Bukti jerung memang sangat ganas | Seorang pengajar aktiviti sukan skuba dari sini terpaksa menerima sebanyak 285 jahitan selepas dia digigit seekor jerung seberat 136 kilogram, baru-baru ini. Dalam kejadian di Terumbu Elbow di luar pulau Key Largo, Florida, Dave Marcel sedang cuba mencium jerung itu, sebelum dia digigit jerung itu, walaupun telah melakukan perkara serupa sejak bertahun-tahun. Namun, kali ini nasib Marcel agak malang apabila haiwan yang mempunyai kira-kira 500 gigi tajam itu bertindak menggigitnya, walaupun jerung daripada keluarga Ginglymostomatidae itu dikenali sebagai ikan yang tidak agresif dan suka dibelai. Insiden itu dirakam kamera dan disiarkan melalui rancangan Discovery Channel sebagai sebahagian daripada satu program Shark Week pada tahun ini.
Marcel sedar kesilapan utama yang dilakukannya pada hari itu apabila memusingkan badannya ke atas dan ke bawah sebelum dia cuba mencium ikan tersebut, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Pada masa sama, Marcel tidak sedar mata jerung itu berada di atas kepalanya, sekali gus menyukarkan ikan itu melihatnya sebaliknya menyangka dirinya adalah ikan yang dijadikan makanan untuk jerung tersebut. Ketika jerung itu menyedari bahawa ia sedang makan daging manusia dan bukannya ikan, haiwan itu hilang selera dan melepaskan Marcel sebelum melarikan diri dari situ. ''Ikan itu segera memuntahkan saya. Saya rasa jerung itu sedar saya tidak begitu sedap untuk dimakan,'' katanya kepada Discovery Channel. Marcel bernasib baik kerana gigitan jerung itu tidak merosakkan wajahnya. Insiden itu, bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus turun ke dasar laut tiga hari selepas kejadian tersebut. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment