AKHIRNYA Lembaga FA Antarabangsa (IFAB) telah sebulat suara memberi lampu hijau kepada penggunaan teknologi garisan gol setelah ujian menyeluruh dikendalilkan. Kini ia memilih dua sistem - Hawk-Eye dan GoalRef bagi tujuan tersebut. Banyak persoalan yang berada di benak fikiran - adakah teknologi ini mampu menghilangkan rasa tidak puas hati peminat-peminat selama ini? Adakah perlawanan bola sepak sudah tak menarik lagi untuk ditonton? Adakah tindakan ini tepat pada masanya? Sebelum ini, kita sering disajikan dengan kontroversi-kontroversi yang menyelubungi aksi bola sepak terutamanya pada peringkat antarabangsa ini.
Kontroversi inilah yang menjadikan bola sepak itu menarik untuk diperkatakan. Lihat saja pada jaringan "Hand of god" yang di cetuskan Maradona. Sehingga kini kita masih memperkatakan jaringan tersebut meskipun diselubungi kontroversi. Presiden Fifa, Sepp Blatter melakukan pusingan-U apabila beliau mengubah fikiran setelah melihat satu persatu insiden yang berlaku. Fifa sendiri mendapat banyak bantahan sebelum ini apabila menangguhkan penggunaan teknologi ini. Positifnya tiada lagi keputusan kontroversi akan berlaku. Teknologi ini akan dapat menentukan sama ada bola telah melintasi garisan atau sebaliknya. Ia jelas sekali tidak akan memberi kesan ke atas keseluruhan mutu dan keaslian permainan.
Secara negatifnya mungkin juga dengan adanya teknologi garisan gol ini akan mewujudkan ketidakseimbangan yang pasti menunjukkan kelemahan kuasa pengadil. Kita lihat nanti sejauh mana keberkesanannya. Ia mula digunakan pada persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Jika keputusannya positif akan diteruskan pada kejohanan Piala Dunia Kelab Fifa Disember ini dan jika berjaya, akan diguna pakai oleh pertandingan Piala Konfederasi 2013 dan Piala Dunia 2014. Apapun kontroversi dan polemik akan berterusan. Teknologi akan kekal sebagai teknologi. Kesilapan dan kekurangan manusia juga akan berkekalan dan berterusan.-SH
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment