Kenali Tugu Starcevich, di daerah Beaufort Sabah | Terletak 97 kilometer dari selatan Kota Kinabalu, pekan Beaufort yang menjadi penghubung kepada Sipitang, Kuala Penyu dan Tenom, agak jarang disebut sebagai destinasi pelancongan di Sabah. Namun daerah ini juga mempunyai sejarah dan keistimewaan sendiri, justeru tidak hairan penduduknya berbangga dengan kewujudan Tugu Peringatan Starcevich,yang terletak bersebelahan Pejabat Daerah Beaufort. Tugu itu dibina bagi memperingati Leslie Thomas Starcevich iaitu seorang wira semasa penjajahan Jepun di Sabah dan pada 1998 kerajaan negeri Sabah mengisytiharkan tugu berkenaan sebagai Tapak Warisan Budaya.
Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Sabah ke-50, September ini, kewujudan tugu itu mengingatkan kembali perjuangan rakyat menentang Jepun dan daerah ini mengatur beberapa program bagi menyuburkan kembali semangat patriotik dalam kalangan anak Sabah, kata Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun. Antaranya ialah acara berjalan kaki yang bermula dari rumah saya menuju ke stesen kereta api dan berakhir di padang pekan Beaufort, melintasi tugu itu, katanya kepada Bernama, di sini. Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata turut diadakan acara mendeklamasi puisi dan teater berkaitan perjuangan orang dahulu menentang penjajahan.
Pekan Beaufort pada asalnya dikenali sebagai Padas namun selepas ketibaan British pada 1898, ditukar kepada Beaufort bersempena pegawai tertinggi British North Borneo iaitu L. P. Beaufort. Dalam pada itu ada sumber lain menyatakan keluarga Sir L. P. Beaufort adalah keluarga diraja England hasil perkahwinan campur dengan Itali. Pada awal 1990-an, pekan ini terkenal sebagai pengeluar limau manis dan mendapat jolokan 'Limau Manis Beaufort', namun perubahan cuaca dan bentuk muka bumi menjejaskan tanaman itu dan limau manis kini semakin didapati. - Bernama
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment