Wednesday, May 9, 2012

Lelaki aktif sukan elak osteoporosis


Lelaki berusia awal 20-an yang aktif bermain bola sepak, bola tampar, bola keranjang atau sebarang jenis sukan beban tinggi mampu mengelak daripada penyakit osteoporosis atau reput tulang, menurut satu kajian terkini. Penyelidik kanan kajian tersebut, Dr. Mattias Lorentzon dari Universiti Gothenberg, di sini berkata, aktiviti beban tinggi bukan hanya membantu dalam pembinaan tulang, malah turut menjadikan tulang lebih besar berbanding mereka yang tidak berbuat apa-apa pada usia yang sama.

Menurut beliau, tulang besar yang padat dikatakan memberi lebih perlindungan menentang osteoporosis, satu penyakit yang menyerang lelaki dan wanita di mana tulang menjadi poros dan lemah sejajar pertambahan usia terutama ketika mencecah usia separuh abad. "Osteoporosis sebenarnya bermula ketika usia 25 tahun apabila tulang mula hilang tisunya. Kajian ini memberi mesej jelas bahawa semakin banyak anda bergerak, semakin banyak tulang dihasilkan," katanya.

Menurutnya sukan yang melibatkan pemainnya melompat, bermula dengan pantas dan kemudian berhenti berupaya meningkatkan beban kepada tulang, sekali gus memberi perlindungan secara semula jadi. Dr. Lorentzon dan pasukannya mendapati, bola keranjang dan bola tampar adalah permainan yang paling berkesan untuk membina kepadatan tulang, diikuti bola sepak dan tenis. Osteoporosis menyerang lebih 200 juta penduduk dunia dan ia biasa menyerang wanita, namun lelaki tidak terkecuali, terutama apabila usia mereka melebihi 65 tahun.

Kajian tersebut dijalankan di kalangan 833 lelaki berusia 18 hingga 20 tahun dengan mengukur kepadatan tulang dan lain-lain maklumat seperti tabiat senaman. Lima tahun kemudian, responden dipanggil semula bagi mengimbas kepadatan tulang dan aktiviti yang dilakukan. Penyelidik mendapati, lelaki yang terlibat dengan sukan beban tinggi selama empat jam setiap minggu atau lebih, menunjukkan peningkatan kepadatan tulang pinggul sebanyak 1.3 peratus. Sebaliknya, lelaki yang tidak melakukan sebarang sukan kehilangan 2.1 peratus kepadatan tulang pinggul, mendedahkan mereka kepada risiko tulang rapuh. - AGENSI




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!