Monday, July 9, 2012

Sinopsis Filem 8 Jam



DELINKUEN merujuk tingkah laku yang melanggar norma masyarakat seperti mencuri, membunuh, memukul, melawan guru, derhaka kepada ibubapa dan lain-lain lagi. Delinkuen sama pengertian dengan devian namun devian lebih bersifat umum manakala delinkuen merujuk had umur remaja. Filem 8 Jam menceritakan seorang delinkuen iaitu Alang Budiman, anak lorong. Budiman merujuk kepada budi selalu dikaitkan dengan pekerti, akhlak dan keperibadian murni. Budi lambang ketinggian akal, selalu disebut akal-budi dan hati-budi. Akal menjadi faktor pembeza antara manusia dan binatang. Namun sayangnya Alang Budiman tidak seperti namanya.

Dia adalah banduan akhir yang sedang menunggu ke tali gantung yang mana adegan pemerian hukuman maut itu pula sayangnya telah dipotong. Dalam filem The Green Mile (1999) adaptasi novel Stephen King dengan judul yang sama lakonan Tom Hanks, kita dapat saksikan sendiri adegan pesalah mati di kerusi elektrik. Filem ini mempunyai premis yang baik. Di mana hukuman di kerusi elektrik bukanlah suatu yang dimenangkan dalam filem dan kesalahan banduan bukanlah menjadi fokus utama naratif. Sebaliknya filem ini mengenakan hukuman tersebut ke atas John Coffey seorang manusia kulit hitam yang berhati lurus dan mempunyai tenaga hayat yang dapat merawat seekor tikus cedera teruk dan merawat masalah infeksi saluran kencing dialami oleh Paul Edgecomb, polis penjara yang simpatik kepadanya.

Sebaliknya dalam filem 8 Jam perilaku delinkuen ditekankan pada watak Alang Budiman. Konsep filem 8 Jam sudah baik dan diharapkan dapat memperkembangkan naratif lebih baik lagi. Pemilihan latar lorong belakang, komuniti peniaga pasar dan keganasan along juga berasosiasi dengan situasi sosial masa kini. Namun konsepnya tidak dibangunkan dengan baik. Pada minit awal, syot Alang Budiman semasa remaja, berlari dengan paha ayam tergigit di mulutnya. Dia dikejar oleh peniaga dan diperkenalkan ibunya sebagai salah seorang daripada komuniti tersebut. Telitilah jawapan Alang yang beralasan lapar semata-mata. Dan ibunya menariknya dan mereka sudah sampai di rumah. Alang diberikan ibunya nasi dan ayam. Ini menunjukkan ibunya tiada halangan untuk menyediakan makanan tersebut untuk anaknya.

Faktor penyebab Alang bertindak mencuri adalah lemah, dan seharusnya bukan semata-mata kerana lapar. Ibunya seorang peniaga buah-buahan di lorong pasar. Bagi mengukuhkan penceritaan dinyatakan ibunya seorang yang meminjam daripada along. Dan adegan pinjaman along hanya ditunjukkan ketika ibunya meminjam RM10,000 untuk melarikan diri. Ibunya mendengar nasihat rakannya juga seorang peniaga agar membawa anaknya keluar dari lorong atau kehidupan sebagai peniaga pasar tanpa alasan munasabah. Ia tidak kuat untuk menyokong kausaliti naratif kerana banyak juga peniaga berjaya menjadi jutawan senyap.

Seharusnya pemerincian dilakukan kerana kelonggaran akan mengakibatkan persoalan timbul di fikiran penonton yang boleh menganggu penghayatan penonton terhadap karya. Selepas ibunya ditampar oleh along sehingga mati ketika cuba melarikan diri, Alang telah dijaga oleh Rumah Bakti Ulu Kelang. Alang disekolahkan dan diberikan tempat berteduh. Alang bercinta dengan Julia. Di sekolah Alang seorang delinkuen, bergaduh dan melawan gurunya. Ia semata-mata sebab cinta kepada Julia. Jika tidak salah pandangan saya, dalam satu adegan, Alang telah dimarahi oleh guru kerana membaca komik Hong Kong dalam kelas. Gurunya berkata, di sini (sekolah) bukannya tempat untuk belajar taekwando dan silat. Mengapa nama silat pula dikaitkan?


Berkemungkinan adegan ini bertujuan menyediakan bukti mengapa Alang sangat mahir dalam mempertahankan diri, sehingga menjadi alat untuk memukul rakan sekolahnya. Hakikatnya gerak aksi 'stunt' dari koreografi Thailand yang membaluti keseluruhan aksi filem 8 Jam ini. Aspek lain seperti bagaimana waris Julia dan pemilik (MakKam) rumah bakti ada di depan rumah Alang untuk menjemput Julia pulang ke rumah setelah melarikan diri akibat merajuk dengan tunangnya. Dan kemudian waris Julia menunggu Julia dibawa sementara Julia berkemas dan akhirnya ditikam dengan pisau oleh Alang di pinggangnya lalu mati. Kausalitinya lemah dan nampak terlalu diada-adakan.

Sewajarnya adegan dan rahsia Alang membunuh Julia diteliti dan dibuat agar menyakinkan. Naratifnya seharusnya lebih mendebarkan sesuai dengan judulnya 8 Jam bukan hanya sekadar menyatakan sebab yang menjadi titik tolak naratif. Detik kematian sangat mengujakan jika diperhalusi lagi. Alang memetik kata Imam al-Ghazali perkara yang paling jauh ialah masa lalu manakala yang paling dekat ialah kematian. Ini menunjukkan Alang menerima kematian tetapi menangis kerana tidak dapat merasa bersalah membunuh Julia. Sesuai dengan delinkuen yang selalunya tidak merasa bersalah melakukan pelanggaran lazimnya berlaku ke atas remaja dangkal pemikirannya bukannya orang dewasa yang mula ada komitmen hidup.






.

2 Penyokong CHELSEA:

Unknown on July 9, 2012 at 10:09 AM said...

cerita2 macam ni jalan cerita kadang2 bosan.. tapi bab aksi memang boleh dikatakan terbaek..

Anonymous said...

pada pamndangan saya tiada cacatnya pada plot 8jam. ianya tidak kelihatan macam diada-adakan. logiknya, cikgu menyebut silat boleh saja dianggap seorang guru yang sedang marah atau sekurang-kurangnya buat-buat marah tersasul menyebut 'silat'. kekemasan dan kepantasan jalan cerita dalam 8 jam menunjukkan kematangan skrip. kalau kita bayangkan berada di kedudukan ibu Alang dan rakannya, mengapa mustahil ibunya merancang keluar dari lorong, untuk ke satu wilayah yang lebih baik untuk pembesaran anaknya.. bahkan, scene makkam dan tunang serta makcik julia hadir ke rumah alang juga bukanlah suatu yang aneh untuk sukar diterima kemungkinannya. 4 1/2 bintang untuk 8 jam.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!