Saturday, February 11, 2012

Cipta robot hampiri fantasi Avatar


Watak puak Navi dalam filem blokbuster Avatar, hampir menjadi kenyataan melalui penciptaan robot rekaan Jepun yang mampu meniru pergerakan individu yang mengawalnya.

Untuk mengawal robot TELESAR V, seseorang perlu memakai kelengkapan khas yang bukan sahaja membolehkan mereka memberi arahan kepada mesin tersebut, malah juga boleh melihat, mendengar dan merasa sama seperti robot android berkenaan.

"Apabila saya memakai peralatan khas dan menggerakkan badan saya, tangan saya seolah-olah 'berubah' menjadi tangan robot. Pandangan saya juga berbeza setiap kali menggerakkan kepala.

"Pengalaman ini sangat pelik kerana anda dapat rasakan yang anda adalah robot," katanya kepada AFP.

Profesor Susumu Tachi iaitu pakar kejuruteraan dan realiti maya di Sekolah Siswazah Rekaan Media Universiti Keiko berkata, sistem yang disambung ke topi, sarung tangan dan baju khas dipakai manusia akan menghantar butiran arahan kepada robot, membolehkan mesin itu meniru pergerakan individu yang mengawalnya.

Pada masa sama, deria robot android itu akan menyalurkan maklumat yang mampu dirasai oleh manusia.

Sarung tangan nipis poliester yang dilapik dengan semikonduktor serta motor kecil pula membolehkan manusia 'merasai' apa yang disentuh robot termasuk permukaan yang licin atau berbonggol, begitu juga dengan rasa panas dan sejuk.

Bahagian mata TELESAR V diperbuat daripada kamera yang mampu merakam imej. Imej tersebut dipaparkan dalam bentuk tiga dimensi di sebuah skrin di hadapan mata individu yang mengawalnya.

Robot itu bagaimanapun masih belum setanding dengan watak futuristik rekaan James Cameron, Avatar, sejenis tubuh kejuruteraan genetik yang mampu dikawal tentera.

Tachi berkata, apabila siap dibangunkan TELESAR V boleh digunakan dalam persekitaran berisiko tinggi contohnya di loji nuklear Fukushima yang bocor akibat bencana gempa bumi dan tsunami tahun lalu.










.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!