglo berkenaan.








.

Pelakon diarah bayar ganti rugi RM50,000


Pelakon Lisdawati hari ini diberi ganti rugi RM50,000 selepas beliau menang dalam kes saman fitnahnya terhadap pelakon Nadia Mustafa.
Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali membenarkan saman fitnah yang difailkan Lisdawati terhadap Nadia, berhubung artikel yang disiarkan di majalah Media Hiburan enam tahun lepas.

Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi termasuk Lisdawati dan Nadia dan juga hujahan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lisdawati dan Siti Julaini Mohd Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob yang mewakili Nadia.

Dalam keputusannya Yong Zarida memerintahkan Nadia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000, faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman iaitu hari ini sehingga penyelesaian penuh kes dan juga kos skala.

Mahkamah dalam keputusan itu turut memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala.

Bagaimanapun Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 33, dan Nadia tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut pernyataan tuntutan Lisdawati yang difailkan pada 21 April tahun lalu, mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.

Wawancara itu didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Lisdawati mendakwa, majalah itu menyiarkan pada keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Jan 2005.

Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud dia meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan artikel itu tidak mempunyai unsur fitnah, sebaliknya meminta supaya orang yang berhutang menjelaskan hutangnya.










.

Ganjaran yang besar


Seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi menaikkan ganjaran sehingga AS$1 juta (RM3 juta) kepada sesiapa yang berjaya menangkap tentera Israel untuk ditukarkan dengan banduan Palestin.

Putera Khaled bin Talal, saudara lelaki kepada hartawan Putera Alwaleed bin Talal, memberitahu stesen televisyen al-Daleel menerusi telefon kelmarin, tawarannya sebagai membalas dendam berikutan ancaman dikeluarkan rejim Zionis itu terhadap Sheik Awadh al-Qarani, ulama terkenal Arab Saudi yang menjanjikan ganjaran AS$100,000 (RM300,000) bagi penangkapan seorang tentera Israel.

“Dr al-Qarani berkata beliau menawarkan AS$100,000 cuma untuk menangkap seorang tentera Israel tetapi rejim Zionis bertindak balas dengan menawarkan AS$1 juta untuk membunuh beliau.

“Saya memberitahu Dr al-Qarani saya menyebelahinya dan membayar baki AS$900,000 (RM270,000) untuk menawan tentera Israel supaya banduan Palestin lain dapat dibebaskan,” katanya.

Al-Qarani berkata dalam laman Facebooknya minggu ini yang beliau membuat tawaran sebagai reaksi kepada ganjaran hampir sama dibuat sebuah keluarga Israel bagi sesiapa yang dapat menangkap orang yang membunuh seorang anggota keluarga mereka pada tahun 1998, berikutan perjanjian pertukaran banduan awal bulan ini.

Al-Qarani memang terkenal di Arab Saudi kerana kelantangan beliau memberikan pandangan.

Arab Saudi, tempat lahir Islam, melihat dirinya sebagai juara mempertahankan hak penduduk Palestin tetapi pemimpin negara itu berusaha mengekang lebih banyak kenyataan radikal daripada ulama berhubung konflik Israel-Palestin.
Pada 2002, negara itu menawarkan inisiatif damai dengan mengiktiraf penuh Israel jika rejim itu menyerahkan semua tanah yang dirampas ketika perang pada tahun 1967 dan menerima penyelesaian bagi pelarian Palestin.

Tawaran al-Qarani dibuat berikutan pembebasan tentera Israel, Gilad Shalit, yang ditawan Hamas di Gaza lebih lima tahun. Israel terpaksa bersetuju membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran.









.

Penghuni ketujuh bilion lahir hari ini


Kebanyakan negara di dunia sedang bersiap sedia meraikannya dengan mengadakan majlis sambutan serta pelbagai acara keramaian.
Namun, bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, kegembiraan tersebut bukanlah perkara yang ‘menyenangkan’.
“Tidak kira sama ada bayi yang bakal dilahirkan itu perempuan atau lelaki, dia bakal berdepan dengan percanggahan dunia.


“Kita memiliki jumlah makanan yang banyak, namun masih terdapat golongan manusia yang tidur dalam keadaan lapar setiap hari,” katanya pada sesi wawancara dengan majalah Times.
Pada 12 Oktober 1999, bayi lelaki warga Bosnia yang diberi nama Adnan Mevic menjadi penghuni keenam bilion dunia.
Keluarga bayi tersebut, bagaimanapun kini berdepan dengan masalah kemiskinan di Sarajevo.

“Kelahiran bukan menceritakan mengenai nombor, namun ia tentang kehidupan.
“Tujuh bilion manusia memerlukan bekalan makanan yang mencukupi, bekalan tenaga, peluang pekerjaan dan pendidikan serta hak kebebasan termasuk membesarkan anak-anak dalam keadaan yang aman dan selamat,” katanya kepada sebuah sekolah di sini pada minggu lepas.


Sehubungan itu, pemimpin badan dunia itu, akan membawa isu mengenai pertambahan populasi dan krisis ekonomi dunia ke Sidang Kemuncak Kumpulan 20 di Perancis pada minggu depan bagi mengelak berlaku kejadian protes seperti di negara-negara Arab.
“Protes yang berlaku disebabkan ekonomi tidak stabil dan kelemahan pentadbiran sesebuah negara,” katanya dalam surat yang dihantar kepada kumpulan pemimpin yang bakal menyertai sidang tersebut pada 3 dan 4 November ini.


Tiny and innocent, little Danica May Camacho peers out at the world just moments after her birth at a hospital in the Philippines.
Wearing a hat to keep the heat from escaping through her head, she nestles against her mother's skin as her proud parents look on.
However, Danica's birth is not only significant to mother Camille and father Florante. She is one of the world's symbolic seven billionth occupants.











.

Memang ada rancangan untuk bertunang :)


Pelakon yang sedang meningkat naik, Shah Jazle memberitahu memang merancang untuk bertunang dengan kekasihnya, pelakon Miera Liyana.
Shah bagaimanapun memberitahu perancangan untuk bertunang itu bukan dalam masa terdekat.
"Ya benar saya dan Miera ada berbual-bual mengenai hubungan kami dan salah satu perkara dibincangkan adalah mengenai ikatan pertunangan.

"Tetapi kami tidak mahu terburu-buru kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai aktviti. Itu hanya perbincangan sahaja," ujarnya ketika ditemui pada pada majlis pra-tonton rancangan terbaru Media Prima 2011 di sini, Jumaat.
Bercakap mengenai hubungannya dengan Miera, Shah memberitahu dia dan kekasihnya itu masih mengenali hati budi masing-masing dan percintaan mereka berada di tahap baik ketika ini.

"Percintaan saya dan Miera baik setakat ini walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kami juga tidak mahu memberikan tekanan kepada hubungan itu kerana bimbang ia tidak akan menjadi. Kami serahkan kepada jodoh," ujarnya.
Sementara itu, Shah memberitahu dia bakal berada di luar negara selama lima bulan bermula Disember bagi menjalani penggambaran sebuah telefilem iaitu Bunga April arahan Along Kamaruddin dan drama bersiri Adam dan Hawa.

"Bunga April akan menjalani penggambaran di Australia selama sebulan manakala drama bersiri Adam dan Hawa akan dirakamkan sepenuhnya dibeberapa lokasi seperti India, Australia dan Mekkah.
"Penggambaran Adam dan Hawa yang mempunyai lebih 80 episod dijangka mengambil masa lebih kurang empat bulan ," katanya.

Pun begitu, Shah berkata, peluang berlakon dilokasi luar negara adalah sebagai bonus buat dirinya kerana selain mengutip pengalaman baru dia juga dapat berjalan-jalan di negara orang.
"Sudah pasti saya akan merindui keluarga dan teman-teman di sini tetapi ini adalah satu peluang besar buat diri saya dalam dunia lakonan," ujarnya.









.

Mekanik maut selepas balik dari karaoke


Kegembiraan lima sahabat selepas menghadiri satu majlis di pusat karaoke bertukar tragedi apabila seorang daripadanya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 19.3 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) arah utara dekat sini, hari ini.
Dalam kemalangan pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Lee Zin Hao, 25, yang bekerja sebagai mekanik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak dari kenderaan dipandunya itu.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta Chevrolet Aveo bersama empat lagi rakannya berusia 20-an hingga 30-an dari Seremban menuju ke Kajang, Selangor.
Difahamkan, kelima-lima mereka yang berasal dari Kajang baru sahaja selesai menghadiri satu majlis di sebuah pusat karaoke di bandar ini.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya lalu merempuh besi penghadang jalan.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa dan seorang lagi penumpang di belakang tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira 10 meter," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, pemandu kereta itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang rakannya yang tercampak turut mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

"Seorang lagi penumpang di dalam kereta terbabit turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut manakala dua lagi rakan mangsa hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian dan mayat mangsa kini berada di HTJS untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," ujarnya.









.

Dicekup ketika sedang ghairah.....


Keghairahan 34 kaki judi mempertaruhkan wang simpanan untuk dihabiskan di sebuah premis judi yang berselindung di sebalik pusat hiburan terbantut apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan di Taman Muda di sini semalam.
Serbuan Ops Dadu pukul 1 petang itu dilakukan selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan haram yang dijalankan di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di taman tersebut.

Difahamkan, pemilik premis berjaya menarik minat orang ramai melaburkan wang mereka di situ apabila menyediakan khidmat judi secara talian dan mesin judi selama 16 jam bermula pukul 10 pagi. Premis itu juga pernah diserbu beberapa kali tetapi pemiliknya didapati masih berdegil.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak 143 buah mesin judi dan 16 buah komputer yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.









.

Hilang pada hari peperiksaan


Sepasang suami isteri bimbang setelah anak bongsu mereka hilang tanpa khabar berita pada hari peperiksaan akhir tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas di sini, Isnin lalu.
Anak keempat pasangan itu, Nur Ainina Adila Muhammad Zuki, 14, dari Kampung Perenggan Lunas di sini, dikesan datang ke sekolah pukul 11.25 pagi pada hari berkenaan.

Ibunya, Siti Hajar Osman, 44, berkata, anaknya itu yang dilihat hadir ke sekolah selepas dihantar oleh ibu saudaranya dengan motosikal bagaimanapun tidak masuk ke kelas.

"Rakan-rakannya beritahu dia tidak masuk kelas pada hari itu untuk peperiksaan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Katanya, setelah Nur Ainina Adila tidak pulang ke rumah, dia segera menghubungi pihak sekolah tetapi gagal mengesan anaknya tersebut.

Siti Hajar berkata, anak-anaknya yang lain termasuk dua kakak kepada Nur Ainina Adila iaitu Nurul Izaty, 20, Nurul Fahani, 19, dan abangnya, Mohd. Farhan Izzat, 15, turut risau kehilangan adik mereka.
"Kami sendiri tidak tahu dia pergi ke mana. Kami runsing apatah lagi dia merupakan seorang yang banyak berahsia, bila orang suruh apa, dia terus buat," tambahnya.

Bapa pelajar itu, Muhammad Zuki Jahaya, 47, pula berkata, aduan mengenai kehilangan anaknya yang dipanggil Nina atau Dikna itu telah dibuat di Balai Polis Lunas selepas kehilangannya.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Muhammad Zuki di talian 019-5253307 atau Siti Hajar 019-5033091.








.

Erni Dekritawati bertunang.. Tahniah..


Kira-kira 500 orang membabitkan ahli keluarga dan kenalan rapat menghadiri majlis pertunangan anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26 dengan Kamarulazlan Mohamad Hanafiah, 35, malam tadi.
Majlis diadakan secara tertutup di kediaman mewah keluarga jutawan kosmetik itu di Gombak, dekat sini dan turut dihadiri Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim serta suami.

Acara bermula selepas solat Isyak apabila rombongan lelaki yang mengenakan pakaian berwarna ungu tiba jam 8.45 malam membawa tujuh dulang hantaran termasuk cincin pertunangan dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Pertunangan Erni Dekritawati Yuliana atau Rita dengan Kamarulazlan yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Mashitah menamatkan spekulasi berkaitan lelaki pilihannya kerana Rita yang kini menjadi Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa individu. Difahamkan, jumlah hantaran yang bakal diterima Rita pada majlis perkahwinannya yang dijangka berlangsung 4 Disember depan ialah sebanyak RM30,000 serba satu manakala majlis persandingan di pihak lelaki pula dijadualkan pada 8 Disember.

Kisah peribadi Rita mula menjadi perhatian umum selepas ibunya bersama tiga yang lain, dibunuh kejam sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke sungai dalam kejadian di Ladang Gadong, Banting, pada Ogos tahun lalu.









.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!