Thursday, September 5, 2013

Nama jalan mencetus kontroversi


Hasrat untuk menukar empat nama jalan di sekitar kawasan Monumen Nasional (Monas) mencetuskan kontroversi khususnya apabila nama bekas Presiden Suharto turut berada dalam senarai perubahan berkenaan. Antara yang menolak hasrat meletakkan nama Suharto sebagai ganti nama di sekitar kawasan Jalan Merdeka di tengah-tengah pusat pentadbiran negara itu ialah Timbalan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama. "Saya enggan memberi sebarang komen. Sudah ada pasukan khas yang melakukan kajian terhadap perubahan nama jalan. Lebih baik ditanya sendiri kepada Gabenor (Joko Widodo)," kata Basuki. Menurut Basuki, secara peribadi beliau lebih gemar seandainya nama Jalan Medan Merdeka Barat, Utara, Timur dan Selatan dikekalkan memandangkan perkataan merdeka itu diletakkan atas sebab tersendiri.

Usul mengubah nama jalan itu dikemukakan sebuah kumpulan digelar Majlis 17 yang diketuai oleh Jimly Asshidiqie yang juga bekas Ketua Mahkamah Persekutuan. Kumpulan berkenaan meminta pertimbangan kerajaan untuk mengabadikan nama tokoh-tokoh besar Indonesia seperti Sukarno, Mohammad Hatta, Ali Sadikin dan Suharto di sekitar Monas. Soekarno dan bekas Naib Presidennya, Mohammad Hatta merupakan tokoh kemerdekaan negara, sementara Suharto terkenal kerana berjaya membawa perubahan pesat kepada pembangunan Indonesia selama 32 tahun berkuasa dan Ali Sadikin pula diiktiraf sebagai Gabenor Jakarta yang tersohor. Menurut Basuki, cadangan perubahan nama jalan sedia ada kepada empat nama tokoh negara itu hanya akan membawa kepada desakan daripada pihak lain pada masa depan pula khususnya pada jalan-jalan utama lain.

"Tentu sekali ada banyak pro dan kontra dalam isu ini. Kalau ada Suharto kenapa nama Abdurrahman Wahid (Gus Dur) tiada dalam senarai? Bagaimana pula dengan Megawati? B.J Habibie dan Susilo Bambang Yudhyono?," kata beliau. Basuki turut mencadangkan, hasrat untuk menukar nama jalan itu harus dikaji semula dalam usaha untuk memuaskan hati semua pihak walaupun beliau secara peribadi lebih suka nama keempat-empat jalan sedia ada dikekalkan. - Utusan





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!