Sunday, December 23, 2012

Bahaya! Ayam KFC tercemar?


Yum Brands Inc, pemilik rangkaian makanan segera KFC telah dibekalkan dengan ayam yang mengandungi antibiotik berlebihan di China, kata pihak berkuasa keselamatan makanan yang menyiasat dakwaan mengatakan produk KFC tercemar. Penemuan oleh Pentadbiran Dadah dan Makanan Shanghai (SFDA) memberi tamparan hebat terhadap reputasi KFC di China, yang mana ia berdepan persaingan sengit daripada rangkaian ayam goreng Taiwan, Dico dan syarikat mee Jepun, Ajisen (China) Holdings Ltd. Yum Brands mengunjurkan penurunan dalam jualan di kedai sama di China pada suku keempat. Lapan daripada 19 kumpulan sampel ayam Yum Brands dihantar ke makmal ujian pada 2010 dan 2011 mendapati ia mengandungi tahap antibiotik yang terlalu tinggi, kata SFDA dalam satu kenyataan di laman web lewat kelmarin.

Satu siasatan telah dijalankan untuk menentukan sama ada Yum Brands telah mengambil langkah pencegahan pada masa itu dan syarikat berpangkalan di Louisville, Kentucky mungkin berdepan hukuman keras jika siasatan menunjukkan ia telah melanggar undang-undang, kata SFDA. Saham Yum Brands menyusut empat peratus sejak 18 Disember apabila televisyen China, CCTV melaporkan beberapa pembekal ayam di wilayah timur Shandong telah membekalkan ayam dengan ubat anti-virus dan hormon untuk mempercepatkan pertumbuhan mereka. SFDA sedang meneliti laporan di dalam CCTV itu dan masih tidak mengeluarkan sebarang penemuan lagi, tetapi pihak berkuasa di Shandong telah menutup dua ladang ayam di timur China, termasuk satu yang dibekalkan ke KFC dan McDonald Corp, lapor akhbar harian rasmi Shanghai kelmarin.

Pegawai di Yum Brands di China tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Anak syarikat KFC di China telah berikrar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, manakala McDonald menulis dalam blog mikro rasmi mereka mengatakan bahawa ayam dan bahan-bahan mentah mereka telah melalui ujian makmal pihak ketiga yang bebas. Saham Yum Brands yang turut memiliki Pizza Hut dan Taco Bell, ditutup satu peratus lebih rendah pada AS$69.49 di New York kelmarin. China telah cuba menghapuskan perlanggaran undang-undang kesihatan yang menghantui sektor makanan di negara itu di tengah-tengah laporan minyak masak palsu, susu yang tercemar dan termasuk buah tembikai meletup. Pada 2008, susu yang dicampur dengan bahan kimia industri melamin membunuh sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dan menyebabkan hampir 300,000 jatuh sakit. - REUTERS







.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!