Monday, September 23, 2013

Cerita terkini Nana, DJ Sinar FM



Cerita terkini Nana, DJ Sinar FM | Masakan tidak, Nana sendiri baru sahaja mengumumkan berita anggota keluarganya akan bertambah lagi seorang. Bertemu dengannya di sebuah majlis anjuran Samsung di ibu kota baru-baru ini, Nana nampak comel dengan tubuhnya yang sudah mula menampakkan kandungannya. Tapi, kenapa berita yang menggembirakan itu disimpan hingga tiga bulan?. Kenapa tidak diumumkan sejak awal kehamilan lagi? Bagi Nana sendiri, dia sebenarnya sangat menantikan kelahiran kedua ini selepas anak pertamanya Althea Raqeem Brian. "Selama empat tahun saya menanti perkhabaran ini. Saya sentiasa berdoa supaya Althea akan mendapat adik. "Akhirnya, baru kini saya mendapat khabar ini. Orang pertama yang saya beritahu ketika itu adalah suami saya.

"Kandungan ketika itu baru sahaja memasuki beberapa minggu. Saya tidak berani hendak menghebahkan secara awal kerana khuatir jika terjadi apa-apa. "Bila semuanya tampak baik, pemeriksaan doktor pun sudah dilakukan baru saya beritahu. Tiada niat nak sorok pun," jelasnya jujur. Berkongsi mengenai keterujaanya lagi, persiapan untuk kandungan kedua ini lebih sederhana kerana bersebab. Bagi Nana, dia tidak mahu sebarang pembaziran apatah lagi banyak perkakasan anak pertamanya yang masih boleh digunakan. "Banyak benda yang boleh dipakai lagi. Cuma pakaianlah yang selalu kami cari untuk kelahiran kali ini," jelas Nana yang kini sudah sudah memasuki bulan ke enam kandungan.

Terdapat sesuatu yang menarik untuk kandungan kali ini kerana menurut Nana, dia banyak memilih warna putih untuk pakaian yang dibeli bagi anak keduanya. Bagi Nana, untuk kelahiran kali ini, dia tidak mahu melakukan imbasan untuk mengetahui jantina anaknya itu, sebaliknya mahu dibiarkan rahsia sehingga hari kelahirannya. "Saya tidak mahu buat imbasan untuk mengetahui jantina bayi saya. Saya mahu ia jadi satu kejutan buat saya dan suami. "Sebab itu pakaian kebanyakannya kami beli warna putih, sebab ia sesuai dipakai jika bayi saya lelaki atau perempuan.

"Malah, pakaian pun kebanyakannya saya beli pakaian yang boleh dipakai untuk bayi lelaki atau perempuan," katanya. Namun, dalam perasaan yang mahukan kejutan itu, Nana sempat berbisik dalam hatinya jika boleh mahukan seorang bayi lelaki. "Sebelum ini saya sudah dikurniakan Althea dan kalau boleh, saya berharap bayi kali ini ialah lelaki. "Semuanya ketentuan tuhan dan hakikatnya, walau apapun jantina bayi saya nanti, saya akan tetap menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran," jelasnya.


Mahu ramai anak 

Mengulas lanjut mengenai keluarganya, jelas Nana, dia tidak berhajat untuk merancang bilangan ahli keluarganya. Sebaliknya, bagi wanita ini, dia sebolehnya mahukan anak ramai kerana ia memeriahkan keluarga. "Saya sendiri mempunyai empat orang adik-beradik. Bila sudah besar, baru kita sedar betapa seronoknya mempunyai sebuah keluarga yang besar," jelasnya. Tetapi, menurut Nana, dia tidaklah berhajat untuk memiliki sebuah keluarga yang sangat besar kerana apa yang penting kebahagiaan buat anak-anaknya. "Sekarang ini taraf hidup makin tinggi. Jadi saya memang mahu anak-anak saya hidup selesa. "Maksudnya memiliki sebuah keluarga besar tetapi dalam lingkungan kemampuan diri. Itu lebih membahagiakan," katanya.

Ditanya mengenai kerjaya, apatah lagi dengan kelahiran bakal anak kedua, jelas Nana, apa yang sentiasa diutamakan adalah keluarganya dahulu. "Bagi saya, meluangkan masa untuk tumbesaran anak-anak adalah sangat penting. "Malah, keputusan untuk melepaskan kerjaya saya demi keluarga juga adalah keputusan yang paling bijak yang pernah saya lakukan," jelasnya. Dia yang kini berkhidmat sebagai juruhebah sambilan di stesen radio Sinar FM, berkata, kerjaya seninya akan ditentukan mengikut situasi. "Jika selepas ini saya merasakan tidak mampu untuk meneruskan kerjaya, saya akan beri fokus utama pada keluarga," katanya yang juga sibuk dengan perniagaannya. -Utusan





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!