Wednesday, August 29, 2012

Manusia tertua tambah usia lagi


Manusia tertua di dunia, Besse Cooper menyambut ulang tahunnya ke-116, kelmarin bersama keluarga dan rakan-rakannya di rumah kebajikan di sini. Walaupun ahli keluarganya hadir memeriahkan majlis itu, namun menurut anak lelakinya, Sidney Cooper, ibunya 'tidak bersedia' untuk meraikan sambutan secara besar-besaran itu. Ketika ditanya rahsianya mampu hidup lama oleh Guiness Book of Record, Cooper berkata, dia hanya mengambil tahu tentang dirinya dan tidak menjamah makanan ringan. Kenyataannya itu dilihat selari dengan apa yang diperkatakan anak sulungnya bahawa semakin tua ibunya, semakin pandai dia berjenaka.


Sementara itu, Sidney Cooper menyifatkan umur ibunya yang panjang disumbang oleh faktor gaya hidup aktif, sihat dan personalitinya yang berani. ''Dia tidak pernah menjalani pembedahan dalam hidupnya,'' kata Sydney Cooper kepada Georgia Health News mengenai kehebatan ibunya, sambil menambah kata, ibunya sentiasa mengelak makan makanan berlemak dan hanya makan sayur-sayuran. ''Dia 'tidak pernah makan makanan ringan','' katanya, walaupun dia mengaku ibunya suka makan kentang goreng, daging dan telur serta ayam goreng sekali sekala, namun tidak secara berlebihan. - AGENSI






.

Adakah benar Didier Drogba bakal kembali ke Chelsea?


BEKAS penyerang Chelsea, Didier Drogba dilaporkan bakal dijual oleh kelab barunya berikutan masalah kewangan serius dihadapi oleh pengurusan kelab China kebelakangan ini. Difahamkan, Pengerusi Shenhua, Zhu Jun hanya akan mengeluarkan dana yang terhad, sekiranya masalah kewangan gagal diselesaikan dengan segera. Laporan mengenai kedudukan Drogba juga dibawa oleh beberapa akhbar harian di Britain hari ini. Daily Mail melaporkan bahawa Drogba telah berada di Britain semalam untuk bertemu dengan kawan-kawan lama dan kemungkinan dia kembali ke kelab lamanya sebelum Krismas ini sangat cerah.

Drogba yang memperolehi bayaran sekitar AS$300,000 (RM934,650) seminggu, dilihat berada dalam keadaan tidak menentu sekiranya kelab itu gagal membayar gaji. Dalam kenyataan akhbar China Daily, Jun yang memegang saham sebanyak 28.5 peratus dilaporkan tidak berpuas hati apabila peratusan sahamnya tidak meningkat biarpun telah membuat pelaburan sebanyak $94 juta (RM289 juta) sejak lima tahun lalu. Jun berkata, beliau hanya bersedia mengeluarkan peruntukan jika permintaannya menguasai majoriti keputusan kelab itu dipersetujui pemegang saham lain.


Dengan itu, Jun mahu pengurusan Shenhua menandatangani perjanjian baru di mana menerusi perjanjian tersebut, beliau bersedia mengeluarkan dana sebanyak $23.6 juta (RM 72.7 juta) dalam tempoh dua tahun jika sahamnya meningkat sehingga 70 peratus. "Ketika ini, operasi kelab dilihat tergendala gara-gara masalah kewangan yang serius. "Dan, ia sesuatu yang cukup sedih kerana akan memberikan impak terhadap pembangunan kelab. "Jika ia gagal diselesaikan segera, tidak mustahil akan menjejaskan gaji pemain dan kemungkinan pemain akan dijual," katanya.






.

Sedihnya.. Haiwan cantik ini mulai pupus


Dengan bulu berwarna kelabu muda dan telinga seperti anak beruang, tidak hairan mengapa koala Australia disukai ramai. Namun, haiwan herbivor itu kini menghadapi krisis dan bergelut untuk meneruskan hidup di dunia serba moden ketika ini. Sebelum ini, terdapat 10 juta koala di hutan pantai timur Australia, tetapi kini hanya tinggal 2,000 ekor sahaja, sekali gus menyebabkannya disenarai sebagai haiwan yang diancam pupus. Habitat mereka musnah bagi memberi laluan kepada pembesaran pekan dan bandar yang mengundang bahaya kepada haiwan itu.

Bagaimanapun satu kumpulan sukarelawan, termasuk Penyelamat Hidupan Liar Koala Pantai Sunshine dan Pasukan Penyelamat Koala Teluk Moreton berkerja keras untuk menyelamatkan spesies yang terancam itu. Kumpulan itu membuka talian bantuan 24 jam untuk menyelamatkan koala yang cedera. Anak-anak koala yang kehilangan induk pula diambil dan dibela oleh seorang sukarelawan yang telah dilatih menjadi 'ibu angkat', di kediamannya. Namun, selepas haiwan itu besar, ia perlu dilepaskan semula ke hutan secepat mungkin dan beberapa protokol perlu diikut sebelum melepaskannya.


Bagaimanapun bagi koala yang tidak mampu untuk menjaga dirinya sendiri, ia akan dihantar ke Hospital Hidupan Liar Zoo Australia berhampiran Brisbane. Diasaskan oleh bintang televisyen The Crocodile Hunter, Steve Irwin yang maut pada 2006 akibat terkena sengat ikan pari, hospital itu merawat beratus-ratus koala setiap tahun, selain haiwan seperti ular, kanggaru dan keluang. - AGENSI







.

Senarai lapan produk Samsung yang bakal diharamkan?


Syarikat teknologi, Apple Inc., semalam menyenaraikan lapan produk Samsung Electronics Co. di mahkamah termasuk model-model telefon pintar Galaxy dalam permohonannya supaya produk-produk itu ditarik balik dari pasaran dan diharamkan jualannya di Amerika Syarikat (AS). Hakim Mahkamah Daerah AS, Lucy Koh meminta senarai tersebut dikemukakan selepas juri pada minggu lalu mendapati syarikat teknologi Korea Selatan itu bersalah melanggar hak cipta dan perlu membayar pampasan berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple Inc. Samsung merancang untuk merayu terhadap keputusan tersebut. Antara produk Samsung yang disenaraikan oleh Apple itu ialah Galaxy S 4G, Galaxy S2 AT&T, Galaxy S2, Galaxy S2 T-Mobile, Galaxy S2 Epic 4G, Galaxy S Showcase, Droid Charge dan Galaxy Prevail.


Koh pada 26 Jun lalu mengharamkan penjualan Galaxy Tab 10.1 di pasaran AS selepas mendapati ia melanggar 'reka bentuk paten'. Samsung kini memohon kepada hakim untuk mengetepikan keputusan juri yang tidak disokong oleh bukti kerana komputer tablet itu tidak melanggar reka bentuk paten, tetapi ia melanggar tiga perisian paten meliputi kemampuan skrin. Hakim tersebut menetapkan 20 September ini untuk perbicaraan kes Apple memohon jualan produk-produk Samsung tersebut diharamkan di AS. - AGENSI







.

Biarkan mayat ibunya reput kerana asyik bermain permainan komputer


Seorang lelaki ditangkap kerana didakwa membiarkan ibunya mati selepas mayat wanita itu ditemui reput dan berulat di rumahnya. Isteri lelaki itu menghubungi polis Jumaat lalu apabila mendapati ibu mentuanya yang berusia 53 tahun dan dikenali sebagai Yeh, mati di apartmen mereka di utara Taiwan. Polis yang tiba di kediaman berkenaan menemui mayat berulat itu dan percaya wanita itu mati lebih seminggu lalu. Lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki membiarkan mayat itu begitu saja. Bagaimanapun, belum ada tuduhan dikenakan terhadapnya. Media tempatan berkata, dia menghabaiskan masanya bermain permainan komputer di kafe Internet.


Kes penderaan dan membiarkan warga tua terlantar semakin meningkat di Taiwan sejak beberapa tahun lalu hingga mendorong anggota Parlimen mengusulkan rang undang-undang untuk memenjara golongan dewasa yang gagal menjaga ibu bapa mereka. Menurut bancian terbaru, 10.7 peratus daripada 23 juta penduduk Taiwan terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun atau lebih. Ia mengatasi paras tujuh peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk mendefinisikan sebuah masyarakat sebagai meningkat tua.- AFP





.

Penggali kubur maut dalam liang lahad digalinya


Seorang penggali kubur maut selepas liang lahad yang sedang digali runtuh dan menimbusnya. Dalam insiden pada 10.15 pagi tadi di tanah perkuburan Kampung Penak dekat Mentakab, mangsa, Zailan Hamid, 40, sedang menggali kubur bersama seorang lagi rakan, Mohd Nasir Musa, 40. Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Superintenden Zundin Mahmood berkata mangsa dipercayai meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan patah leher. Liang lahad itu digali mangsa dan rakannya bagi mengebumikan jenazah seorang warga emas, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua. "Ketika menyiapkan bahagian akhir liang lahad itu, tiba-tiba ia runtuh dan menimbus keseluruhan badan mangsa.

"Mangsa tertimbus lebih setengah meter, hanya kaki kanan mangsa yang terjulur keluar. "Rakan mangsa dan beberapa penduduk yang berada di kawasan berkenaan menggali dengan tangan dan berjaya mengeluarkan mangsa kemudiannya," katanya ketika dihubungi hari ini. Bagaimanapun, beliau berkata Zailan meninggal dunia sejurus selepas itu. Zundin berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat. - Bernama




 P/S - Gambar Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!