Thursday, February 16, 2012

Haiza terasa sesuatu

UNTUK melihat Haiza berwajah masam memang sukar kerana penyanyi itu seorang yang ceria, mudah mesra dan gemar ketawa. Lantan sikapnya yang sentiasa merendah diri itulah, Haiza yang disenangi semua pihak tidak pernah terasa hati apabila diaju soalan berkaitan cahaya mata.

Haiza atau Rohaizah Nordin, yang baru merai sambutan ulang tahun ke-32, pada 2 Februari lalu di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, belum mempunyai zuriat walaupun sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan Norhanapfe Omar.

Katanya, dia dan suami tidak ambil hati dengan pertanyaan bila mahu timang anak daripada rakan-rakan atau sanak saudara kerana perkara itu bukan satu bebanan kepada mereka.

“Haiza tidak kisah semua itu. Biasalah bila sudah berkahwin, orang akan tanya bila nak dapat anak. Bagi Haiza, soalan rakan-rakan itu satu doa kerana mereka juga tidak sabar untuk melihat kami mempunyai cahaya mata.

“Kalau orang lain tidak sabar nak lihat kami ada anak, apatah lagi Haiza dan suami. Apa pun kita bukanlah boleh dapat anak dengan petik jari saja. Semua itu ketentuan Allah. Haiza anggap mungkin belum rezeki tapi Haiza dan suami tidak pernah berputus asa,” katanya tanpa berselindung.

Sambil tersenyum Haiza berkata, mungkin pada tahun ini kehidupannya dan suami akan berubah kerana kebelakangan ini dia terasa ada perubahan pada dirinya.

Kata Haiza, dia tidak pernah mengalami ‘sindrom’ yang dialami sekarang ini tapi belum berkesempatan untuk bertemu doktor untuk rawatan lanjut.

“Entahlah, Haiza belum pernah rasai apa yang dirasa sekarang. Sama ada iItu tanda-tanda hamil atau sakit, Haiza tidak pasti. Belum sempat jumpa doktor sebab sibuk. Harap-harap esok lusa kalau pergi buat rawatan, khabar gembira,” katanya penuh harapan.

Menurut Haiza, dia bertuah kerana memiliki suami yang sentiasa memahami dan menyokongnya dalam apa jua perkara.

Dia yang bakal mengadakan majlis prapelancaran single dan klip video, Semalam, pada 28 Februari ini di Redbox, Sogo, berharap selain keharmonian rumah tangganya berkekalan, perjalanan kariernya juga berjalan lancar.

“Alhamdulillah, lagu Semalam sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio. Semua itu berkat doa rakan-rakan dan peminat yang tidak jemu menyokong Haiza hingga sekarang,” katanya tulus.


Ingin naik kapal

Selain sibuk mempromosi single dan klip video, Semalam, Haiza juga tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan yang diterima pada hujung minggu.
Katanya, sejak dulu hingga kini, undangan untuk mengadakan persembahan terbuka atau tertutup tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, ada sahaja undangan yang Haiza terima sama ada menyanyi atau menjadi pengacara. Disebabkan itulah, Haiza terpaksa menolak tawaran berlakon.

“Memang terkilan tidak dapat berlakon tapi nak buat macam mana, waktu yang diberi tidak selari dengan jadual persembahan. Untuk tidak menyusahkan mana-mana pihak, Haiza tumpu pada nyanyian sahaja,” katanya.

Haiza menerusi syarikatnya, My Own Entertainment Management sedang merancang satu percutian dengan para peminat menerusi program Yok Cuti Yok.
Tahun ini Haiza bercadang mengajak peminat menaiki cruise kerana dia sendiri belum pernah bercuti di atas kapal mewah sebegitu.

“Haiza sudah hantar beberapa proposal pada syarikat pelancongan untuk mendapat sebut harga tapi belum dapat balasan. Kalau ada agensi pelancongan yang berminat untuk bekerjasama dengan Haiza bolehlah hubungi myown.entertainment@gmail.com.

“Percutian ini perlu perancangan rapi, sebab nak bagi peluang pada peminat kumpul wang dulu sebelum pergi. Haiza harap perancang untuk bercuti di atas kapal berjaya,” katanya.











.

1 Penyokong CHELSEA:

Anonymous said...

minah ni sejak dah bukak braces.....semakin melebar senyumannya

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!