JIKA anda tercari-cari filem sesuai ditonton seisi keluarga, terutamanya bagi yang mempunyai anak kecil, maka anda harus menonton filem animasi terbitan Dreamworks Animation, The Croods. Filem arahan Kirk De Micco dan Chris Sanders ini menggunakan suara-suara pelakon popular seperti Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Catherine Keener dan Emma Stone ini, membawa penonton ke zaman prasejarah iaitu pada zaman batu. Ia menceritakan kisah keluarga Epp (Stone) iaitu The Croods yang menjadi satu-satunya keluarga pada zaman batu yang masih hidup kerana peraturan ditetapkan ayah Epp, Grug (Cage). Selain Epp dan Grug, keluarga ini turut terdiri daripada Ugga (isteri Grug), Thunk (anak lelaki Grug), Randy (anak bongsu Grug) dan Gran (ibu mertua Grug) tinggal dalam gua yang sempit dan hanya keluarga beberapa kali dalam seminggu untuk memburu makanan.
Namun suatu hari, Epp bertindak melanggar peraturan dan keluarga dari gua pada waktu malam kerana ternampak satu cahaya yang disangka matahari. Cahaya itu rupanya datang dari seorang jejaka, Guy (Reynolds) yang berusaha untuk memulakan kehidupan baru dan lari dari kemusnahan dunia. Bagaimanapun, ketika cuba kembali ke gua, berlaku gempa bumi dan menyebabkan gua tempat tinggal keluarga Grug punah dihempap batu besar. Epp yang sememangnya mahu melihat dunia luar, meyakinkan keluarganya untuk memulakan kehidupan baru. Bermula konflik yang melucukan apabila misi pengembara tersebut untuk mencari masa depan tidak disukai Grug yang bergantung kepada tradisi silam.
Secara keseluruhan, biarpun ianya hanya sebuah filem animasi, namun perjalanan cerita yang membawa tema kekeluargaan berjaya mendekatkan cerita ini dengan penonton. Pengembaraan mereka dalam memulakan kehidupan baru menjadi kelucuan kepada penonton kerana Grug sentiasa menentang segala idea Guy dan menganggap ia sebagai satu perkara biasa. Malah sepanjang perjalanan, ada sahaja idea Guy yang cuba dibantah, namun hari semakin hari keluarga Grug mula menerima idea Guy. Pendek kata, setiap kali bertemu benda baru, ada sahaja perkataan dan perbuatan keluarga ini yang mencuit hati.
Di sinilah kita akan memperlihatkan kasih dan pengorbanan seorang ayah dalam memastikan keluarganya sentiasa berada dalam keadaan selamat. Begitu juga dengan sikap seorang ayah yang begitu berhati-hati untuk menyerahkan anak perempuan mereka kepada lelaki luar. Malah, filem ini juga akan memperlihatkan kasih seorang anak, biarpun degil, namun tetap mengutamakan keluarga dalam segala hal. Kehadiran Belt iaitu haiwan jenis Sloth sebagai kawan dan haiwan peliharaan Guy turut menimbulkan kelucuan dengan aksinya yang bersahaja. Apatah lagi, Belt turut bertindak sebagai tali pinggang dan tukang masak kepada Guy.
Keindahan sinematografi
Dari segi intonasi pelakon yang terlibat, pemilihan setiap pelakon sangat bertepatan dengan watak yang dimainkan. Biarpun hanya menyumbangkan suara, namun keserasian mereka masih dapat dirasai. Manakala dari segi visualnya pula, tidak sekadar menonton dalam format biasa, filem ini juga turut menggunakan format tiga dimensi (3D). Justeru, bagi penonton yang ingin kelainan dan menikmati warna-warna serta momen menarik dalam filem ini, anda disarankan menonton dengan format 3D. Ia akan membuatkan anda juga seolah-olah berada sama di dalam filem ini. Bagi mengetahui kesudahan pengembaraan keluarga ini, jangan lupa saksikan filem ini di pawagam.
.
2 Penyokong CHELSEA:
dah tgk!besttt!
nk tgk cite nie la sbtu nnti..
Post a Comment