Thursday, August 23, 2012

Padah kerana nakkan sangat samsung galaxy note


Gara-gara kemaruk memiliki Samsung Galaxy Note, seorang lelaki berbadan gempal sanggup mencuri, namun tanpa disedari, tindakannya itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai menjual telefon bimbit dan aksesori di Bandar Kuala Rompin, di sini, baru-baru ini. Bagaimanapun lelaki itu licik menyembunyikan identitinya dengan memakai topi keledar dan cermin mata hitam bagi menyukarkan imejnya dirakamkan CCTV tersebut. Peniaga kedai, Keh See Jing, 27, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 1 petang, selepas seorang pekerjanya melayan seorang pelanggan lelaki berbadan besar di sebuah kedainya. See Jing yang ketika itu tidak berada di kedai terbabit berkata, lelaki itu dipercayai meminta pekerjanya menunjukkan sebuah telefon Samsung Galaxy Note yang berharga RM1,899 kerana berhasrat untuk membelinya. “Saya tiada di kedai ketika itu dan hanya dimaklumkan pekerja ada pelanggan yang ingin membeli telefon itu di kedai.

Saya menyuruh pekerja datang ke sebuah lagi kedai saya untuk mengambil telefon bimbit yang diinginkan pelanggan. “Sebaik sahaja pekerja saya mengambil telefon bimbit itu, pelanggan itu meminta supaya pekerja mengambil sebuah lagi telefon yang sama jenis tetapi berlainan warna di kedai tempat dia (pekerja) mengambil telefon terbabit,” katanya. Menurutnya, sebaik saja pelanggan itu menyuruh pekerjanya mengambil telefon pintar itu, tiba-tiba lelaki bertubuh gempal berseluar pendek terbabit dipercayai lesap dan menghilangkan diri. “Pekerja saya yang datang semula ke kedai mendapati pelanggan itu sudah tiada, malah telefon pintar itu juga hilang dipercayai diambil lelaki terbabit tanpa disedari,” katanya.


Menurutnya, imej lelaki itu juga pernah dirakamkan CCTV di sebuah kedai menjual telefon bimbit milik rakannya di Endau, Johor kerana mengambil telefon Samsung Galaxy Tab, seminggu selepas melarikan telefon bimbit di kedainya. “Modus operandi lelaki ini sama iaitu memakai topi keledar dan cermin mata hitam dan datang ke kedai, kononnya untuk membeli telefon bimbit, tetapi malangnya telefon yang diingininya pula dikebas,” katanya. Menurutnya, dia juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin. “Kita minta supaya peniaga kedai telefon bimbit yang lain berhati-hati dengan tindakan lelaki ini bagi memastikan kedai mereka tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya. -SH





.

Dia bakal terima pendapatan besar


Aktor terkenal Hollywood, Johnny Depp dilaporkan bakal menerima pendapatan besar selepas berpisah dengan kekasihnya, Vanessa Paradis. Deep yang berpisah dengan Paradis selepas 14 tahun bersama, dijadual kembali menduduki senarai pelakon yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood. Deep akan membintangi siri terbaru filem francais Pirates Of The Caribbean dan dijangka menerima bayaran berjumlah kira-kira AS$94 juta (RM295 juta). Depp kembali menjadi perhatian selepas berpisah dengan Paradis dan khabar angin menyatakan dia kini rapat dengan Amber Heard, sekali gus membolehkannya merebut peluang meraih keuntungan.


Depp kini menyara dua orang anak dan bekas kekasihnya itu. Satu sumber memberitahu akbar The Sun, Deep sangat berhati-hati supaya tidak terlalu banyak mengikat kontrak berlakon filem. "Dia tidak mahu menghancurkan kerjayanya dengan menerima terlalu banyak tawaran filem seperti John Travolta atau Nicolas Cage," kata sumber itu. - Agensi






.

Dia terkenal kerananya.. dan mati juga kerananya..


Seorang pemelihara buaya terkenal, Toke Dicko, maut akibat dibaham haiwan tersebut, di sini semalam. Dalam kejadian yang berlaku di tasik sekitar Yamoussoukro itu, Dicko maut ketika cuba bergambar dengan haiwan terbabit sebagai tarikan pelancong. "Buaya tersebut membaham mangsa dan menariknya ke dalam air. Mayatnya masih belum ditemui sehingga kini," kata Gabenor Yamoussoukro, Augustin Thiam. Oleh itu tidak dapat dipastika samaada mayatnya akan ditemui ataupun kemungkinan telah dimakan oleh buaya..- AFP








.

Misteri wanita ditemui mati bersama kucing


Seorang wanita ditemui mati di kediamannya di pinggir Phoenix di mana dia tinggal bersama 31 ekor kucing. Para pegawai sheriff daerah Maricopa terpaksa menggunakan kelengkapan pernafasan untuk memasuki rumah berkenaan di Mesa. Mereka diminta untuk memeriksa wanita itu, Maria Elena Cimino yang berusia 64 tahun. Tidak dipastikan berapa lama Cimino meninggal dunia, tetapi pihak berkuasa berkata, wanita itu mati disebabkan keadaan biasa. Pejabat pegawai sheriff berkata, wanita itu seorang yang berahsia dan rumahnya sangat daif. Pejabat sheriff dan persatuan kemanusiaan berusaha untuk menyelamatkan 31 kucing dan anak kucing sebanyak mungkin dan memutuskan untuk memeliharanya. Pihak berkuasa berkata, ramai yang didapati jangkitan pada sistem pernafasan dan konjuktivis. - AP







.

Avril Lavigne bakal berkahwin buat kali kedua


PENYANYI punk ‘rock chic’ terkenal, Avril Lavigne telah mengikat tali pertunangan dengan vokalis utama kumpulan Nickelback, Chad Kroeger. Chad dilaporkan melamar Avril pada 8 Ogos lalu dan memberi Avril cincin berlian 14 karat sebagai simbolik kepada pertunangan mereka. Berita pertunangan ini merupakan satu kejutan kerana mereka baru sahaja bercinta, sejak enam bulan lepas, selepas Avril memutuskan hubungan dengan Brody Jenner awal tahun ini. Avril, 27, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi utama kumpulan Sum, 41, Deryck Whibley pada Julai 2006 tetapi telah memfailkan penceraian tiga tahun kemudiannya.


Penyanyi kelahiran Kanada itu bertemu dengan Chad, 37, ketika bekerjasama menerbitkan lagu untuk album kelima Avril pada Februari lalu. Selepas itu baru percintaan di antara kedua-dua penyanyi rok itu berputik apabila mereka kerap keluar meluangkan masa bersama. Perkahwinan ini bakal menjadi perkahwinan kedua buat Avril dan pertama untuk Chad.






.

Ketahui, inilah adik-beradik paling tua di dunia


Guinness World Record secara rasminya mengiktiraf adik-beradik keluarga Melis yang menetap di pulau Sardinia sebagai adik-beradik tertua di dunia dengan campuran usia berjumlah 818 tahun. Media Itali semalam melaporkan, adik-beradik Melis terdiri daripada sembilan lelaki dan perempuan di mana anak sulung, Consolota berusia 104 dan bakal menyambut hari jadi ke-105 hari ini. Adik-beradiknya yang lain termasuklah Claudia 99 tahun, Maria (97), Antonio (93), Concetta (91), Adolfo (89), Vitalio (86), Vitalia (81) dan Mafalda (78). - REUTERS








.

Pendedahan : Mengapa kematian bayi meningkat di pusat jagaan atau taska?


Pusat jagaan atau taska yang beroperasi tanpa lesen serta penggunaan pengasuh tidak berkemahiran menjadi antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan kematian bayi di taska. Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Shamsinah Che Shariff berkata, kebanyakan kes kematian bayi berlaku di rumah taska yang tidak berdaftar serta diurus oleh suri rumah. Beliau berkata, buat masa ini dianggarkan terdapat kira-kira 3,000 taska dan pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara namun hanya sekitar 1,000 saja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Kebanyakan kes kematian seperti yang berlaku di Putrajaya...bayi diasuh suri rumah yang tidak terlatih, menjadikan rumah sendiri yang tidak didaftarkan sebagai tempat untuk menjaga bayi dan kanak-kanak," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, statistik JKM mendapati seramai enam bayi meninggal di dalam taska pada tahun lalu manakala pada tahun ini sehingga Julai saja, tujuh kes kematian bayi dilaporkan. "Kita lihat ada peningkatan kes dan ia amat membimbangkan. Kita tidak mahu bayi terus dijaga oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak mengikut piawaian ditetapkan," katanya sambil menambah kematian yang berlaku di taska berdaftar hanya lapan peratus daripada jumlah itu. Shamsinah berkata, punca kematian bayi di taska bukan sahaja disebabkan tersedak susu tetapi juga akibat berlaku hentakan di kepala yang dipercayai akibat penggunaan buaian. "Kita dapati ramai pengasuh di taska tidak berdaftar ini menggunakan buaian bagi menidurkan bayi sedangkan JKM mengharamkan penggunaan buaian di taska kerana dikhuatiri berlaku goncangan kuat yang boleh membahayakan bayi dan mengakibatkan hentakan di kepala yang kita panggil 'shaken baby syndrom'," katanya.

Beliau menyeru pengasuh yang mengambil lebih daripada tiga bayi atau kanak-kanak untuk dijaga supaya mendaftar dengan JKM supaya mereka dapat dilatih dengan cara pengasuhan kanak-kanak yang betul dan selamat. Shamsinah turut mencadangkan JKM supaya mewajibkan mereka yang menjaga walaupun seorang bayi untuk mendaftar secara ringkas supaya boleh mengambil kursus berkenaan sekali gus dapat memantau keadaan pusat jagaan tersebut. Katanya, PPBM telah memberikan latihan 'Kursus Asas Kanak-Kanak' kepada lebih 3,000 pengasuh berdaftar sejak tahun 2000 dan kesemua mereka menunjukkan perbezaan yang amat ketara selepas menyertai latihan.

"Harap ramai lagi pengasuh dapat menjalani latihan di PPBM dan kita harap kerajaan juga akan dapat memberikan latihan secara percuma kepada mereka...PPBM sudah buat pilot projek dengan memberi latihan dan alatan permainan percuma. "Latihan tersebut dijalankan selama lima hari dan mereka diberi alat bantuan mengajar termasuk permainan bersesuaian yang berharga RM500 serta diberi mentor untuk memantau dan membimbing mereka dalam mengadakan aktiviti perkembangan menyeluruh kanak-kanak," katanya.


Beliau berkata, pemantauan yang dilakukan mendapati pengasuh yang menjalani latihan berupaya mengubah pendekatan dari segi asuhan, didikan, makanan, kepelbagaian aktiviti malah sudah tidak malu untuk menyanyi dan bercerita kepada kanak-kanak. "Malah pengasuh di rumah kini turut mengajar kanak-kanak membersihkan diri, melipat baju, menyapu rumah, memotong sayur dengan cara mematah-matahkan menggunakan jari dan tidak lagi hanya mengajak tidur atau menonton televisyen setiap hari," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar menghantar anak mereka ke taska yang berkualiti dan berdaftar serta mempunyai pengasuh terlatih mengelakkan masalah dan kejadian tidak diingini. "Perkembangan kanak-kanak sangat kritikal pada usia empat tahun pertama, mereka lebih cepat belajar dan ingat, maka pilih taska yang 'ajar bagai guru, asuh bagai ibu' yang membimbing dengan kasih sayang dan menggunakan bahasa yang baik untuk perkembangan bahasa dan sikap," katanya. - BERNAMA






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!