Sunday, February 26, 2012

Latif Ibrahim, damailah kau di sana...


ISNIN lalu kira-kira pukul 6.10 petang, penyanyi dan pelakon terkenal era 70-an dan 80-an, Latif Ibrahim, 61, telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) akibat sakit jantung di samping komplikasi paru-paru setelah seminggu dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan.

Pemergian Allahyarham di hadapan isteri tercinta Masriah Mahdan, 58, dua anak tersayang Mohd. Hazriqk, 34, dan Haznally, 33, bukan sahaja diratapi saudara mara terdekat malah rakan artis dan juga para peminatnya.

Allahyarham pergi bukan sahaja membawa hajatnya untuk menunaikan umrah yang tidak kesampaian, malah pemergiannya juga membawa segala penderitaan sakit yang dihidapi.
Siapa sangka, Allahyarham yang terkenal dengan sifat murah dengan senyuman serta ramah dengan sesiapa sahaja yang ditemui, sebenarnya menyembunyikan segala penyakitnya daripada pengetahuan orang luar.

Anak seni yang mula mewarnai dunia seni dengan album pertamanya Mengenang Dikau Kembali pada tahun 1977 ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 1993.

Enam belas tahun kemudian, beliau pernah disahkan mengidap paru-paru berair dan tahun 2010 pula, Allahyarham menjalani pembedahan meletakkan stand di injap jantungnya untuk memudahkan perjalanan darah.

Biarpun kehidupannya tidak semewah artis lain, tetapi kekayaan anak seni berjiwa kental ini sebenarnya terletak pada budi bahasa, keramahan serta senyuman manisnya yang tidak pernah lekang dari bibir.

Tidak kira yang muda mahupun yang sebaya dengannya, dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya.
Mungkin kerana Allahyarham lebih selesa dengan panggilan untuk dirinya `abang’ dan `adik’ bagi mereka yang muda daripadanya membuatkan beliau mudah didekati.

Biarpun kelihatan ceria dan gembira pada luarannya, Allahyarham tidak pernah menzahirkan apa juga derita sakitnya kerana tidak mahu orang lain sedih dengan keadaan dirinya.
Bagi pelakon yang menempa kemasyhuran menerusi filem Hapuslah Airmatamu bersama Datuk Sharifah Aini ini, sebagai seniman, hasrat dan impiannya hanyalah untuk menggembirakan para peminat dan teman yang dikenali biarpun menanggung kesakitan.

Masih segar dalam ingatan penulis sewaktu bertemu dengannya pada bulan Ramadan dua tahun lalu untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri bersama kakaknya, seniwati Sophia dan adinda tersayang, Datuk Khadijah.
Meskipun kesihatannya kurang mengizinkan ketika itu, dia menggagahkan dirinya untuk menghadirkan diri bagi sesi fotografi itu kerana tidak mahu menghampakan permintaan orang.

Ditemani isteri tersayang, Masriah yang turut bertindak sebagai pengurusnya, arwah masih kekal dengan personalitinya seperti mana penulis mengenalinya bertahun-tahun sebelum itu.

Dalam kerancakan berbual sepanjang sesi fotografi itu, masih lagi terngiang-ngiang kata-kata Allahyarham sewaktu berbicara tentang penyakitnya.

"Insya-Allah dik. Selagi abang sihat, abang akan datang. Kesediaan adik mengundang abang adik-beradik untuk sesi fotografi ini sudah cukup membuatkan abang berbesar hati di atas ingatan itu," kata Allahyarham sambil melemparkan sekuntum senyum yang menampakkan keluhuran dan keikhlasannya.

Dalam keadaannya menanggung penderitaan, namun yang membuatkan sesi fotografi yang berlangsung hampir dua jam itu, adalah gurau senda dan tawa riang yang sentiasa mewarnai sesi itu yang pastinya akan terus kekal dalam kotak ingatan penulis.
Apatah lagi mereka adik-beradik memang terkenal dengan keakraban dan menjalinkan ukhuwah yang rapat sepanjang hidup mereka.

Itulah Latif Ibrahim, penyanyi yang pernah digelar oleh komposer tersohor, Datuk Dr. Ahmad Nawab sebagai penyanyi yang memiliki suara jantan.
Namun, semuanya kini tinggal kenangan apabila beliau telah meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Apa yang dapat dikenang tentang beliau adalah bakatnya sebagai seorang penyanyi dan pelakon yang berada dalam liga tersendiri.
Sudah pasti, peminatnya tidak akan melupakan aksi romantisnya bersama Sharifah Aini dalam dua buah filem lain yang menggandingkan mereka, Sumber Ilhamku dan Bintang Pujaan yang melabelkan mereka sebagai bintang layar perak paling ideal pada era itu.

Untuk mengubat rindu peminatnya, lagu-lagu merdu nyanyiannya seperti Nora, Mengenang Dikau Kembali, Joget Manis Kata Di Bibir Saja dan Pertama Kali Ku Jatuh Cinta sudah pasti menjadi peneman di kala duka.
Lebih tiga dekad mengharungi dunia seni, Latif Ibrahim boleh dianggap antara artis yang paling bersih daripada segala gosip terutama yang berkaitan dengan cinta.

Ini kerana sewaktu menjejakkan kaki ke dunia seni, beliau sudah pun mendirikan rumah tangga dan sekali gus Allahyarham membuktikan statusnya ketika itu bukan satu masalah mahupun halangan untuk mencipta nama sebagai bintang.
Sudah pasti yang paling merasai kehilangan Allahyarham adalah isterinya yang mengakui arjuna hatinya itu merupakan seorang suami dan ayah yang paling baik.

Malah katanya, sepanjang 38 tahun hidup berumah tangga, arwah seorang yang penyayang dan Masriah bersyukur kerana arwah telah memberikannya kebahagiaan yang tiada galang gantinya.
Bukan hanya kehilangan seorang suami, tetapi juga seorang sahabat yang setia dan sentiasa bersama Masriah walau ke mana sekali pun.

Mengimbau nostalgia sepanjang hidupnya bersama arwah, Masriah memberitahu suaminya itu akan sentiasa memandu kereta untuk menghantar ke mana-mana sahaja walaupun ke pasar raya untuk membeli keperluan dapur.

"Meskipun kini arwah sudah tiada tetapi segala kenangan dan cintanya akan tetap mekar di hati saya.

"Saya reda dengan pemergiannya. Cuma apa yang saya sedih dan kesalkan, sehingga ke hari-hari terakhirnya, beliau masih ralat apabila 50 peratus daripada bayarannya untuk teater muzikal Terima Kasih Cinta masih belum dilunaskan oleh penerbit teater itu.

"Sehinggakan, dua hari sebelum dimasukkan ke IJN, arwah suami ada menghubungi penerbit tersebut yang masih lagi berhutang dengannya.

"Apa yang menyedihkan, panggilan arwah bagaikan tidak dilayan dan penerbit memberikan pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada terus berbicara tentang bayaran itu," kata Masriah dalam nada sebak.
Sayang seribu kali sayang apabila seorang seniman diperlakukan sedemikian sedangkan untuk bintang setaraf Latif, dia sewajarnya diletakkan di tempat selayak dengan statusnya.

Namun, apakan daya. Itulah nasib yang harus dihadapi oleh seniman dan seniwati veteran kita yang bakat serta jasa mereka tidak dihargai oleh pihak tertentu.

Apa pun, Allahyarham Latif sudah pun pergi menemui Pencipta-Nya. Biarpun kadang-kala, sebagai insan, kita bagaikan amat sukar menerima takdir dan ketentuan Ilahi. Namun, apa yang terbaik adalah untuk terus berdoa agar Allahyarham damai dan tenang selain ditempatkan di dalam golongan orang beramal soleh dan beriman. Al-Fatihah. -UM






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!