Wednesday, January 4, 2012

Pelajar Malaysia stabil setelah terlibat kemalangan


Kementerian Luar hari ini menjelaskan, laporan mengenai penuntut Malaysia terbunuh dalam kemalangan di New Jersey, Amerika Syarikat pada Isnin lalu adalah tidak tepat sebaliknya mereka kini dirawat di hospital.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Hennis Tung, penuntut di Ohio State University, telah terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa bercuti dan kini dirawat di Hospital Robert Johnson, Rutgers, New Jersey.

Penuntut itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abang Hennis yang juga penuntut di universiti yang sama telah dihubungi dan memaklumkan bahawa ibu bapa mereka akan tiba di Amerika Syarikat hari ini.


Anifah berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di New York telah memberi bantuan kepada mangsa dan keluarga dan juga diarahkan untuk memantau keadaan penuntut itu dari semasa ke semasa untuk dimaklumkan kepada Wisma Putra.

Sebelum ini, akhbar The Republic yang berpejabat di Columbus, Indiana, Amerika Syarikat melaporkan seorang penuntut Malaysia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya apabila kenderaan yang dinaikinya bersama empat yang lain terbabas di laluan Interstate 78.










.

Hasrat ‘hadiah Tahun Baru’ tak kesampaian


Polis menahan seorang lelaki kerana cuba mencuri sebuah kereta api ekspres gara-gara niatnya untuk memberikannya sebagai ‘hadiah Tahun Baru’ kepada teman wanitanya.

Lelaki terbabit, Ketan Kumar, 25, menaiki Ekspres Amrapali 15708 ke Katihar dari utara India, Amritsar pada malam tahun baru dan mengacu pistol ke kepala pemandu ketika mengarahkannya memberhentikan kereta api berkenaan.
Kejadian berlaku pada pukul 8 malam waktu tempatan. Apabila pemandu, Janardan Paswan enggan mematuhi arahan berkenaan, Kumar menyerangnya dengan memukulnya menggunakan pistol terbabit, kata polis.

Penumpang kereta api yang mendengar bunyi bising bergegas membantu. Mereka bergelut dengan Kumar dan membelasahnya sebelum menyerahkannya kepada anggota polis yang ditugaskan mengawal kereta api.

Polis kemudian mengambil keterangan Kumar dan disumbat dalam penjara selepas itu.

“Shah Jahan membina Taj Mahal sebagai memperingati isterinya, Mumtaz Mahal. Oleh sebab itu, saya mahu mengambil alih enjin kereta api berkenaan dan memberikannya sebagai hadiah kepada teman wanita saya tetapi polis menghalang rancangan saya,” kata pemuda itu kepada pihak berkuasa.

Kumar juga enggan mendedahkan nama teman wanitanya. “Saya tidak akan dedahkan nama teman wanita saya,” katanya selepas digari dan terus membantah tindakan polis menahannya.

Polis turut mendakwa Kumar atas tuduhan bertindak membahayakan nyawa beratus-ratus penumpang kereta api itu. Dia terus ditahan reman sehingga menunggu perbicaraan.










.

WORDLESS WEDNESDAY

klik pada gambar untuk lebih jelas ;)











.

Iklan gigi paus di Facebook


Seorang lelaki yang cuba menjual gigi dan tulang rahang ikan paus di laman web Facebook diberi amaran akan berdepan dengan dakwaan. Bangkai paus sepanjang 12 meter itu hanyut di pantai Old Hunstanton, utara Norfolk malam Krismas baru-baru ini.

Seorang lelaki pada Ahad lalu telah mengiklankan untuk menjual gigi ikan paus itu di dalam Facebook pada harga 5 pound (RM25) setiap batang atau 45 pound (RM222) untuk tulang rahangnya.

Lelaki dari barat Norfok itu sedang disiasat polis kerana menjual bahagian-bahagian paus yang telah mati. Penjualan bahagian-bahagian ikan paus yang telah mati tidak dibenarkan dan sesiapa yang cuba untuk memperdagangkan haiwan terancam ini akan didakwa.

Paus adalah haiwan yang dilindungi di bawah Suruhanjaya Paus Antarabangsa dan perdagangan giginya turut diharamkan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam (CITES).

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar berkata, sebarang penemuan paus tidak boleh diambil atau dimusnahkan tanpa kebenaran majlis tempatan dan Agensi Pengawal Pantai dan Maritim.

Paus besar itu kini menjadi tarikan pelancong sejak ia terdampar di pantai itu dan dilaporkan beribu-ribu pengunjung datang ke resort tepi pantai popular itu untuk menyaksikan bangkai haiwan itu. Paus itu dipercayai telah mati beberapa lama sebelum ini dan ia kini sedang mereput di pantai tersebut dan dijadual akan dipindahkan dalam tempoh beberapa hari lagi.







.

John Terry : Imej itu seperti saya


Peguam kapten bola sepak England, John Terry mungkin mengambil tindakan undang-undang selepas imej pemain itu digunakan dalam amaran pada kotak rokok di India.

Gambar samar-samar itu yang menunjukkan kepala dan bahu seorang lelaki menyerupai Terry muncul pada kotak rokok Gold Flake dan jenama lain dengan gambar paru-paru yang sudah hitam berserta amaran berbunyi ‘Merokok Membunuh.’ “Ia gambar yang menyerupai dia dan Terry tidak pernah bergambar seperti itu,” kata Keith Cousins dari Agensi Pengurusan Elit yang berpejabat di Britain, menerusi telefon, semalam.

“Kami tidak pasti dari mana imej itu diambil tetapi Terry tidak pernah memberi kebenaran untuk itu.

“Kami sudah berunding dengan peguam di London dan India untuk menyiasat hal berkenaan dan mengambil tindakan wajar,” katanya.

Cousins juga berkata, Terry, bukan seorang perokok walaupun pernah menjadi tajuk berita sebelum ini kerana tabiatnya suka minum arak. Akhbar Indian Express melaporkan, Direktorat Publisiti Visual menghasilkan amaran kesihatan itu yang digunakan pada bungkusan 20 batang.

Terry, 31, yang berdepan dengan tuduhan jenayah kerana dakwaan salah laku perkauman terhadap pemain QPR, Anton Ferdinand, mewakili England sebanyak 72 kali.

Dia juga adalah ketua pasukan Chelsea.










.

Wayne Rooney cuba pelbagaikan gaya rambut dalam usaha untuk membuktikan ianya tidak menipis


Dia membayar £ 30.000 untuk menyelesaikan masalah awal tahun ini tetapi rambutnya kembali menipis lagi bulan lepas. Walau bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu telah cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan masalah rambutnya dan hakikat bahawa dia telah membazirkan wang itu mungkin selesai dengan mencuba gaya rambut yang berbeza.

Bapa kepada seorang anak itu dilihat membuat perjalanannya melalui lapangan terbang Manchester hari ini dengan rakan sepasukan dan rambut yang lebih gelap kelihatan kurang rata daripada biasa.
Mungkin Rooney memilih untuk menggunakan beberapa gel rambut untuk penerbangan ke Newcastle atau mungkin menyikat rambut kebelakang - kerana merasakan sudah tiba masanya untuk perubahan.

Memakai baju sepadan hitam yang terpampang dengan logo pasukan, Rooney kelihatan agak serius ketika dia berjalan-jalan melalui terminal.Dia dilaporkan membuat pemindahan rambut pada awal bulan Disember yang nampaknya tidak berjaya.










.

Sekeluarga dibunuh kejam


Seorang ahli perniagaan dan tiga ahli keluarga yang terdiri daripada ibunya dan dua anak menjadi mangsa pembunuhan kejam di kediaman mereka di Lorong 13B1, RTM Road. Dalam tragedi antara pukul 7 dan 7.30 pagi, mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan parah dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam selain dihentak dengan objek tumpul.

Polis setakat ini menolak rompakan sebagai motif pembunuhan berkenaan kerana rumah tersebut tidak digeledah dan tiada barang yang dilaporkan hilang. Mangsa ialah Ling Tong Hock, 36, ibunya, Leong Nyuk Lan, 76, seorang anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10, dan anak perempuan, Amy Ling Zi Jiun, 7.

Seorang lagi anak mangsa, Kelvin Ling Chei You yang berusia lapan tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu berikutan kecederaan parah di kepala.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Lau Heng Soon berkata, isteri mangsa, Li Xiao Lan, 28, pula berjaya melarikan diri melalui tingkap apabila pintu bilik tidurnya ditendang penjenayah dari luar.

“Saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan.

“Saya datang ke sini bagi melihat apa bantuan yang boleh kita berikan dan jika perlu pasukan forensik dari Kuching atau Bukit Aman akan dibawa ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, di sini hari ini. Heng Soon meminta kerjasama media supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata, masyarakat juga tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di Sibu kerana keadaan adalah terkawal.

Katanya, pada tahun lepas, hanya berlaku dua kes pembunuhan di sini dengan satu daripadanya telah diselesaikan.











.

Pengalaman Luar Biasa Jaga Anak Tiri


Pelakon Memey Suhaiza,24, mengakui berhadapan dengan pengalaman luar biasa menguruskan tiga anak tirinya selama sebulan sempena cuti penggal persekolahan lalu. Memey berkata, ketiga-tiga mereka iaitu Mohamed Danish Hakim,9, Marissa Dania Hakim,7 dan Maria Danisha Hakim,4, mempunyai perangai berbeza tetapi dia sangat gembira dapat bersama-sama mereka.

“Si abang (Danish) pendiam sikit. Dia lebih suka main Internet manakala dua orang lagi sangat aktif. Saya tak berani nak bawa mereka berjalan-jalan kalau tak ada Abang Norman,” katanya.

Jelas Memey, sepanjang bulan Disember lalu dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana memegang amanah suaminya, Norman Hakim, 36, yang mahu dia menguruskan anak-anak. Katanya, pengalaman itu sangat berguna kerana ia dapat dijadikan persediaan sekiranya dia memiliki anak sendiri suatu hari nanti.

“Saya dah janji nak bawa budak-budak tu jalan-jalan sempena cuti sekolah. Kebetulan pula Abang Norman sibuk, jadi saya ambil tanggung jawab untuk menjaga mereka.

"Lagipun anak-anak Abang Norman semuanya sudah biasa dengan saya. Tak ada masalah lagi untuk menguruskan mereka. Tetapi kalau tak ada suami, saya jadi kelam kabut juga,” ujarnya.

Memey turut memberitahu, sempena pembukaan sesi penggal persekolahan pada Selasa, dia dan Norman turut menguruskan kemasukan dua anak mereka iaitu Mohamed Danish yang belajar di tahun tiga, Sekolah Kebangsaan St. John I, Bukit Nanas sementara Marissa Dania pula bersekolah pada tahun satu Sekolah Convent, tempat yang sama.

Katanya, segala persiapan persekolahan termasuklah pakaian telah diuruskan mereka lebih awal agar tidak menjadi kelam kabut jika dibuat pada saat-saat akhir. Ditanya reaksi bekas isteri Norman iaitu Abby Abadi apabila dia mengambil tanggungjawab berkenaan, Memey berkata dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah malah bersyukur keadaan menjadi semakin baik.

Memey berkata dia juga selalu memberitahu Norman agar mengajak Abby sekiranya mereka keluar bersama anak-anak dalam usaha untuk menjernihkan keadaan.

“Kadang-kadang kalau kami pergi makan bersama anak-anak, Abang Niorman ada juga pelawa Abby bersama,” jelasnya yang gembira dengan perkembangan itu.

Ditanya tentang percutian berbulan madu selepas bergelar suami isteri pada 24 September lalu, Memey berkata hasrat untuk melancong ke Paris, Perancis tidak dapat dilaksanakan kerana masing-masing sibuk.
Bagaimanapun kedua-duanya berhasrat untuk melancong ke Hong Kong ataupun China pada bulan Mac depan kerana pada tarikh itu masing-masing tidak lagi sibuk dengan tawaran berlakon.

Mengenai cahaya mata pula Memey berkata, dia dan Norman sudah bersedia untuk mendapat anak pada tahun ini dan berharap rezeki itu dimakbulkan Allah.











.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!