Tuesday, December 17, 2013

Kaji kewujudan kedai, restoran 24 jam kerana bawa kesan serius


Kaji kewujudan kedai, restoran 24 jam kerana bawa kesan serius | Kerajaan disaran supaya mengkaji semula kewujudan kedai dan restoran 24 jam dalam usaha menangani masalah obesiti dan membendung peningkatan kes jenayah di negara ini. Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Sulaiman Abdul Manan, berkata, kajian itu perlu meliputi aspek sosial masyarakat, keselamatan dan kesihatan. "Perkara ini kita kena adakan satu kajian. Kenapa harus kita mengadakan kedai 24 jam ini? Kalau kita lihat di luar negara tak ada pun kedai makan 24 jam, yang ada pun mungkin 7Eleven. Jadi kerajaan kena teliti semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Program Jelajah Media Pulau Pinang: Pencegahan Jenayah', baru-baru ini.

Sulaiman berkata kewujudan kedai dan restoran 24 jam itu bukan sahaja mendorong masyarakat kepada amalan gaya hidup yang tidak sihat, malah ia juga mendedahkan mereka kepada ancaman jenayah. "Ibu bapa juga boleh mengawal pergerakan anak-anak mereka terutama pada waktu malam. Lambakan kedai-kedai 24 jam boleh mendorong generasi muda untuk melepak sekaligus terdedah dengan gejala negatif," katanya. Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Sulaiman menasihatkan media supaya tidak memperbesar dan menokok tambah sesuatu isu, yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada negara. Katanya laporan sebegitu boleh memberikan imej buruk Malaysia kepada negara luar sekaligus menyekat kedatangan pelancong ke Malaysia. Program Jelajah Media anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat mengenai isu-isu nasional yang memberi impak kepada negara. - Bernama




.

1 Penyokong CHELSEA:

Rizziela on December 17, 2013 at 8:48 AM said...

betul gak..tengah2 mlm kalau lapar..ada ajer tmpt nak ditujukan :D

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!