Misteri kehilangan seorang lelaki lebih dua minggu lalu akhirnya terjawab selepas dia dijumpai mati selepas dipercayai terlibat dalam satu kemalangan di Batu 8, Jalan Seremban-Mantin di sini semalam. Mayat Au Fook Sang, 54, dijumpai berhampiran keretanya di dalam gaung sedalam kira-kira 26 meter oleh seorang penduduk yang kebetulan mencari buluh di kawasan tersebut. Penduduk tersebut, Kasim Bachik, 59, berkata, dia bersama isterinya pergi ke kawasan berkenaan untuk mencari buluh kira-kira pukul 9 pagi sebelum ternampak sebuah kereta dalam keadaan terbalik di dalam gaung. ''Kerana curiga saya terus menghampiri kereta tersebut dan terkejut apabila ternampak mayat seorang lelaki dalam keadaan reput kira-kira 20 meter dari kenderaan terbabit. ''Kerana terkejut saya terus naik semula ke atas jalan sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, jurucakap polis memberitahu, mangsa yang belum berkahwin dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak keluar dari rumah mereka di Lobak dekat sini pada 20 Mei lalu. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta Jenis Honda Insight dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju ke Seremban sebelum kenderaannya terbabas dan terhumban ke dalam gaung berkenaan. ''Kemungkinan juga mangsa masih hidup selepas kemalangan itu dan cuba merangkak keluar dari kenderannya untuk meminta bantuan namun gagal.
''Kita percaya kejadian ini berlaku hampir dua minggu yang lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah mereput," katanya di sini semalam. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Yusoff Awang yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. -utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment