Saturday, August 3, 2013

Duda berusia 55 tahun mangsa terkini mercun bola



Duda berusia 55 tahun mangsa terkini mercun bola | Seorang duda berusia 55 tahun cedera di bahagian dada serta pergelangan tangan kiri gara-gara cuba menyalakan sumbu mercun jenis bola yang dijumpai di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Topeng, Repek, Pasir Mas, di sini petang semalam. Ketika kejadian kira-kira 6 petang itu, Ab Rasid Abdullah, 55, dikatakan bersiar-siar di sekitar kawasan rumahnya sementara menunggu waktu berbuka puasa dan ketika itulah dia menemui mercun itu. Bagaimanapun, nasib malang menimpa bekas pengawal keselamatan itu selepas mercun yang dinyalakannya meletup sebaik sumbu mercun itu dibakar. "Saya tak sangka cubaan menyalakan mercun yang dijumpai itu membawa padah apabila ia meletup sebelum saya sempat membaling mercun itu ke tanah. "Akibat letupan itu saya cedera di pergelangan tangan kiri dan luka di badan terkena serpihan mercun itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

Ab Rasid berkata dalam kesakitan, beliau bergegas ke rumah jiran berdekatan untuk meminta bantuan dan dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas, sebelum dirujuk ke HRPZII petang semalam. "Ini merupakan kejadian pertama yang menyebabkan saya mengalami kecederaan teruk akibat mercun. Sebelum ini saya tidak pernah cuba main mercun. "Kejadian semalam hanya untuk suka-suka menghilangkan rasa sunyi selepas isteri meninggal dunia sejak 18 tahun lalu, di samping anak-anak tiada di rumah.

"Kesemua anak-anak saya tidak tinggal bersama kerana mempunyai komitmen dengan kerjaya dan anak bongsu saya, Hafizudin, 19, tinggal di asrama sekolah berdekatan," katanya. Ab Rasid berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada masyarakat dan remaja agar tidak membuang wang dan waktu untuk bermain mercun kerana ia langsung tidak berfaedah dan merugikan diri sendiri serta menyusahkan keluarga. Ab Rashid merupakan mangsa kelima kejadian mercun di Kelantan yang menerima rawatan di HRPZII setakat ini. - Bernama




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!