Saturday, February 11, 2012

Terkejut jumpa ular sawa 120kg


Seorang pemandu jentolak terkejut apabila menemui seekor ular sawa batik seberat 120 kilogram dan sepanjang enam meter ketika membersihkan tanah di Felda Mata Ayer di sini kelmarin.
Shaiful Nisha Puteh, 25, memberitahu, dia ternampak ular itu yang bergerak di sebalik semak-samun selepas terkena pengaut jentolak yang dipandunya dalam kejadian pukul 2.30 petang.

Dia kemudian bergegas turun dari jentolak untuk meminta bantuan daripada orang ramai.

"Dengan tenaga lebih daripada 10 orang, baharu kami dapat menarik keluar ular sawa tersebut dari tempat persembunyian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, mereka mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap ular itu.
Tambahnya, ular itu juga sukar untuk bergerak kerana cedera terkena pengaut jentolak.

Shaiful berkata, mereka juga mendapatkan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengeluarkan haiwan itu dari kawasan semak tersebut.
Beliau memberitahu, ini merupakan kali pertama dia melihat seekor ular sawa sebesar itu setakat ini.

Katanya, ular itu akan diserahkan kepada Taman Ular di Sungai Batu Pahat, dekat sini.








.

Cipta robot hampiri fantasi Avatar


Watak puak Navi dalam filem blokbuster Avatar, hampir menjadi kenyataan melalui penciptaan robot rekaan Jepun yang mampu meniru pergerakan individu yang mengawalnya.

Untuk mengawal robot TELESAR V, seseorang perlu memakai kelengkapan khas yang bukan sahaja membolehkan mereka memberi arahan kepada mesin tersebut, malah juga boleh melihat, mendengar dan merasa sama seperti robot android berkenaan.

"Apabila saya memakai peralatan khas dan menggerakkan badan saya, tangan saya seolah-olah 'berubah' menjadi tangan robot. Pandangan saya juga berbeza setiap kali menggerakkan kepala.

"Pengalaman ini sangat pelik kerana anda dapat rasakan yang anda adalah robot," katanya kepada AFP.

Profesor Susumu Tachi iaitu pakar kejuruteraan dan realiti maya di Sekolah Siswazah Rekaan Media Universiti Keiko berkata, sistem yang disambung ke topi, sarung tangan dan baju khas dipakai manusia akan menghantar butiran arahan kepada robot, membolehkan mesin itu meniru pergerakan individu yang mengawalnya.

Pada masa sama, deria robot android itu akan menyalurkan maklumat yang mampu dirasai oleh manusia.

Sarung tangan nipis poliester yang dilapik dengan semikonduktor serta motor kecil pula membolehkan manusia 'merasai' apa yang disentuh robot termasuk permukaan yang licin atau berbonggol, begitu juga dengan rasa panas dan sejuk.

Bahagian mata TELESAR V diperbuat daripada kamera yang mampu merakam imej. Imej tersebut dipaparkan dalam bentuk tiga dimensi di sebuah skrin di hadapan mata individu yang mengawalnya.

Robot itu bagaimanapun masih belum setanding dengan watak futuristik rekaan James Cameron, Avatar, sejenis tubuh kejuruteraan genetik yang mampu dikawal tentera.

Tachi berkata, apabila siap dibangunkan TELESAR V boleh digunakan dalam persekitaran berisiko tinggi contohnya di loji nuklear Fukushima yang bocor akibat bencana gempa bumi dan tsunami tahun lalu.










.

Tangannya perlu dipotong


Akibat menghidap kanser tulang tahap kritikal, ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, tidak boleh dibedah melainkan tangan kirinya dipotong bagi memulihkan penderitaan yang sedang ditanggung pemuda malang tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nooraini Baba berkata, Mohd. Zulhafiz yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hanya diberikan rawatan paliatif yang bertujuan mengurangkan kesakitan yang dihadapi pemuda itu.

"Rawatan paliatif ini kita berikan kepada pesakit yang menghidap kanser tahap kritikal yang tidak ada rawatan bagi memulihkan penyakit itu. Ia rawatan terakhir yang mana kita akan beri ubat tahan sakit yang dosnya di tahap paling tinggi bagi mengurangkan kesakitan Mohd. Zulhafiz.

"Tidak ada pembedahan akan dilakukan kerana Mohd. Zulhafiz telah melakukan rawatan sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Pelbagai rawatan termasuk kemoterapi telah dibuat dan sehingga kini keadaannya masih sama kerana Mohd. Zulhafiz menghidap kanser tulang tahap kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Majlis Belia Pahang (MBP) yang hadir melawat dan memberikan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 kepada ibu Mohd. Zulhafiz, Supiah Yahya, 58, di HTAA di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr. Marlia Mohamad Salleh, Setiausaha Agung MBP, Azrul Khairi Muhamad dan Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Masyarakat MBP, Nurasyikin Sulaiman.
Sementara itu, mengenai laporan yang memetik kenyataan Supiah sebelum ini bahawa RM20,000 diperlukan bagi kos rawatan Mohd. Zulhafiz, Nooraini menjelaskan, tiada kos rawatan yang diminta oleh HTAA kepada keluarga pemuda itu.

''Ini kerana apabila seseorang pesakit itu ditempatkan di hospital kerajaan, semuanya adalah percuma," jelasnya.

Sementara itu, Nurasyikin berkata, MBP akan memantau perkembangan pemuda malang itu dari semasa ke semasa kerana tidak mahu dia keseorangan menanggung penyakit yang sedang dihidapinya itu.

"Kita tahu, banyak kos diperlukan terutama untuk membeli keperluan harian sepanjang Mohd. Zulhafiz berada di hospital. Kita (MBP) akan membantu dari segi kebajikan. Kalau pemuda ini perlukan lampin pakai buang, kita juga akan berikan.

"Kami juga akan terus mengumpul dana melalui program yang MBP laksanakan untuk disumbangkan kepada Mohd. Zulhafiz. Dan buat permulaan untuk hari ini, sebanyak RM1,000 kita berikan kepada ibunya," katanya.










.

Tidak sumbing lagi


Hati ibu bapa mana yang tidak sedih apabila anak yang dilahirkan tidak sempurna.
Bagi Norazila Ahmad, 23, dan suami, Maznan Arazemi, 27, kecacatan puteri sulung yang diberi nama Nurqaleesya Humaira Maznan yang kini berusia enam bulan diterima dengan hati yang tabah.

Kelahiran bayi yang dilahirkan sumbing itu disambut dengan linangan air mata oleh pasangan suami isteri yang berasal dari Kluang itu.

Namun kini, senyuman Nurqaleesya bertambah manis apabila selamat menjalani pembedahan selama tiga jam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini baru-baru ini.

"Syukur kepada Allah kerana anak saya berjaya dalam pembedahan mencantumkan bibir dan hidung yang dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar," kata Norazila.

Pasangan suami isteri bersama puteri sulung mereka itu ditemui di wad kanak-kanak HSA ketika menerima kunjungan dan sumbangan daripada Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini.
Menurut Norazila, puteri sulungnya dikesan sumbing apabila menjalani proses imbasan di hospital.

Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui HSA mempunyai pakar untuk mencantumkan bibir dan hidung sumbing, mereka menaruh kepercayaan bahawa keadaan Nurqaleesya akan berjaya dipulihkan.









.

Kereta hilang kawalan..


Sebuah kenderaan pecuan empat roda Isuzu tersasar dari jalan raya memasuki parit sedalam enam kaki apabila hilang kawalan di Jalan Luyang dekat sini, Jumaat. Kemalangan ini menyebabkan jalan Luyang menuju ke Bandaraya Kota Kinabalu sesak.Tiada kemalangan jiwa di laporkan dalam kejadian ini.










.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!