Saturday, December 24, 2011

Terlibat Kemalangan Selepas Menang Lamborghini


Seorang pemandu trak yang baru memenangi kereta mewah Lamborghini bernilai AS$300,000 (RM951,450) terlibat dalam kemalangan hanya enam jam selepas memenangi peraduan yang ditawarkan oleh kedai serbaneka, dan kini berhasrat untuk menjual kereta itu kerana tidak mampu untuk menjelaskan bayaran insuran dan cukai.

“Saya telah dapat pembeli yang berminat. Saya akan menjualnya,” kata David Dopp pada Rabu.
“Saya mempunyai bil untuk dijelaskan dan ia lebih penting daripada Lamborghini. Saya ada keluarga untuk ditanggung.”

Dopp, 34, terlibat dalam kemalangan selepas gagal mengawal kereta terbabit beberapa jam selepas menerima kunci kereta itu dalam pertandingan yang dianjurkan oleh kedai serbaneka Maverik.
Kereta berhud berwarna hijau pucuk pisang itu telah ditunda oleh syarikat insuran dan akan dihantar kepada pengedar berlesen di Las Vegas untuk dibaiki pada minggu hadapan.
Dopp memberitahu, kereta tersebut hanya mengalami ‘kerosakan kecil’ termasuk kemek dan calar di bahagian depan dan belakang.

Bapa kepada enam orang anak itu menambah, dia tidak mampu untuk membayar cukai dan insuran kereta tersebut yang berjumlah AS$3,500 (RM 11,100.25) setiap enam bulan.
“Itu adalah sebab mengapa hanya orang kaya yang mampu memilikinya dan orang miskin seperti saya tidak,” katanya.

Dopp membawa ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk bersiar-siar dengan kereta sebaik sahaja mendapat kereta itu dan berkata, dia sedang memandu pada kadar kelajuan 45mp (72 kph) apabila kereta itu terlanggar ais dan berpusing.
Kereta itu kemudiannya melanggar pembahagi jalan dan berhenti kira-kira 75 kaki daripada jalan raya.
Dopp dan penumpang kereta itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis berkata, kereta tersebut tidak sesuai digunakan di bandar Santaquin yang terletak kira-kira 88 kilometer dari Salt Lake City kerana tayar kereta itu yang tidak sesuai dengan permukaan jalan yang dilitupi ais dan licin.

Rakaman video menunjukkan Dopp melompat kegembiraan dan kelu untuk berkata-kata sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang dalam peraduan tersebut.
Dia perlu mengambil insuran terlebih dahulu sebelum dibenarkan membawa kereta tersebut pulang.
“Itu (mengambil insuran) adalah perkara yang baik,” katanya











.

Disemadikan Bersama Haiwan Kesayangan


Pihak berkuasa tempatan sekali lagi membenarkan pencinta haiwan negeri terbabit untuk disemadikan bersama-sama dengan haiwan kesayangan mereka di tanah perkuburan haiwan.
Jabatan Perkuburan Negeri membenarkan pelaksanaan semula amalan tersebut selepas ia dilarang pada awal tahun ini. Dengan perkembangan terbaru itu, pemilik haiwan kini boleh memohon agar abu mayat mereka disemadikan bersama dengan haiwan peliharaan.

Bagaimanapun, kebenaran itu diberikan dengan beberapa syarat seperti pemilik tapak perkuburan haiwan tidak dibenarkan mengiklankan bahawa mereka menerima abu mayat manusia atau mengenakan bayaran untuk berbuat demikian. Pengarah tapak perkuburan haiwan di New York menyatakan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mematuhi peraturan terbabit.

Tapak perkuburan itu telah mula menerima abu mayat untuk disemadikan bersama haiwan kesayangan pemiliknya sejak tahun 1925. Seorang peguam yang menentang larangan tersebut menyifatkan keputusan terbaru itu sebagai hadiah krismas untuk dirinya. Majlis pengebumian mendiang pak cik peguam terbabit telah ditangguhkan selama beberapa bulan disebabkan larangan itu. -AP











.

Fida sudah ada pengganti Mamat Sepah

Selepas putus cinta dengan pelawak Mamat (Sepah), pelakon Rafidah Ibrahim, 25, (Fida) mengakui sudah menemui pengganti dan kini sedang menjalin hubungan dengan seorang usahawan yang dikenali sebagai ‘S’. Fida berkata walaupun dia sudah mengenali lelaki berusia 30-an itu kira-kira satu tahun setengah yang lalu, mereka hanya mula rapat selepas dia berpisah dengan Mamat pada awal Oktober lepas.

“Kalau diikutkan saya sudah mengenali ‘S’ sebelum berkawan dengan Mamat lagi. Namun, hubungan kami sebelum ini terjalin atas dasar rakan niaga sahaja.

‘S’ muncul dan kami menjadi rapat selepas hubungan saya berakhir dengan Mamat,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Fida berkata dia tertarik kepada ‘S’ kerana kematangan dan cara pemikirannya yang banyak memberikan dorongan tentang dunia perniagaan dan kehidupan pada masa hadapan.

“Apa yang menarik tentang ‘S’ adalah kematangannya dalam membuat keputusan dan dia banyak mengajar saya untuk memikirkan tentang perancangan masa depan dan dunia perniagaan.

“Namun hubungan kami masih terlalu baru, tidak sampai enam bulan pun, jadi berilah ruang dan masa untuk kami lebih saling mengenali,” katanya.

Diusik tentang harapan yang pernah disuarakannya sebelum ini untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan, Fida berkata perkara itu memang menjadi impiannya namun dia hanya mampu berserah kepada Tuhan bagi menentukan jodoh yang terbaik.

“Memang saya pernah bercakap mengenai harapan untuk melangkah ke alam perkahwinan jika bertemu dengan jodoh yang terbaik.

“Pada tahun depan, usia saya pun akan mencecah 26 tahun tapi soal jodoh adalah ketentuan Allah, saya hanya mampu berserah,” katanya.

Ditanya adakah dia masih berkawan dengan Mamat, Fida berkata dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang atau mengenangkan semula insiden yang mencalarkan nama baik dan maruahnya.

“Bagi saya perkara yang lepas, biarlah berlalu. Kami tidak lagi berhubung, lagi pun ketika kami berdepan konflik tersebut, saya tidak melihat kesungguhannya untuk meleraikan kekusutan yang berlaku.

“Biarlah saya jalani hidup hari ini dengan pengalaman baru. Saya doakan yang terbaik untuk apa sahaja perkara yang dilakukannya,” katanya.

Hubungan Mamat dan Fida berakhir selepas pelawak tersebut dengan secara tidak sengaja telah memuat naik gambar Fida yang menampakkan sebahagian rambutnya ke akaun Facebook miliknya, sekali gus mengakibatkan gambar tersebut tersebar luas di Internet. Mamat dalam satu kenyataannya sebelum ini kesal dengan kesilapan itu kerana telah mencemar nama baik Fida yang tidak pernah mendedahkan rambutnya di khalayak.










.

10 Motosikal Terbakar Di Flat


Sepuluh buah motosikal di Flat Sri Impian, Bandar Baru Ayer Itam terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong K. Jevataran berkata sepasukan enam anggota Bomba dan Penyelamat dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.40 pagi.

"Bomba dapat mengawal api daripada merebak ke tempat lain dan memadamkan kebakaran dalam tempoh lima minit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan daripada pemilik kenderaan berhubung kejadian itu.

"Siasatan masih dibuat bagi mengenal pasti punca kebakaran. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya.










.

Penipuan Transaksi Beli Barang Melalui Internet Meningkat

Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam membuat transaksi bagi pembelian barangan melalui internet berikutan meningkatnya kes penipuan cara itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,424 kes dilaporkan berbanding 1,114 kes sepanjang tahun lepas dan 551 kes pada 2009.

Jumlah kerugian untuk tahun ini pula ialah RM3.519 juta berbanding RM3.124 juta sepanjang tahun lepas dan RM786,000 bagi 2009, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pada tahun ini, kes paling banyak membabitkan 'mudah.my' dengan 1,009 transaksi melibatkan kerugian RM1.7 juta, diikuti transaksi lain-lain sebanyak 415 kes dengan kerugian RM1.84 juta.

Selain itu, polis juga menerima 2,472 laporan mengenai kes penipuan kewangan atas talian sejak 2008 sehingga Okt tahun ini, dengan kerugian kira-kira RM19 juta.

Ramli berkata, modus operandi yang digunakan ialah dengan menyamar sebagai kakitangan bank atau pegawai polis, yang meyakinkan mangsa agar menyerahkan nombor akaun bank bagi mendapatkan tawaran hadiah, menyelesaikan hutang kad kredit atau tawaran mendapatkan barang lelongan kastam.

Katanya, mangsa hanya menyedari telah tertipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat.










.

Bila mereka mogok


Para pemilik kereta mayat kelmarin mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di dua buah bandar utama di Greece bagi membantah kenaikan cukai jalan tahunan.
Menurut mereka, kenaikan itu akan menyebabkan perniagaan kereta mayat berkubur.

Para pemandu itu menyatakan, mereka terpaksa membayar cukai jalan enam kali ganda menjelang minggu depan kerana kereta mayat telah dikategorikan sebagai kenderaan persendirian.
Pemilik kereta mayat di bandar ini memandu kenderaan tersebut dari sebuah kawasan perkuburan ke sebuah bangunan pentadbiran wilayah.
Rakan-rakan mereka yang lain di bandar raya Athens memandu kereta mayat dengan perlahan semasa melintasi bangunan Parlimen.










.

Cedera ditembak


Tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Melaka terhadap aktiviti penyeludupan di negeri itu menyebabkan empat lelaki dipercayai penyeludup bertindak ganas dengan menembak seorang pegawai kanan jabatan itu di rumahnya di Taman Tanjung Minyak, Tanjung Minyak di sini semalam.

Tindakan berani itu dipercayai diambil selepas tindakan mereka membaling bom petrol ke rumah mangsa pada Oktober lalu tidak menggentarkan jabatan berkenaan daripada terus membanteras aktiviti haram itu.
Kejadian berlaku pada pukul 7.20 pagi ketika mangsa yang berpangkat Pegawai Kastam Tinggi, Rosli Aziz, 53, sedang keluar dari pintu rumahnya untuk ke tempat kerja di Banda Hilir di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebaik mangsa melangkah keluar dari rumahnya, empat lelaki yang berada di luar pintu pagar rumah mangsa secara tiba-tiba menembak mangsa.
"Seorang daripada suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan dua daripadanya mengenai bahu kiri dan tapak tangan kiri mangsa.


"Siasatan polis di tempat kejadian menemui tiga kelongsong peluru 9mm," katanya di tempat kejadian.
Ghee Lye berkata, kesemua suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta Proton Iswara berwarna merah selepas mangsa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri.
"Ketika kejadian, mangsa hanya berdua dengan isterinya. Dia dihantar ke Hospital Melaka oleh jirannya dan keadaannya dilaporkan stabil," kata Ghee Lye.










.

Pulang selepas 7 tahun


Tujuh tahun selepas dihanyutkan ke laut dan disangka sudah mati, seorang mangsa tsunami Aceh yang berusia 15 tahun muncul di kampung halamannya dan disatukan semula dengan ibu bapanya.

Gadis bernama Wati itu dilaporkan disentap daripada genggaman ibunya ketika tsunami sehari selepas sambutan Krismas pada 2004 dan dikhuatiri lemas. Namun kelmarin rakan kepada datuk gadis itu, Ibrahim, menemuinya duduk bersendirian di sebuah kedai kopi dan membawanya pulang ke rumahnya di bandar Meulaboh.
 Apabila ditanya, Wati berkata dia datang dengan menaiki bas dari Banda Aceh dan cuba mencari jalan pulang ke rumah tetapi tidak tahu caranya, menurut laporan portal berita The Telegraph semalam.

Gadis itu berkata, dia tidak dapat mengingati nama saudara maranya kecuali Ibrahim, membuatkan datuknya itu terfikir yang Wati mungkin cucunya yang sudah lama hilang.

Dia segera menghubungi ibu bapa gadis itu, Yusniar dan Yusuf, yang mengesahkan bahawa Wati adalah anak perempuan mereka berdasarkan tahi lalat dan parut kecil pada sikunya, menurut laporan itu.

Apa yang berlaku kepada Wati dalam tempoh tujuh tahun itu tidak jelas.

Kira-kira 168,000 orang terkorban dalam bencana itu di Indonesia manakala angka korban di seluruh dunia ialah 230,000 orang.











.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!