Sunday, January 1, 2012

Tutup Facebook


Selebriti masakan terkenal, Datuk Redzuawan Ismail, 53, atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan menutup akaun Facebook miliknya iaitu Chef Wan Fan Club mulai hari ini kerana ia dijadikan tempat oleh segelintir pihak untuk mencemuhnya.

Menurut Chef Wan, dia berbuat demikian kerana sudah tidak tahan lagi dengan maki hamun orang ramai berikutan komennya sebagai juri dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) yang disiarkan Astro.

"Tujuan saya mewujudkan fan page Chef Wan Fan Club di laman sosial Facebook kira-kira empat bulan lalu adalah untuk berkongsi pengalaman dan pandangan bersama peminat sehingga ia berjaya mengumpulkan lebih 80,000 peminat.

"Namun, apa yang saya lihat ia sudah menjadi punca kepada wujudnya sifat hasad dengki, tikam belakang dan kutuk-mengutuk terutamanya terhadap diri saya. Oleh itu, lebih baik saya tutup terus akaun Facebook tersebut," ujarnya ketika ditemui selepas berakhir saingan program MLM di sini kelmarin.

Beliau juga kesal kerana terlalu banyak pihak yang bersifat terlalu cepat menghukum atau menilai sesuatu perkara yang ditulisnya.

"Bukan sahaja cara saya mengkritik dalam MLM dihentam hebat tetapi juga paling menyedihkan saya dituduh cuba memurtadkan cucu saya hanya kerana membawanya ke majlis Hari Natal.

"Tuduhan-tuduhan begini membuatkan saya kecewa dan mengambil keputusan untuk menutup akaun tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dia juga mahukan ketenangan dalam dan tidak mahu menghabiskan masa dengan melayari laman sosial itu. Tambahnya terdapat banyak perkara lain yang menjadi tumpuannya pada 2012 seperti kerjaya masakan dan ingin menghabiskan masa bersama keluarga.

"Serina pun bakal melahirkan anak kedua pada bila-bila masa sahaja. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada cucu dan keluarga," ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada dirinya akan menerima sebarang jemputan sebagai juri selepas ini, chef Wan berkata, dia masih belum memikirkan soal itu. Bagaimanapun katanya, ada kemungkinan dia akan kembali ke pentas juri jika tawaran yang diberikan sesuai.

"Buat masa ini saya tidak mahu fikir mengenai perkara tersebut. Mungkin akan buat lagi (juri) dan mungkin tidak," ujarnya.









.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on January 1, 2012 at 11:10 AM said...

sokong chef Wan jika itu yang terbaik utk dirinya dan maruah keluarganya... Facebook selalunya medan utk peminat2 dan pembenci2 akan menghantam kita dr pelbagai sudut

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!