Thursday, December 27, 2012

Yuna ada kekasih baru selepas berpisah dengan Qi?


Beberapa bulan selepas hubungan cintanya dengan pelakon juga pengacara kacak, Qi Razali terputus di tengah jalan, Yuna kini dikatakan sudah menemui kekasih baru - kelihatannya jejaka baru yang bertuah itu sama kacak dengan Qi. Pun begitu, dia bukan orang tempatan sebaliknya dari Amerika Syarikat (AS). Namanya, Jules Schratter dan difahamkan bertugas sebagai jurugambar peribadi Yuna di AS. Ramai mata media yang perasaan kelibat Jules sejak dia mengikut Yuna pulang ke Malaysia kira-kira dua bulan lalu. MD sendiri pernah beberapa kali melihat Jules di beberapa majlis hiburan tempatan yang melibatkan Yuna - memang lelaki itu sibuk betul menjalankan tugasnya, merakamkan gambar-gambar Yuna. Melihat keintiman mereka berdua, ketika bertemu Yuna di satu majlis anugerah dua bulan lalu, MD bertanyakan sendiri kepada pelantun Terukir Di Bintang itu mengenai sejauh mana hubungannya dengan jejaka mat saleh itu. Bukan apa, ramai yang mula bercakap yang gambar-gambar Jules banyak dikongsikan Yuna di laman Instagramnya.


Yuna memberitahu lelaki itu hanyalah jurugambar yang 'dikirimkan' syarikat rakaman di Amerika Syarikat dan dia ditugaskan untuk merakamkan segala aktiviti Yuna sepanjang di Malaysia. "Oh, dia tu jurugambar saya yang label saya hantar untuk rakamkan segala aktiviti saya di sini, untuk jurnal saya. Itu saja", kata Yuna ringkas kepada malaysiandigest sewaktu di temui di Shout! Awards. Bagaimanapun, dalam akhbar Harian Metro hari ini menyebut hubungan cinta antara mereka bukan lagi rahsia malah Jules sendiri sering meluahkan perasaannya terhadap Yuna menerusi rakaman foto yang muat naik di akaun Instagramnya, Throughjules.Dalam banyak himpunan gambar yang dipaparkan Jules - ada gambar dia berbaju Melayu dan bersongkok. Menurut makluman sumber, gambar itu diambil sewaktu Jules mengunjungi kampung halaman Yuna, baru-baru ini. Amboi-amboi, dah bawa balik tunjuk keluarga ker Yuna?

Bukan itu saja, ada sekeping gambar memaparkan koleksi buku di mana susunan paling atas itu adalah senaskah al-Quran. Jules melalui satu catatannya mengakui belum sempat meneliti isi al-Quran namun tertarik untuk mendalaminya. Mungkinkah itu tandanya kita semua akan mendapat khabar gembira daripada 'pasangan' ini tak lama lagi? Dalam pada itu, dengarnya ramai juga yang kagum dengan Yuna kerana mampu ‘menjinakkan’ seorang lelaki berbeza agama dan nun jauh di benua lain. Tapi kalau difikir-fikirkan semula, apa yang nak dihairankan... Sebab ada yang kata, kalau Yuna mampu menawan dunia dengan karya dan muziknya, apalah sangat hati seorang lelaki daripada beribu-ribu yang berderet menunggu Yuna. - mD






.

Gambar kereta api laju, dengan laluan terpanjang di dunia..


China pada 26.12.2012 melancarkan perkhidmatan kereta api laju di laluan terpanjang di dunia, dengan industri pengangkutan itu semakin berkembang tetapi sering berdepan dengan masalah. Pembukaan laluan antara Beijing dan Guangzhou sejauh 2,298 kilometer akan membolehkan perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut memakan masa hanya selama lapan jam berbanding 22 jam sebelum ini. Badan penyiaran China Central Television melaporkan kereta api laju pertama bergerak pukul 9 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) dari Stesen Kereta Api Beijing Barat. Stesen televisyen berkenaan juga melaporkan secara langsung keadaan di dalam kereta api itu yang menunjukkan penumpang bergambar kenang-kenangan sempena pelancaran perkhidmatan kereta api laju tersebut. Agensi berita Xinhua pula melaporkan sebuah lagi kereta api berlepas dari Guangzhou ke ibu negara ini kira-kira pukul 10 pagi.


Kereta api itu akan bergerak dengan kelajuan purata 300 kilometer sejam yang meliputi 35 hentian di bandar-bandar utama seperti Zhengzhou, Wuhan di Sungai Yangtze dan Changsha. Media rasmi melaporkan hari ini dipilih bagi memulakan perkhidmatan kereta api laju Beijing-Guangzhou sempena tarikh kelahiran pemimpin China, Mao Zedong yang dilahirkan pada 1893. Laluan Beijing-Guangzhou dilengkapkan dengan penyelesaian pembinaan laluan antara Zhengzhou dan Beijing kerana laluan Zhengzhou-Wuhan-Guangzhou sudah beroperasi. Rangkaian kereta api laju China dibina pada 2007 namun menjadi industri paling berkembang pesat di dunia. Xinhua melaporkan, China kini mempunyai laluan kereta api laju sejauh 9,300 kilometer. Akhbar rasmi, China Daily hari ini melaporkan, laluan perkhidmatan kereta api laju itu akan meliputi sejauh 50,000 kilometer menjelang 2020. - AFP






.

RM500 buat keluarga mangsa banjir..


Setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akan menerima bantuan sebanyak RM500, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha meringankan beban keluarga berkenaan akibat bencana alam itu. "Saya minta Majlis Keselamatan Negara (MKN) uruskan perkara ini dan selesaikan dalam tempoh yang singkat," katanya selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Kebangsaan Gual Tinggi di sini, hari ini. Turut serta, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Muhyiddin berkata, pemberian sumbangan itu hanya akan diberikan kepada keluarga yang berpindah dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Beliau berkata, sumbangan itu bukannya sebagai ganti rugi sebaliknya untuk membantu mereka membaiki rumah atau sebagainya selepas menghadapi musibah itu.

Katanya, bagi penduduk yang mengalami kerosakan hasil pertanian termasuk ternakan haiwan, mereka perlu menghubungi Jabatan Pertanian untuk dibanci kerugian yang ditanggung. "Bancian ini penting bagi mengelakkan berlaku seperti sebelum ini kerana petani mendakwa kerugian besar sedangkan ia hanya membabitkan bilangan yang kecil," katanya. Bagi mereka yang mengalami kerosakan harta benda termasuk rumah, Muhyiddin berkata, peruntukan untuk membaikinya akan diuruskan Badan Perhubungan UMNO seperti di Kelantan melalui Tabung Wang Ihsan. Mengenai sekolah yang terbabit banjir termasuk dijadikan pusat pemindahan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan untuk menangguhkan sesi persekolahan hanya akan diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing. Beliau berkata, bantuan seperti bekalan makanan dan keperluan diri adalah mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir.

"Kita minta perhatian khusus diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak dan menu makanan pula perlulah dipelbagaikan. "Soal kesihatan dan bekalan air bersih juga sangat memuaskan dan kerajaan sangat komited menjaga keperluan rakyat," katanya. Beliau turut berpuas hati dengan agensi yang terbabit menyelaras mangsa banjir yang telah berperanan dengan baik. Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera Barisan Nasional dan pemimpin tempatan supaya turun padang membantu mangsa banjir termasuk membersihkan rumah penduduk. Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa pihak keselamatan akan memantau rumah-rumah yang ditinggalkan kerana penghuninya berpindah.

"Itu yang saya beri jaminan pasukan keselamatan akan memantau dan menjaga keselamatan termasuk rumah yang ditinggalkan," katanya. Katanya, dengan jaminan itu, penduduk tidak akan khuatir untuk berpindah seperti yang dilaporkan sebelum ini. Sebelum itu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada mangsa banjir di pusat berkenaan. Beliau dan isteri kemudiannya berlepas ke Terengganu untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu. - BERNAMA






.

'Spiderman' UEA akan panjat bangunan tertinggi di Dunia


Pendaki gunung terkenal dari Uni Emirat Arab (UEA), Saeed al-Memari, merancang memanjat menara Burj Khalifa, setinggi 828 meter, pada malam tahun baru ini. Setelah sampai di puncak bangunan tertinggi di dunia itu, dia bakal melompat dengan paracut, lapor bilik berita rasmi UAE, WAM. Rancangannya, al-Memari akan memanjat dengan menggunakan tali keselamatan, pada pukul 5 waktu tempatan, dan mencapai puncak Burj Khalifa, pada tengah malam. Al-Memari mengakui ingin menyaksikan bunga api, ketika melayang ke tanah dengan menggunakan paracutnya. Oleh itu, ketika ini dia akan menanti ramalan cuaca untuk memastikan hujan tidak turun pada malam tahun baru di Dubai. Xinhua-AONA melaporkan al-Memari adalah warganegara UEA pertama yang dua kali memanjat gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest setinggi 8.848 meter. -DN






.

Keindahan akhlak suami membuatkan dia memeluk agama islam


Namanya Kara Allouzi. Dia dilahirkan dan dibesarkan di Amerika Syarikat. Sayangnya, dia ragu akan agama yang diwarisi dari kedua orang tuanya iaitu Kristien. Namun akhirnya Kara Allouzi menemui Islam setelah bertemu dengan seorang lelaki muslim yang melamarnya. Wanita 45 tahun itupun mengucap dua kalimah syahadah pada 1993. Kara sedar setelah memeluk Islam hidupnya berada dalam lingkaran anugerah yang luar biasa. Dia mengakui, dia menjadi seorang muslim bukan kerana nikah dengan suaminya.

Kara mengaku terpesona dengan perilaku dan akhlak suaminya yang selalu memberikan contoh baik dan tulus serta sabar dalam membimbingnya ke jalan yang lurus dalam mencari kebenaran. Apatah lagi, suaminya juga mengajar anak-anak mereka dengan kasih sayang dan ajaran Islam. "Setelah kami nikah, saya mula belajar tentang Islam. Sedikit demi sedikit, suami saya memberikan contoh yang sangat baik dari Islam, dia mencerminkan seorang muslim yang baik. Dia tidak pernah memaksa saya atau mendorong saya atau sesuatu seperti itu," akui Kara.

Suatu ketika suaminya harus dirawat di hospital, dan disaat yang sama ada sebuah sekolah Islam yang membuka penerimaan murid baru. Suaminya lalu ingin memasukkan anak-anaknya ke sekolah Islam tersebut. Kara bersetuju dengan permintaan suaminya. "Setelah saya memasukkan mereka ke sekolah Islam, saya datang dan melihat betapa indahnya Islam itu. Dan sekolah itu benar-benar menunjukkan keindahan agama, bukan hanya sisi agama tapi juga cara hidup," katanya. -US







.

Benarkah internet sebabkan 'otak mati'?


Seorang pencipta radio klasik, Trevor Baylis memberi amaran kepada generasi muda yang terlalu bergantung kepada Internet boleh mengakibatkan 'otak mati'. Katanya, kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada penggunaan internet akan kehilangan kreativiti dan kemahiran kerana terlalu lama menghabiskan masa di hadapan skrin komputer. Baylis berkata, dia bimbang generasi akan datang tidak tahu melakukan apa-apa dengan cara semulajadi dan menggunakan tangan. Bagaimanapun dia berkata, generasi muda boleh mendapatkan kemahiran sekiranya sekolah menggunakan sistem pembinaan model dan lain-lain mainan praktikal. "Kanak-kanak perlu didedahkan secara semulajadi dan bukannya belajar menerusi telefon bimbit atau pergantungan daripada komputer.

"Generasi muda hari ini bergantung sepenuhnya kepada pencarian Google. Keadaan ini menjadikan otak mereka mati dan tidak mampu melakukan sesuatu dengan cara yang lama,'' katanya. Mengimbas kembali bagaimana dia memulakan kerjayanya, pencipta radio yang berusia 75 tahun itu, berkata dia mula mencipta peranti pada usia lima tahun. "Suatu hari, seorang perempuan memberikan kotak yang berisi model pembinaan untuk dia menghasilkan sesuatu berdasarkan kreativitinya sendiri,'' ujarnya. Jelasnya, penggunaan model pembinaan mampu meningkatkan kreativiti seseorang. Beliau percaya bahawa cabaran mudah pada model pembinaan akan memberikan generasi muda hari ini kemahiran dan idea yang tidak ternilai. - AGENSI






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!