Saturday, June 29, 2013

Gambar dasar Lautan Pasifik menjadi satu tempat pembuangan sampah besar-besaran


Satu kajian yang dijalankan mendapati, dasar Lautan Pasifik menjadi satu tempat pembuangan sampah besar-besaran oleh individu tidak bertanggungjawab. Perkara itu didedahkan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Akuarium Teluk Monterey (MBARI), yang melakukan rakaman lebih 18,000 jam di laut dalam menggunakan kenderaan dikawal alat kawalan jauh. Para penyelidik meninjau dasar lautan itu pada kedalaman 3962.4 meter dan menemukan sampah di setiap tempat yang mereka terokai. Kenderaan laut dalam meninjau kawasan-kawasan selam skuba di sepanjang West Coast dari Teluk California ke Pulau Vancouver dan menemukan longgokan plastik, logam, serpihan memancing dan sampah lain di Monterey Canyon, di luar pantai California.

Selepas melakukan 200 selaman, penyelidik mendapati, Monterey Canyon merupakan lokasi paling tercemar kerana lebih banyak sampah dijumpai di kawasan tersebut berbanding tempat lain. Di gaung laut dalam di luar pantai California sahaja, penyelidik mendapati lebih 1,150 serpihan sampah berada di dasar lautan.

Mereka tidak menemukan serpihan sampah secara rawak di seluruh lantai Pasifik, sebaliknya penyelidik menemukan serpihan yang terkumpul di lereng laut dalam dan kawasan berbatu. Terdapat lebih banyak sampah ditemukan di kawasan yang lebih dalam berbanding tempat-tempat yang lebih cetek. "Saya terkejut apabila menemukan lebih banyak sampah di laut dalam. Kita biasanya tidak memikirkan bahawa aktiviti harian kita mampu menjejaskan hidupan yang berada pada kedalaman dua batu di lautan,'' kata penulis utama kajian, Kyra Schlining. - AGENSI





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!