Tuesday, February 7, 2012

Pengantin diarak naiki basikal tua


Setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk mengabadikan kenangan manis pada hari perkahwinan mereka.
Bagi Nurul Ashikin Abd. Majid, 22, dan Mohammad Tarmizee Aris, 24, yang berkahwin semalam, mereka memilih menaiki beca sambil diarak sekumpulan ahli Kelab Basikal Tua Hilir Perak.

Mempelai bagai pinang dibelah dua itu diarak sejauh 500 meter hingga sampai ke rumah pengantin perempuan di Lorong Haji Rashid Batu 4, Kampung Selabak. Ketibaan mereka disambut gembira oleh ibu bapa pengantin perempuan, Abd. Majid Musilan, 45, dan Jahlilawati Mashod, 43.

Ketika ditemui, Nurul Ashikin memberitahu, dia memilih menaiki beca dan diarak basikal tua bagi memenuhi impian bapanya yang merupakan seorang ahli Kelab Basikal Tua Hilir Perak.

"Semasa saya bercinta lagi, ayah sudah menyatakan impiannya mahu melihat saya dan suami diarak sekeliling kampung menggunakan basikal tua. Semasa ayah dan emak berkahwin pun, mereka diarak dengan basikal tua.

"Selepas ini, mungkin anak-anak saya pula akan menyambung tradisi berarak menggunakan basikal tua ini," katanya.

Menurut Nurul Ashikin, di samping meneruskan tradisi keluarga, cara itu juga bertujuan menggalakkan orang ramai menghargai basikal-basikal tua yang dianggap sebagai barangan antik.





.

1 Penyokong CHELSEA:

NOVA on February 8, 2012 at 12:52 PM said...

wakakkakak... best ar naik basikal.. kan kan.... :)

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!