Sunday, September 2, 2012

'Doakan saya berpeluang menjadi ibu..'


BERTUAHNYA wanita yang bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 33. Bukan sahaja dikurniakan suara yang merdu dan bakat luar biasa dalam bidang seni, malah anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini dianugerahkan dengan raut wajah jelita yang tidak jemu dipandang. Semakin diamati, semakin terserlah keistimewaan yang dimilikinya. Tutur bicaranya yang sopan dan limpahan rezeki oleh Yang Maha Esa melengkapkan pakej Siti Nurhaliza sebagai wanita bertuah. Melihat kepada kualiti ini, tidak hairanlah Siti Nurhaliza atau mesra dengan sapaan Siti begitu digilai ramai. Peminatnya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah merentasi negara serantau seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Begitulah hebatnya penangan wanita ini. Walaupun namanya berada di puncak namun Siti masih berpijak di bumi nyata. Di sebalik kemasyhuran yang dikecap, Siti mengakui selesa menjalani kehidupan secara sederhana bersama insan yang disayangi. Malah pelantun lagu Cindai dan Bukan Cinta Biasa ini tidak kekok turun ke dapur mempelajari resipi kegemaran suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa daripada ibu mentuanya, Siti Zainab Hanaffi. “Suami suka makan ketupat palas dan rendang. Jadi selepas berkahwin, Siti belajar menganyam sarung ketupat palas dengan ibu mentua. Mula-mula memang susah juga, tapi Siti tidak putus asa. Berkat usaha gigih dan tunjuk ajar ibu mentua, akhirnya Siti berjaya juga menyiapkan sarung ketupat palas. Mak mentua pun kata Siti dah lulus,” seloroh Siti.

Status sebagai artis tidak menghalang Siti membantu ibu, Siti Salmah Bachik, dan ibu mentuanya menyiapkan juadah di pagi Syawal. Siti mengakui air tangan kedua-dua insan istimewa ini begitu enak. “Siti tidaklah memasak tapi sekadar membantu menyediakan bahan masakan. Ibu atau ibu mentua yang menyiapkan resipi. Sentuhan kasih sayang seorang ibu menerusi masakan menambat hati seisi keluarga. Air tangan mereka memang juadah yang dinantikan di pagi Syawal,”cerita Siti.


Belum bersedia ambil anak angkat 

Sepanjang tujuh tahun melayari alam rumah tangga, Siti dan Datuk Seri Khalid sabar menantikan kehadiran cahaya mata. Nyata rezeki masih belum menyebelahi mereka. Pun begitu, Siti mahupun suami tidak berputus asa sebaliknya terus berusaha agar dikurniakan anak. “Siti sentiasa mendoakan agar kami diberikan anak. Siti bersikap terbuka mengenai perkara ini. Siti dan suami sedia mencuba pelbagai kaedah moden dan tradisional sebagai usaha mendapatkan anak selagi ia tidak bertentang dengan ajaran Islam. Memang ramai yang tanya mengenai anak tapi siapa Siti untuk memberi jawapan ini kerana Siti pun tidak tahu bila Allah akan kurniakan cahaya mata kepada Siti dan suami.


“Apa yang mampu Siti katakan, doakan Siti diberi peluang menjadi ibu. Siti pernah juga terfikir untuk mengambil anak angkat tetapi buat masa ini Siti masih mahu berusaha memiliki zuriat sendiri. “Siti terharu dengan sokongan keluarga kedua belah pihak, mereka faham situasi Siti. Begitu juga dengan peminat yang setia memberi sokongan moral. Siti berharap doa Siti dan suami akan dimakbulkan Allah,”jelas Siti yang amat berahsia mengenai hal peribadi. Peningkatan usia menjadikan seorang isteri semakin matang merencana masa depan. Bukan sahaja kerjaya dan keluarga menjadi fokus malah Siti mengakui dia semakin peka menjaga kesihatan dan kecantikan.

“Siti dapat rasakan berat badan susah nak turun apabila usia bertambah. Jadi Siti tidak lagi berdiet seperti dulu untuk menurunkan berat badan. Sebaliknya Siti melakukan senaman secara rutin dengan suami. “Kami akan bersenam di gimnasium di bawah bimbingan jurulatih peribadi. Selain itu, kami juga gemar berjoging dan sukan tinju. Aktiviti riadah ini mengekalkan stamina, menjaga kesihatan dan mengekalkan berat ideal. Ia juga menjadikan otak kita semakin cergas. Siti dapat rasakan hidup menjadi lebih aktif selepas bersenam secara konsisten,”katanya yang bersenam empat hingga lima kali seminggu.-SH







.

4 Penyokong CHELSEA:

Unknown on September 2, 2012 at 3:13 PM said...

sama-samalah kita doakan dia.. amin.

Solehah Shamsuddin on September 2, 2012 at 3:19 PM said...

saya peminat setia siti nurhaliza :)

mujagirl92 on September 2, 2012 at 7:33 PM said...

kecian lak dye,, tak la mint sangat,, tapi tk gak tak minat

Myra Jay on September 4, 2012 at 4:52 PM said...

InsyaAllah mudah-mudahan Siti..

MJ pun mendoakan untuk diri jugak :D

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!