Monday, July 29, 2013

Kenali Ice watch, jam tangan pelbagai warna dan reka bentuk


Kenali Ice watch, jam tangan pelbagai warna dan reka bentuk | MEMFOKUSKAN pada warna terang, berwarna-warni, dan rekaan bergaya, Ice Watch kini mula mencuri tumpuan ramai dalam kalangan jam tangan selain bertindak sebagai aksesori dan pelengkap gaya masyarakat hari ini. "Warna dan reka bentuk yang pelbagai daripada jenama Ice-Watch menjadikan ia satu impian untuk pengguna yang ingin mempamerkan personaliti tanpa bergantung kepada fesyen jam tangan semata-mata," kata Pengarah Eksekutif Hanlow Enterprise Sdn Bhd, Jack Low. Menurutnya, fesyen jam tangan berwarna-warni mampu melengkapkan perubahan kepada personaliti pemakai lebih-lebih lagi ditawarkan dalam harga mampu milik. "Himpunan koleksi Ice Watch ditawarkan serendah RM299 hingga RM1,100 dan tahun ini pula, dijangka 12 koleksi baru diperkenalkan, tahun lepas, lapan hingga sembilan jenis koleksi baru ditampilkan," katanya.

Jenama jam tangan Ice Watch diperkenalkan pada 2007, bermula di Belgium, kini diedarkan ke 100 pasaran seluruh dunia dan dibawa ke Malaysia pada 2001, melalui pengedar tunggal, Hanlow Enterprise Sdn Bhd. Dalam tempoh lima tahun, jenama Ice-Watch telah memberi pembaharuan dan memperkenalkan pendekatan pemikiran terbuka dalam dunia pembuatan jam tangan. Jenama Ice Watch sentiasa fokus terhadap warna di semua rangkaian jam tangannya kerana elemen itu sering dikaitkan dengan musim, mood, aktiviti dan fesyen. Ice Watch telah memperkenalkan inovasi dalam pasaran, mewujudkan satu rangkaian dengan 10 pilihan warna yang menjadi asas kepada koleksi abadi (Sili Forever) dan (Ice-Solid).

"Apabila jenama ini masuk ke Malaysia, kami membuka butik utama di Sunway Piramid dan bakal meluaskan pemasaran di Alamanda, Putrajaya, Oktober ini membabitkan pelaburan, RM250,000," katanya. Butik di Alamanda adalah yang kedua, selain pemasaran meluas melalui jualan runcit di pusat-pusat membeli-belah utama, seperti, Aeon, Tang, Isetan, Robinsons serta kedai jam di seluruh negara. Jam tangan ini menawarkan kemewahan mampu milik yang diterjemahkan melalui prestasi jualan kukuh di beberapa pasaran. "Rangkaian pemasaran masih lagi tertumpu oleh kaedah tradisional selain turut serta dalam peragaan fesyen melalui kerjasama dengan rakan niaga lain," katanya.


Sasar golongan muda 

Beliau berkata, pendekatan warna terang yang diperkenalkan adalah sebagai strategi untuk menarik golongan muda. "Orang muda lebih sinonim dengan warna terang tetapi produk ini tidak terhad kepada golongan itu sahaja. "Golongan profesional, dan kanak-kanak juga tidak dilupa, 19 peratus koleksi dikhaskan kepada dewasa, manakala 10 peratus kanak-kanak," katanya. Menurutnya, senario jualan pasaran global dikuasai Jepun, kerana populasinya ramai. Manakala dalam pasaran Asia, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara Asia lain contohnya, China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura, dan Brunei. Dari segi jualan, Ice Watch telah menjual 4.2 juta utas jam pada 2011 dan dianggarkan Malaysia menjual 12,000, justeru tahun ini kemungkinan besar, jumlah itu akan menghampiri angka yang sama. Jenama ini menggunakan kepakaran Jepun, dikilangkan di Hong Kong, manakala rekaan dari Belgium. Sejajar menjadi pilihan ramai, jenama ini giat bekerjasama dengan beberapa pihak untuk tujuan promosi. "Kami terlibat menaja program dengan beberapa majalah tempatan, agar peluang seperti ini menjadikan jenama ini lebih dikenali," katanya. -SH





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!