Rutin harian jemaah Masjid Nurul Iman untuk menunaikan solat subuh terganggu selepas dikejutkan dengan penemuan kepala babi panggang, yang diletakkan betul-betul di hadapan tangga pintu utama masjid. Menurut Siak Masjid, Nadzlan Ambak, dia yang tiba jam 5.15 pagi untuk membuat persiapan solat terkejut apabila kepala babi diletakkan elok di pintu masjid seperti barang perhiasan untuk tontonan tetamu. Nadzlan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun disitu berkata, insiden ini adalah pertama kali berlaku di masjid itu. Dia yang tinggal dalam kawasan masjid berkata, pada malam kejadian iaitu selepas selesai solat isyak, dia telah mengunci pintu pagar masjid seperti kebiasaan. “Individu tidak bertanggungjawab itu masuk ke kawasan masjid jam 2 ke 3 pagi dengan memanjat pintu pagar tanpa tidak disedari oleh sesiapa. Sebelum ini memang kerap berlakunya kecurian tetapi meletakkan kepala babi adalah yang pertama dan mencabar sensitiviti orang Islam," katanya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecurian dilaporkan dan penceroboh juga tidak masuk dalam ruangan solat sebaliknya hanya meletakkan kepala babi di hadapan pintu utama masjid. Sementara itu, Setiausaha Masjid, Sulaiman Abu Samah berkata, dia tiba ke tempat kejadian selepas dimaklumkan siak dan terus membuat laporan polis. Polis tiba di tempat kejadian 6.40 pagi. “Kelewatan polis datang menyebabkan penemuan itu tergempar selepas kesemua jemaah menyaksikan insiden itu. “Bagaimanapun, kita tidak menuduh mana-mana pihak, namun berharap mereka yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan masjid atau mana-mana isu supaya tampil untuk berbincang," katanya lagi.
Katanya, tindakan tersebut bukan hanya menggugat sensitiviti umat Islam tetapi turut menimbulkan provokasi masyarakat setempat yang boleh memburukkan keharmonian yang terjalin. Sebagai langkah pengawasan dan mengelakkan kejadian berulang, katanya, pihak masjid akan menggiatkan aspek pengawasan dan keselamtan termasuk cadangan pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Hadir sama melawat tapak ialah Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun), Soong Beng Khoon. Beng Khoon berkata, insiden tersebut pertama kali berlaku di Rawang dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan. Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya meminta polis menyiasat pihak tidak bertanggungjawab dan mengenakan tindakan tegas kerana sejak kebelakangan kerap berlaku insiden membabitkan mencabar kesucian tempat ibadah.
“Tiada sebarang tangkapan sebelum ini dilaporkan berkenaan pembakaran gereja atau kes baling kepala babi di Selangor menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab semakin berani dan bertindak keterlaluan. “Kita juga minta individu tidak bertanggungjawab untuk menghentikan provokasi membabitkan rumah ibadah dan tidak mencampuradukkan politik dengan sensitiviti kaum serta agama. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei berkata, "saya selaku Adun Rawang mengutuk keras tindakan pihak yang sengaja membuat provokasi membabitkan isu agama dan mencabar tampil membuat perbincangan rasa tidak puas hati secara terbuka." “Masjid yang telah 30 tahun ini tidak menghadapi sebarang masalah sebelum ini kerana memegang prinsip memahami dan menghormati antara satu sama lain dan tindakan membuat provokasi itu mencabar institusi sedia ada," katanya. -SH
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment