Monday, April 9, 2012

Bayar RM25,000, diploma tak diiktiraf


IMPIAN melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang pekerjaan yang diminati memang merupakan harapan setiap remaja di negara ini meskipun laluan ke arah itu seringkali berdepan dengan pelbagai dugaan.

Begitulah nasib yang dialami oleh enam remaja di Johor apabila diploma yang diterima selepas menamatkan pengajian selama tiga tahun di Institut Neo-Art tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Wakil penuntut, Foo Yong Senn, 24, yang mengambil jurusan Diploma Multimedia dan Seni Reka Grafik di institut berkenaan berkata, dia melanjutkan pengajian bersama lima rakannya mulai Jun 2007 dengan yuran keseluruhan antara RM22,500 hingga RM25,000.

Menurutnya, ketika mula mendaftar diri, pihak institusi pengajian tinggi itu memberitahu bahawa diploma yang ditawarkan diiktiraf oleh MQA dan penuntut tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

''Kami mula menyedari diploma daripada institut ini tidak diiktiraf pada semester akhir iaitu pada 2009 menerusi maklumat yang disampaikan penuntut senior yang mengalami masalah kesukaran mendapatkan pekerjaan,'' katanya.

Yong Senn berkata, dia bersama rakannya kemudian membuat semakan beberapa kali dengan MQA dan terbaru pada 9 Februari lalu.

Menurutnya, maklum balas yang diterima amat mengejutkan apabila diberitahu setakat ini MQA belum menerima sebarang permohonan daripada institusi tersebut.

Ekoran tidak berpuas hati dengan maklumat yang diterima, mereka kemudiannya tampil ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru bagi menuntut kembali yuran pengajian masing-masing.

Selain Yong Senn, lima lagi rakannya yang mengemukakan tuntutan sama ialah Lee Soo Ying, 25; Low Wei Ting, 27; Sai Yong Seng, 24; Victor Kwa Boon Leng, 24; dan Sih Swee Wah, 24.

Pada prosiding tribunal itu baru-baru ini, Presidennya, M. Suppiah memerintahkan Institut Neo-Art membayar balik yuran pengajian yang dituntut keenam-enam pelajar berkenaan berjumlah RM147,500 dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan.

Sementara itu, wakil Institut Neo-Art yang enggan namanya disiarkan tidak berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan dan akan merujuk kes terbabit ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 30 hari.

''Saya tidak berpuas hati dengan keputusan dikeluarkan. Bagaimanapun, kami akan membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi menolak tuntutan berkenaan kerana kami mempunyai bukti yang cukup,'' katanya.





.

1 Penyokong CHELSEA:

Cik Purple on April 9, 2012 at 4:04 PM said...

macam macam la skg nih.. kesian dorang..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!