Tuesday, January 22, 2013

Kereta dibakar, tanda sambut tahun baru?


Tradisi meniup trompet atau membakar bunga api sehingga menghiasi langit-langit bandar, menjadi kegiatan rutin di setiap negara untuk menyambut datangnya malam tahun baru. Namun hal berbeza terjadi di Perancis. Di setiap malam tahun baru, ribuan kereta selalu terbakar di negara tersebut. Seperti terjadi baru-baru ini, sebanyak 1,193 unit kenderaan terbakar pada malam tahun baru 2013. Meskipun ribuan kereta yang terbakar, tidak terdapat korban ataupun kecederaan dalam aksi pembakaran tersebut. Pelbagai persoalan sering diajukan, mengapa hal tersebut terjadi di Perancis. Namun sehingga kini motif kejadian masih belum terungkai. -Inautonews






.

Hebat : Insentif berupa wang tunai untuk bayi yang baru lahir


Singapura pada Isnin mengumumkan peningkatan bonus wang tunai untuk ibu bapa yang mempunyai bayi yang baru lahir dan memperkenalkan cuti bersalin sebagai sebahagian daripada pakej untuk menggalakkan populasi dan mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing. Ibu bapa bagi bayi warga Singapura yang dilahirkan sejak 26 Ogos tahun lepas akan menerima sagu hati berupa wang tunai sebanyak SG$6,000 (RM14,808) – satu peningkatan 50 peratus, di mana ia berkelayakan untuk dua anak pertama bagi setiap pasangan. Insentif kewangan itu akan meningkat kepada SG$8,000 (RM19,743) untuk anak ketiga dan keempat setiap pasangan, apabila kerajaan cuba untuk mengurangkan kos sara hidup yang tinggi untuk membesarkan keluarga di negara itu.

Sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa perlu menjadi warganegara Singapura bagi membolehkan mereka menerima sagu hati itu. Kerajaan akan memberi subsidi itu pada minggu pertama cuti bersalin bagi bapa kepada bayi yang dilahirkan dari 1 Mei tahun ini, kata agensi Divisyen Bakat dan Kependudukan Kebangsaan (NPTD) turut membuat pengumuman mengenai dalam satu kenyataan media. Kadar kelahiran Singapura adalah 1.2 kanak-kanak setiap wanita, menurut perangkaan pada 2011, yang mana ia di bawah angka 2.1 yang perlukan untuk mengekalkan populasi negara. - AFP





P/S - Bila agaknya Malaysia nak jadi macam ni...?






.

Hebat. Panggung wayang diilhamkan berdasarkan kediaman adiwira


Seorang peminat filem Batman di Amerika Syarikat mencipta panggung wayang rumah yang diilhamkan berdasarkan kediaman adiwira itu. Panggung bernilai AS$2 juta (RM6.3 juta) itu turut menempatkan kereta, pakaian dan komputer Batman, skrin wayang 180 darjah serta lif silinder keluli tahan karat persendirian dengan simbol kelawar bercahaya, selain terowong rahsia. Ia dibina di sebuah kediaman persendirian di Greenwich, Connecticut oleh syarikat Elite Home Theater Seating yang beribu pejabat di Kanada.

Panggung yang penuh dengan hiasan itu dan berkeluasan 1,115 meter persegi meniru konsep kediaman bilionair Bruce Wayne, yang terkenal dengan identiti rahsianya, hero memerangi penjenayah. Bilik itu dilengkapi dengan jam besar yang diapit dengan rak buku dan di atasnya pula terletak patung William Shakespeare. Satu tombol di jam besar itu yang dipusing mengikut arah jam akan memusingkannya dan mendedahkan pintu lif ke panggung Batman itu, tetapi imbasan cap jari diperlukan untuk memasuki lif tersebut.

Ketua Eksekutif Elit, Bobby Bala berkata, panggung wayang bertemakan Batman itu sebenarnya satu konsep rekaan yang diberikan secara percuma kepada seorang pelanggan tetap untuk tujuan bersuka-suka. "Saya secara peribadi adalah peminat Batman dan dengan pengalaman dalam imej grafik CG, kami dapat menghasilkan reka bentuk ini dalam beberapa minggu sahaja. - AGENSI







.

Lihat penemuan mengejutkan mengenai planet Marikh


Sebuah kapal angkasa milik Amerika Syarikat yang mengorbit planet Marikh menemui bukti kewujudan sebuah kawah tasik purba mengandungi air bawah tanah. Penemuan ini sekali gus menyokong teori bahawa Planet Merah itu mungkin satu ketika dulu pernah didiami hidupan, kata Agensi Angakasa Lepas Amerika (NASA) kelmarin Data spektrometer dari Pengorbit Tinjauan Marikh NASA (MRO) menunjukkan kesan karbonat dan mineral tanah liat biasanya terbentuk dengan kehadiran air di bawah Kawah McLaughlin sedalam 2.2 kilometer itu.


Pemantauan baru itu mencadangkan pembentukan karbonat dan tanah liat di dalam sebuah tasik diisi air bawah tanah dalam lembangan kawah, kata NASA berhubung penemuan itu yang diterbitkan edisi online Nature Geoscience. Sesetengah penyelidik mengatakan bahagian dalam kawah menadah air, kata agensi angkasa lepas itu, menambah bahawa zon bawah tanah yang menyalurkan air mungkin menjadi persekitaran lembap dan habitat potensi.


Kawah itu kekurangan saluran dalaman besar, jadi tasik itu kemungkinan diisi air bawah tanah, kata saintis. Pemantauan terbaru menyediakan bukti terbaik pembentukan karbonat dalam persekitaran tasik bukannya dialirkan ke dalam kawah dari luar, kata penulis utama jurnal, Joseph Michalski, Kawah dengan lebar 91.73 kilometer itu terletak pada hujung satu cerun beberapa ratus kilometer panjang dan sama seperti bumi, tasik diisi air bawah tanah itu terletak di paras rendah. AFP






.

Apa cerita terkini penyanyi dan pelakon, Diddy Hirdy


Kesibukannya sebagai artis, suami dan bapa kepada seorang anak tidak menghalang Diddy Hirdy untuk terus berusah payah menuntut ilmu sehingga berjaya mengekalkan keputusan peperiksaannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan cemerlang. Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdy Muhid, 28, berkata adalah menjadi kebanggaannya kerana sejak menjadi penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) secara sambilan kira-kira tiga tahun lalu, dia berjaya mengekalkan keputusan nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.8 ke atas.

“Saya tidak percaya dengan keupayaan diri saya kerana berjaya mendapat CGPA sedemikian sehingga diberikan Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya. Diddy berkata, walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi, dia tetap menjadikan pelajaran sebagai tumpuan utama walaupun kadangkala begitu penat kerana perlu melaksanakan banyak kerja dalam satu-satu masa. Bagaimanapun kesusahan yang dilaluinya ketika ini seharusnya menjadi pendorong kepada generasi muda serta artis-artis lain agar terus menuntut ilmu termasuklah buat anaknya iaitu Nadra Aryssa Jauza yang kini berusia hampir dua tahun. Dalam masa yang sama, isterinya iaitu Allen Nor Azah Musa, 28, turut memberi sokongan moral terhadap pencapaiannya dalam bidang pendidikan.

“Saya bertuah kerana isteri saya menjadi penyokong kuat terhadap kerjaya saya sebagai artis dan dalam masa yang sama mahu melihat saya berjaya dalam pelajaran. Malah saya mahu susah payah saya ini akan dapat dicontohi oleh anak saya apabila dia besar kelak,” katanya. Antara petua untuk dia kekal dengan pencapaian sedemikian kata Diddy, seseorang yang belajar secara sambilan perlulah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap apa yang dipelajari. Sementara itu dalam perkembangan lain Diddy baru sahaja selesai menyiapkan lagu runut bunyi untuk filem Paku serta dalam proses menghasilkan single terbaharunya. -MStar






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!