Tuesday, January 24, 2012

Ada pihak guna Facebook untuk menipu

Seorang wanita dari timur laut England, mendedahkan kegiatan penipuan oleh pihak tertentu yang menggunakan Facebook untuk meminta derma daripada orang ramai dengan mendedahkan tentang penderitaan anaknya.

Menurut Julie Chambers, 37, pihak tersebut telah menyiarkan beberapa gambarnya serta anak perempuannya, Zoe yang telah meninggal dunia ketika berusia dua tahun dan menipu orang ramai dengan memuatkan maklumat yang tidak benar di laman Facebook.

Daily Mail melaporkan, laman tersebut dipercayai mengutip derma kononnya untuk membantu Zoe yang dilahirkan dengan injap jantung yang kecil menjalani pemindahan jantung, sedangkan Zoe telah meninggal dunia pada 2008 selepas menjalani satu pembedahan jantung.

"Memang sukar bagi saya menghadapi hakikat itu jika anak saya masih hidup, tetapi dia tidak lagi bersama kami.

"Zoe sudah meninggal dunia dan seseorang telah menggunakan gambarnya untuk menipu orang ramai dengan meminta derma," kata ibu muda itu.










.

Filem bisu buat penonton marah


Pengunjung pawagam di Liverpool menuntut wang yang mereka bayar untuk membeli tiket bagi menyaksikan filem The Artist, dikembalikan selepas mereka menyedari bahawa ia sebuah filem bisu.

Filem arahan pengarah Perancis yang memenangi tiga anugerah Golden Globe dan menerima jumlah pencalonan paling tinggi Akademi Seni dan Perfileman Televisyen Britain (BAFTA) minggu ini, diramal mencapai banyak kejayaan pada majlis Oskar bulan depan.
Bagaimanapun, sekumpulan pengunjung pawagam di Liverpool di barat laut England ternyata kurang senang dan meninggalkan panggung sebagai tanda protes, kerana filem berkenaan kurang menggunakan dialog dan ditayangkan menerusi skrin yang lebih kecil daripada biasa.
Jurucakap panggung Odeon Liverpool One, mengesahkan bahawa pihaknya sudah memulangkan bayaran wang tiket kepada sebahagian penonton yang tidak menyedari bahawa The Artist adalah filem bisu.

“Pawagam kami berbesar hati untuk mengembalikan wang tiket berkenaan, apabila sebahagian mereka membuat aduan selepas 10 minit tayangan filem berkenaan bermula,” katanya.

Seorang penonton, Nicola Shearer, 25, memberitahu akhbar Daily Telegraph, kakitangan panggung ada bertanya sama ada beliau mengetahui bahawa The Artist adalah sebuah filem bisu.

“Saya memberitahunya memang mengetahui filem bisu itu.
Beliau berkata, sebahagian penonton yang menyaksikan filem berkenaan meminta wang tiket mereka dikembalikan kerana filem itu tiada dialog, manakala skrin tayangan lebih kecil.









.

Hanaa gadis Islam pertama model Lancome


Seorang gadis dari Tunisia menjadi model wanita Islam pertama menghiasi kosmetik wajah Lancome, lapor akhbar United Kingdom, Daily Mail.
Hanaa Ben Abdesslem akan muncul dalam kempen baru syarikat kosmetik itu untuk bedak asas Teint Idole Ultra 24h.
Model berusia 22 tahun itu membuat kemunculan di atas pentas peragaan tahun lalu dan sejak itu menjadi model untuk Ralph Lauren, Oscar de la Renta dan Givenchy, memberitahu majalah New York.

“Menjadi model boleh jadi satu pilihan kerjaya juga. Saya bercadang untuk menukar salah faham ini dalam budaya saya. Saya bertemu seorang wanita Arab, Sophie Galal, yang berkongsi pandangan dan idea saya bagi menukar dan mendedahkan cabaran sebenar kerjaya model untuk dunia Arab.

“Beliau tidak lama kemudian menjadi pengurus saya dan memperkenalkan saya kepada IMG,” katanya.

Ketika Hanaa berharap untuk mengubah keadaan, dia masih berbangga dengan asal usulnya.
Dalam satu temuramah, dia berkata: “Negara saya kaya dalam sejarah dan tradisi. Ia adalah budaya yang dipengaruhi dan dibentuk hasil kejayaan ketamadunan yang termasuk masyarakat Berber, Phoenician, Roman, Fatimid, Arab dan Uthmaniyah.” saya membesar dikelilingi semua pengaruh. Saya berbangga menjadi sebahagian budaya itu.”

Daily Mail melaporkan bahawa langkah Lancome memperkenalkan seorang model Afrika Utara adalah sebahagian aliran lebih besar industri fesyen untuk memupuk kepelbagaian dalam bidang itu.

“Warisan ideal saya di Ford akan membuka idea mengenai kecantikan, bukan hanya klasik namun global,” kata ketua jabatan wanita Ford Paul Rowland, kepada akhbar New York Times.

“Saya mahu mencari gadis di Mesir atau Sri Lanka atau India, semua tempat di mana masyarakat tidak pandang.”










.

Bayi kembar Siam Riau meninggal dunia


Bayi kembar Siam yang dilahirkan seorang ibu di sebuah daerah di Riau, lebih seminggu lalu meninggal dunia pada Ahad malam di Hospital Negeri Arifin Achmad, Pekanbaru setelah mengalami kegagalan jantung.

Bayi perempuan yang berusia sembilan hari itu mendapat rawatan khusus oleh sepasukan doktor di hospital berkenaan, namun keadaan kesihatan mereka berubah menjadi buruk sejak Sabtu malam.

"Kami telah berusaha secara maksimum, tapi pesakit tidak dapat diselamatkan,” kata Ketua pasukan doktor Hospital Negeri Arifin Achmad Dr. Tubagus Ondih seperti yang dipetik agensi berita ANTARA, pada Isnin.

Dr Tabagus berkata, bayi kembar Siam, yang belum diberi nama itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 malam Ahad iaitu satu setengah jam sebelum Tahun Baru Cina, kerana kegagalan kemampuan satu jantung untuk dua individu.

Sejak Sabtu malam mereka mula mengalami penurunan kadar oksigen dalam darah dan jantung mereka berdenyut dengan sangat laju sehingga mencapai 170 denyutan seminit.











.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!