Thursday, February 16, 2012

Pesakit barah sendi rayu bantuan


Seorang pelajar Tingkatan Dua dan suri rumah yang menderita penyakit barah sendi lutut, merayu simpati orang ramai untuk membiayai kos pembedahan mereka berikutan kesempitan hidup.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Jitra, Kedah, Muhammad Amiruddin Abdullah, 14, dari Kampung Kenangan, Sik, menghidap barah sendi yang memerlukan pembedahan membabitkan kos keseluruhan RM25,500 bagi menggantikan tulang dengan implan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Ema Hassan, 35, yang tinggal di Melor, di sini, pula menderita barah memerlukan RM25,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan sama di hospital berkenaan.

Muhammad Amiruddin ketika ditemui di HUSM Kubang Kerian berharap pembedahan segera dapat dilakukan kerana sudah terlalu rindu untuk kembali bersekolah.
“Saya mahu kembali ke sekolah dan menjalani kehidupan seperti rakan lain,” katanya yang turut menghidap penyakit genetik iaitu ketumbuhan saraf neurofibromatosis.

Ibu Muhammad Amiruddin, Salmah Awang, 43, yang menyara keluarga dengan menoreh getah berkata, kos pembedahan sebanyak RM25,500 itu terlalu besar memandangkan pendapatannya hanyalah kira-kira RM300 sebulan.

Amiruddin agak aktif dalam sukan seperti lompat jauh, tetapi tahun lalu sering mengadu sakit pada kaki, pada masa sama pernah menjalani empat pembedahan pada bahagian mukanya.
"Pada 28 November tahun lalu, ketika kami membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pembedahan muka, doktor memaklumkan bahawa Amiruddin menghidap barah sendi lutut," katanya yang turut mengakui menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM600 bersama suaminya, Abdullah Said, 53.

Salmah berkata, kehidupannya bersama lima anak begitu sukar memandangkan suaminya tidak bekerja kerana buta, manakala dirinya pula separa buta dengan mata kanannya terpaksa dibuang akibat barah mata sebelum ini.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada The New Straits Times Press (M) Berhad dan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke alamat Unit Kebajikan NSTP, NSTP (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur. -BH










.

1 Penyokong CHELSEA:

Anonymous said...

kesihan dia kan. Ada hikmah di sebalik kejadian. Percaya kepada Allah.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!