Setelah sekian lama memberi janji, akhirnya pelakon Watie Elite sudi berkongsi gambar-gambar pernikahannya dengan penyanyi Beradu Suratan, Joey. Meskipun telah lima bulan berlalu, gambar-gambar menarik sekitar pernikahan rahsia pasangan ini masih mempunyai nilai beritanya kerana belum tersiar dalam mana-mana akhbar juga di Internet.
Pasangan ini bernikah di rumah Watie di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur dengan diwalikan oleh adik lelaki Watie sendiri, Mohd Norazly Sadali. Keluarga rapat kedua-dua pengantin memberi restu termasuklah ibu Joey, Zaidah Zakaria yang datang dari Johor untuk sama-sama menyaksikan detik bersejarah itu.
Pertama kalinya juga, Watie membuat pengakuan mengenai apa sebenarnya yang berlaku sehingga membuatkan pernikahan mereka dirahsiakan daripada orang ramai.
“Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa-apa tentang acara akad nikah. Joey merancang seorang diri secara rahsia dan saya sangat terkejut apabila pada malam itu rumah kami didatangi juru nikah.
“Keluarga saya juga diuruskan oleh Joey dan rupa-rupanya mereka telah berpakat dan membuat perancangan secara sulit untuk menikahkan kami.
“Saya bukan merahsiakan babak-babak indah ini tetapi detik-detik pernikahan itu adalah perancangan kejutan untuk saya oleh suami,” kata Watie membetulkan tanggapan.
Joey penyayang
Berjodoh dengan Joey, seorang artis yang berada di kelas tersendiri dalam kualiti kesenimannya adalah satu pilihan. Meskipun pelbagai pertanyaan dan jolokan gelaran diberikan, pada Watie dia menerima takdir berjodohan dengan lelaki berkarisma romantis itu.
Kata Watie, cinta agung Joey terhadap dirinya membuatkan dia nekad untuk menerima lamaran yang dibuat setelah lebih setahun berkenalan.
“Dia melayan saya seperti seorang puteri, kasih sayang dia sarat dan saya berasa sangat dihargai.
“Biarpun kami tidak kaya harta, tidak terlalu mewah tetapi kasih sayang Joey yang melimpah kepada saya dan anak, Afif (8 tahun) telah menyatukan kami dalam ikatan pernikahan.
“Saya harap semua pihak akan mendoakan agar pernikahan ini memberi bahagia yang selamanya, sepanjang kehidupan buat kami.
“Keinginan saya selepas ini tidak lain mahu cepat-cepat hamil dan melahirkan anak kami. Sangat tidak sabar untuk melihat bagaimana rupa anak kami itu nanti,” pinta Watie yang merupakan ibu kepada seorang anak lelaki hasil pernikahan terdahulu. -utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment