Tuesday, February 7, 2012

Derita benjolan kepala


Sepasang suami isteri bimbang kesihatan bayi lelaki mereka yang menderita akibat timbul benjolan sebesar bola golf di belakang kepalanya, dipercayai akibat masalah pengumpulan cecair di dalam otak sejak lahir.
Apa yang menyedihkan pasangan itu apabila anak mereka, Muhammad Aidil Afifi yang berusia enam bulan, turut disyaki menghidap penyakit berkaitan buah pinggang.

Bapa bayi tersebut, Othman Ahmad, 32, berkata, dia dan isteri, Norain Redzuan, 25, sedih melihat keadaan bayi mereka itu yang kerap menangis akibat kesakitan.

“Aidil (Muhammad Aidil) hanya boleh tidur secara mengiring bagi mengelakkan benjolan di kepalanya terhimpit tetapi kadang kala ia terhantuk juga menyebabkannya menangis kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Keluang, Tunjang, di sini hari ini.

Pasangan suami isteri itu menerima kunjungan kakitangan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ahli Geng Generasi Muda Kubang Pasu yang menyumbangkan barang keperluan bayi dan sedikit bantuan kewangan sempena sambutan Maulidur Rasul.
Menurut Othman, doktor pakar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar memaklumkan bahawa pihak hospital masih melihat perkembangan Muhammad Aidil sebelum membuat sebarang keputusan termasuk membuat pembedahan.

“Doktor pakar beritahu Aidil masih kecil, perlu pemantauan dan mengenal pasti sama ada kandungan cecair di dalam otak Aidil adalah air atau nanah,” katanya.

Katanya, dia dan isteri ada membeli ubat memulihkan saraf otak selain berubat secara tradisional sebagai usaha mengubati penyakit anaknya itu.

“Kami buat apa sahaja yang termampu memandangkan saya hanya bekerja sebagai pembancuh air di kedai makan dengan gaji RM550 sebulan dan selepas bayar sewa rumah sebanyak RM200, hanya tinggal RM300 untuk perbelanjaan keluarga,” jelasnya.

Dia bercadang untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai meringankan beban perbelanjaan perubatan bayinya dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, saya ada minta bantuan JKM untuk diri saya yang berpendapatan bulanan rendah, selain menghidap penyakit buasir tetapi ditolak dan kali ini saya memohon untuk anak kedua saya ini pula,” katanya.







.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!