Sunday, November 25, 2012

Kemalangan besar melibatkan 150 kenderaan (4Gambar)


Cuaca berkabus dipercayai punca kemalangan membabitkan 150 kenderaan termasuk trak dan lori besar di lebuh raya Texas kelmarin. Sekurang-kurangnya dua orang maut dan lebih 100 lagi cedera dalam kejadian itu, kata jurucakap polis. Lebuh raya Interstate 10, kira-kira 25 kilometer ke barat Beaumont, membabitkan pelanggaran di sepanjang laluan itu.


Ia juga menyebabkan laluan di lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup kepada kenderaan, kata jurucakap sherif Jefferson County, Rod Carroll. “Kami dapati beberapa lori besar di atas kenderaan dan kereta di atas kereta lain. Keadaan sungguh teruk,” kata Carroll yang mengesahkan anggota penyelamat terus mencari mangsa.


Dua mangsa yang maut ditemui di bawah sebuah treler, katanya. Selepas semua kenderaan diperiksa, pihak berkuasa menganggarkan 100 orang cedera, 12 daripada mereka parah atau cedera teruk, kata Carroll. “Pemandu tidak mengikut peraturan memandu dalam keadaan cuaca begitu,” katanya lagi. Ada pemandu yang cedera ringan membantu anggota keselamatan mencari mangsa.


Dia memberitahu, beberapa kemalangan berlaku di kawasan berasingan meliputi jarak 1.5 kilometer di sebelah timur dan barat lebuh raya itu. Lebuh raya berkenaan penuh sesak dengan pemandu yang mengambil cuti sempena perayaan ‘Thanksgiving.’ Kebanyakan kenderaan mencatat kelajuan hampir 110 kilometer sejam meskipun cuaca berkabus yang mengurangkan jarak penglihatan, kata Carroll. Selepas beberapa lama, laluan ke arah barat lebuh raya itu dibuka semula kepada kenderaan, katanya. - Agensi






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!