Wednesday, September 4, 2013

Memohon maaf dan memberikan kemaafan


Memohon maaf dan memberikan kemaafan | MEMBERIKAN kemaafan merupakan pengorbanan terbesar dalam hidup manusia. Ia juga bakal menentukan sama ada kita mampu mengekalkan sebuah persahabatan atau terus mempunyai musuh yang berkekalan. Walaupun kemaafan sesuatu yang kelihatan mudah, hakikatnya ia tidak semudah yang dijangka. Apatah lagi, apabila pelakunya telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan dan maruah diri. Memohon maaf juga bukan perkara mudah. Ia menguji maruah diri. Apatah lagi memohon maaf itu sendiri seolah-olah mencabar ego diri untuk mengaku salah dan silap kepada orang lain.

Ia sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh mereka yang sanggup menerima kesilapan diri sendiri sekalipun ia mungkin hal yang memalukan. Aidilfitri ini merupakan peluang terbaik untuk kita semua melakukannya, sama ada memberi maaf atau memohon maaf. Benarlah, kita tidak mampu melupakan kejadian tertentu yang telah berlaku sepanjang perhubungan kita dengan individu lain. Bagaimanapun, memberi dan memohon maaf merupakan jalan terbaik untuk kesejahteraan psikologi.

Di manakah letaknya proses kemaafan ini? Dikatakan bahawa kemaafan berada pada tahap kognitif, iaitu sejauh mana pemikiran kita menafsirkan sesuatu kejadian yang telah berlaku. Ada orang yang mudah memaafkan hal yang besar, sebaliknya ada individu yang sangat sukar memaafkan kesilapan yang kecil. Ia bergantung kepada sejauh mana mental kita memproses besar atau kecilnya sesuatu perkara. Ia juga bergantung kepada personaliti seseorang manusia.


Kesanggupan memberi maaf 

Kajian-kajian psikologi jelas menunjukkan bahawa ada dua implikasi utama dalam kesanggupan seseorang memaafkan orang lain. Mereka yang sanggup memberi maaf didapati akan lebih bersikap simpati dan menolong mereka yang dimaafkannya sebaliknya, mereka yang tidak sanggup memberikan kemaafan, didapati akan terus gelisah dalam hidupnya. Bahkan, ada yang meneruskan kemarahan dengan melakukan tingkah laku agresif lain seperti membalas dendam dan melakukan tindakan di luar batas undang-undang. Mereka yang memaafkan juga didapati mampu melakukan aktiviti sosial dengan baik, bukan sahaja terhadap mereka yang dimaafkannya, tetapi juga terhadap orang lain. Bagaimanapun, mereka yang tidak sanggup memberi maaf didapati lebih bersikap antisosial dan mengasingkan diri daripada masyarakat.

Umumnya, ahli psikologi percaya bahawa memaafkan orang lain bergantung sama ada individu itu dihadapkan dengan emosi negatif atau positif pada waktu kesalahan itu berlaku. Misalnya, orang yang dihadapkan dengan emosi negatif, contohnya dimarahi, dihina atau emosi mereka telah diganggu dengan teruk, mereka ini didapati sangat sukar untuk memaafkan pelakunya. Sebagai contoh, kecurangan dalam hubungan atau perceraian dalam rumah tangga. Ia menjadi hal yang sangat sukar untuk dimaafkan kerana peristiwa yang berlaku melibatkan emosi negatif. Sebaliknya, dalam keadaan tertentu kemaafan sangat mudah diberikan, khususnya apabila mangsa mempunyai emosi positif terhadap pelakunya.

Misalnya, dalam keadaan kemalangan jalan raya yang tidak disengajakan, walaupun mangsa berasa tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku, mereka biasanya lebih mudah memaafkan pihak yang satu lagi. Lebih-lebih lagi jika pihak bertentangan mengalami musibah yang lebih teruk. Begitu jugalah sekiranya mereka yang bersalah memohon maaf daripada mangsa. Pelaku ini akan dinilai secara positif, atau dalam erti kata lain sebagai manusia yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab. Ini akan menjadikan mereka lebih mudah dimaafkan berbanding mereka yang terus mengekalkan sifat ego diri walaupun telah membuat kesilapan.

Bagi sesetengah individu, kemaafan diberikan kerana ia menggambarkan 'kebaikan' imej diri terhadap keluarga, sahabat atau masyarakat. Kita berasa bersalah sekiranya tidak memberikan kemaafan kepada orang lain. Dalam agama Islam, memohon maaf dan memberi kemaafan merupakan satu sifat yang sangat terpuji. Justeru, Aidilfitri yang sedang diraikan ini merupakan peluang terbaik untuk kita semua bermaaf-maafan.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!