Friday, August 31, 2012

Penjara 15 tahun kerana memandu secara berbahaya


Mahkamah daerah Jakarta Pusat pada Rabu menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara terhadap seorang wanita kerana memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan sembilan orang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di sini awal tahun ini. Afriyani Susanti, 29, yang pada hari kejadian memandu kereta di bawah pengaruh dadah dan alkohol, didakwa dengan tuduhan membunuh, namun mahkamah dalam keputusannya mendapati tidak ada bukti yang boleh mensabitkannya dengan kesalahan membunuh dengan niat, media tempatan melaporkan.

Sejurus selepas Ketua Majlis Hakim Antonius Widyanto membacakan hukuman itu, seorang anggota keluarga korban kemalangan itu telah menjerit kepada hakim membantah hukuman itu yang disifatkannya terlalu ringan. Bantahan lelaki itu mendapat sokongan beberapa anggota keluarga yang turut kehilangan orang tersayang dalam kemalangan itu, sehingga suasana dalam mahkamah menjadi riuh dan kecoh seketika.


Dalam nahas pada pagi 22 Jan lalu, kereta yang dipandu laju oleh Afriyani merempuh 13 pejalan kaki di sebuah perhentian bas di Jalan Ridwan Rais, berhampiran Tugu Tani, Jakarta Pusat, menyebabkan sembilan daripada mereka terbunuh. Pada sebelah malam sebelum kejadian itu, Afriyani menghabiskan masa di sebuah kelab malam di sebuah hotel di sini bersama beberapa orang rakannya. Salah seorang peguam bela Afriyani berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, manakala pihak pendakwa raya menyatakan akan mengkaji terlebih dahulu sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak. - Bernama






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!