Akibat kemiskinan hidup, empat beradik di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini terpaksa melupakan hasrat untuk menyarung pakaian seragam sekolah seperti kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka.
Abdul Aziz, 12; Siti Hajar, 10, Abdullah, 8, dan Siti Hawa, 7, merupakan empat daripada tujuh anak kepada pasangan Mohd. Ridzuan Mohd. Suhaimi, 42, dan Zarinatul Asiah Mohamed Isa, 39.
Anak sulung pasangan itu, Abdul Rahman, 14, kini belajar di Sekolah Menengah Taman Bunga Raya dan terpaksa berjalan kira-kira tiga kilometer setiap hari untuk ke sekolah manakala Siti Hawa sepatutnya memasuki tahun satu pada Januari lalu.
Dua lagi anak pasangan itu ialah Abdul Latif, 5, dan Muhamad Hakim (tujuh bulan).
Menurut Mohd. Ridzuan, empat anaknya itu pernah belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Beruntung di sini, tetapi terpaksa berhenti pada tahun ini akibat kesempitan hidup.
Katanya, anak bongsu mereka yang dilahirkan di rumah pula tidak mempunyai sijil kelahiran berpunca daripada kelewatan mendaftarkan kelahirannya.
"Kami hidup miskin sejak tiga tahun lalu apabila saya diberhentikan kerja oleh sebuah syarikat swasta atas alasan kesihatan yang dikaitkan dengan masalah kemurungan.
"Sejak itu usaha untuk mendapatkan kerja tidak berhasil atas faktor usia dan masalah kesihatan. Pelbagai cara telah saya cuba, tapi semuanya tidak berhasil. Kini saya terpaksa berbuat apa sahaja kerja untuk menampung hidup," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari rumah yang disewa sebelum ini dengan kadar RM150 sebulan kerana tidak mampu membayar sewa dan rumah sekarang baru diduduki tiga bulan lalu.
Menurut Mohd. Ridzuan, usaha untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak berhasil apabila diberitahu namanya tidak disenaraikan meskipun sudah tiga kali mengisi borang.
Sementara itu, Abdul Aziz yang sepatutnya berada di tahun enam dan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini tidak dapat menahan tangisan mengenangkan nasibnya tidak dapat bersekolah.
"Saya nak belajar seperti kawan-kawan yang lain. Setiap kali bermain, mereka tanya kenapa saya tidak bersekolah. Saya tahu boleh dapat 5A (dalam UPSR), cuma saya tak dapat pergi ke sekolah," katanya.
Menurutnya, keluarganya hidup dalam kesusahan dan menu harian mereka adalah nasi dan telur goreng sahaja.
.
1 Penyokong CHELSEA:
Alahai...siannye budak2 nie...
Post a Comment