TANGGAL 31 Ogos merupakan tarikh bersejarah bagi rakyat Malaysia kerana menyambut hari kemerdekaan setiap tahun. Namun, bagi pengarah terkenal, Aziz M Osman, 50, dan isteri, Puteri Lily Lokman, 23, tarikh itu sangat bererti buat mereka kerana bukan sahaja menyambut detik kemerdekaan, malah diserikan dengan ulang tahun puteri kesayangan. Dilahirkan pada 31 Ogos 2011, Puteri Nur Azzahra, yang lebih manja disapa Ara merupakan anak ketujuh Aziz. Walaupun memiliki enam anak dengan perkahwinan terdahulu, Aziz tidak pernah membezakan kasih sayang antara mereka. “Semuanya anak saya, jadi semuanya saya sayang. Tiada lebih dan tiada kurang. “Lagipun, anak-anak lain dah besar. Mereka lebih teruja untuk mendapat adik dan tidak jemu melayan karenah Ara. “Bukan sahaja dengan Ara, malah dengan Lily pun mereka selesa. Mereka memanggil Lily, ‘mummy’,” kata pemilik syarikat produksi, Ace Motion Picture ini. Menerusi perkahwinan pertama, Aziz dikurniakan seorang anak, Puteri Nur Fatihah, 23. Anak-anak bersama bekas isteri, Nor Aliah Lee, pula seramai lima orang, Puteri Nur Asyikin, 20, Putera Mohd Aiman, 17, Puteri Nur Aishah, 13, Puteri Nur Ain, 11 dan Putera Mohd Ameen, 9.
Punyai peminat sendiri
SEJAK usia lima bulan lagi, Ara ditempatkan di sekolah swasta, Tumble Tots, bersama beberapa rakan lain di pusat membeli-belah e@Curve, Damansara. Walaupun ada mengatakan terlalu awal untuk bayi menghadiri kelas atau sekolah, namun bagi Lily, ada perkara harus dipelajari Ara untuk dia bergaul dan melalui fasa tumbesaran. “Seminggu sekali, setiap Sabtu atau Ahad, saya akan menemani Ara di kelas selama sejam. Di sana, Ara akan belajar cara-cara bergaul, merangkak, turun daripada tempat tinggi dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. “Perkembangan otak manusia bermula daripada kecil lagi. Oleh itu, bayi lebih senang dan mudah memahami segala perkara. Sebab itulah saya inginkan yang terbaik untuk Ara. Lagipun, kakak dan abang dia yang lain juga menyertai kelas itu ketika kecil dahulu. “Setakat ini, saya nampak banyak perubahan pada Ara. Dia lebih pandai bergaul dan berhati-hati dalam setiap langkah,” kata Lily yang pernah menceburi bidang peragaan. Menurut Lily lagi, ramai di kalangan peminat yang menyuruh agar dia mencipta Fan Page untuk Ara. “Ramai meminta saya buat Fan Page Ara. Boleh dikatakan, peminat Ara lebih ramai daripada peminat Aziz. “Ada juga tidak dikenali merayu agar saya terima permintaan menjadi rakan dari laman sosial, Facebook saya, semata-mata nak tengok gambar terbaru Ara,” katanya yang tidak melarang sekiranya Ara mahu berjinak dalam dunia seni.
Anggap seperti anak sendiri
WALAUPUN berlainan ibu, namun ikatan adik-beradik di antara Ara dengan kakak dan abangnya
amat akrab. Menurut Lily, dia tiada sebarang masalah dengan anak-anak Aziz kerana sebelum berkahwin lagi, mereka memang rapat. “Ara pun manja dengan kakak dan abangnya. Kalau saya menjemput mereka dari sekolah, mere- ka bukan salam saya dan ayah mereka dulu. Tapi, terus terkam Ara. “Selalunya, pada hujung minggu anak-anak yang lain akan berada di rumah ibu mereka. Bila kami hantar kakak dan abangnya, Ara mesti sedih dan menangis. “Walaupun mereka bukan anak kandung saya, tapi saya angap mereka anak-anak saya. Sebab itulah ikatan mereka dengan Ara sangat rapat. Lagipun, tak pernah ada yang merungut atau cemburu dengan Ara,” kata anak kepada pelakon dan pengarah veteran, Lokman Ghani ini.
Tampil filem terbaru
BIARPUN sibuk dengan urusan keluarga, Aziz tidak sesekali melupakan karier seninya. Sentiasa mencari idea dan karya terbaru untuk Ace Motion Picture, Aziz bakal memperkenalkan sentuhan terbarunya, Penunggu. Menurut pengarah filem Azura 2012 ini, filem berkonsepkan paranormal itu telah memulakan proses penggambaran. “Alhamdulillah, hampir 20 peratus penggambaran sudah selesai. Saya berharap, ianya berjalan lancar seperti yang dijadualkan. “Insya-Allah, filem ini akan menemui penonton awal tahun depan,” kata yang pernah mengarahkan filem Lagi-Lagi Senario ini.
Tidak mahu berlakon
WALAUPUN peluang untuk Lily berlakon terbuka luas kerana suaminya seorang penerbit dan pengarah, namun bagi ibu muda ini, ia bukanlah satu jalan mudah untuk popular. Nekad untuk tidak akan berlakon, Lily memberitahu, dia lebih selesa berada di belakang tabir dengan menguruskan kerjanya di syarikat produksi itu. “Saya tak minat nak berlakon. Walaupun Aziz tidak pernah menghalang, tapi saya yang tidak mahu. “Cukuplah saya berada di belakang tabir. Biarlah orang yang betul-betul berbakat untuk muncul. “Pun begitu, saya dilantik sebagai duta produk kecantikan daripada Indonesia, Pretty. Selain itu, saya juga ada menjual produk kecantikan dari luar negara, AgeLoc,” katanya.
.
2 Penyokong CHELSEA:
comel !
Comel sama bufday ngan anak sy...hehehe
Post a Comment