Sunday, February 17, 2013

Lagi meteor dilihat dibumi, kali ini di California


Beberapa jam selepas meteor terhempas dan menyebabkan letupan di Rusia dan lebih 1,000 kecederaan serta kejadian asteroid bergerak hampir dengan Bumi, penduduk di California melaporkan melihat cahaya kilat luar biasa di seluruh kawasan San Francisco Bay yang menyebabkan ramai terkejut dan berasa seram. Berdasarkan laporan, cahaya di langit di utara California adalah meteor Sporadis, atau bola api, dan bukan meteor besar, menurut Pengurus Operasi Persatuan Meteor Amerika di Genesee, New York, Mike Hankey. Kumpulan itu mencatatkan sekurang-kurangnya 35 laporan kejadian itu, katanya. "Bola api ini berlaku setiap malam di seluruh dunia," katanya. Pakar mengatakan meteor kecil melanda bumi sebanyak lima hingga 10 kali setahun tetapi peluang untuk meteor besar, seperti yang mengejutkan penduduk di Chelyabinsk, Rusia, adalah jarang-jarang berlaku.

Pada Jumaat, 'Chabot Space' dan Pusat Sains di Oakland juga dilaporkan menerima panggilan menyatakan apa yang dilihat seperti bola api terbang di bahagian barat sekitar pukul 8 malam. Jonathan Braidman, seorang pengajar di pusat itu, menyifatkan objek tersebut, berdasarkan laporan, berkemungkinan menjadi sebahagian kecil daripada asteroid yang mungkin bertembung dengan bumi. "Ini adalah kejadian yang sangat biasa,"kata Braidman. "Apa yang luar biasa apabila ia begitu dekat dengan tempat tinggal manusia." Media Bay Area melaporkan bola api dilaporkan dilihat dari kawasan Gilroy, kira-kira 80 batu (130 kilometer) dari selatan San Francisco, Sacramento, kira-kira 90 batu (145 kilometer) ke timur laut.

Seorang penonton memberitahu stesen televisyen NBC11, objek warna kebiruan muncul dan kelihatan akan menuju terus ke tanah. Penduduk di San Leandro, Krizstofer Loid memberitahu KTVU-TV bahawa dia sedang duduk di atas kerusi di belakang rumahnya ketika dia melihat objek. "Saya nampak, seperti cahaya biru dari langit yang akan datang ke bawah. Saya fikir ia adalah bunga api, tetapi saya tidak mendengar apa-apa bunyi," katanya.

Teleskop besar pusat tidak merakamkan objek tersebut, ahli astronomi Gerald McKeegan memberitahu KGO TV. "Perhatian media terhadap apa yang berlaku di Rusia mendapat perhatian ramai, jadi mereka lebih cenderung untuk melihat apa yang berlaku di langit," kata Hankey. Ketika bola api di kawasan San Francisco Bay pada malam Jumaat menerima banyak perhatian, Braidman memberitahu kira-kira 15,000 tan serpihan asteroid memasuki atmosfera bumi setiap tahun. "Biasanya ia pecah kepada serpihan kecil dan sukar untuk mencari," katanya.






.

Siapa kata orang diet tak boleh makan nasi?


Bagi sesiapa yang berdiet, karbohidrat merupakan musuh utama, tetapi kini mereka boleh menarik nafas lega kerana terdapatnya beras yang hampir-hampir tidak mempunyai kalori. Slim Rice, satu produk baharu Britain, dapat membantu seseorang yang gemar memakan nasi berasa kenyang tanpa memakannya dengan jumlah yang banyak. Beras itu hanya mempunyai 7.7 kalori untuk satu sajian seberat 100 gram berbanding 350 kalori untuk berat yang sama pada beras basmati putih. Nasi biasa mengandungi 64 peratus air, tetapi Slim Rice yang telah dimasak mengandungi 97 peratus air dan akar konjac. Beberapa pakar pemakanan mendakwa sayuran ekstrak konjac atau lebih dikenali sebagai Moyu, boleh menstabilkan tahap gula di dalam darah dan menghalang seseorang itu daripada kelaparan atau memakan terlalu banyak.

Produk biasa mempunyai bau kanji yang kuat dan perlu dibilas sekurang-kurangnya dua kali dengan air suam untuk menghilangkan baunya. Menurut penggemar produk ini, Slim Rice lebih mudah dikunyah berbanding nasi biasa serta dapat memperdaya otak untuk berfikir bahawa seseorang itu telah memakan nasi dengan banyak. Satu hidangan dapat mewujudkan rasa kenyang sehingga empat jam.

Rangkaian produk Slim lain termasuklah Slim Pasta dan Slim Noodles yang tidak berperisa dan boleh ditambahkan dengan pilihan sos masing-masing. Slim Rice dibuat oleh syarikat Eat Water dan boleh diperoleh di Holland & Barrett serta kedai makanan bebas pada harga 2.55 pound (RM12.40) untuk satu peket. Namun, Tam Fry daripada Forum Obesiti Kebangsaan berkata, produk konjac memberi kesan sampingan kerana ia hanya akan menyebabkan seseorang itu kenyang, tetapi tidak membawa khasiat. - AGENSI





P/S - Gambar sekadar hiasan






.

Lelaki Saman Masjid Kerana Guna Pembesar Suara Untuk Ceramah dan Bacaan Al-Quran sebelum Azan


Seorang lelaki nyaris diamuk para penduduk kampung apabila beliau keberatan menarik balik samannya terhadap pihak berkuasa berhubung penggunaan pembesar suara oleh sebuah masjid di kampungnya, di Aceh. Sikap Sayed Hasan, 75, yang juga keberatan untuk memohon maaf atas tindakannya itu, turut menyebabkan para penduduk kampung mengancam untuk mengusirnya dari kampung itu jika beliau berkeras dengan keputusannya. Peristiwa itu berlaku di dewan orang ramai Desa Gampong Jawa, di daerah kecil Kuta Raja, Banda Aceh pada Jumaat, semasa satu pertemuan di antara lelaki itu dengan para pemimpin tempatan, lapor agensi berita Antara. Pertemuan yang dihadiri Timbalan Datuk Bandar Kota Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal serta Ketua Majlis Pemesyuaratan Umala (MPU), Setiausaha Daerah dan para pegawai pentadbiran kampung di kawasan kompleks Masjid al-Muchsinin itu, dikawal anggota polis dan tentera serta anggota penguatkuasa kerajaan tempatan.

Illiza berkata Sayed Hasan menyaman Ketua Pejabat Kementerian Agama Banda Aceh (defendan pertama), Ketua MPU Aceh (defendan kedua), Ketua MPU Banda Aceh (defendan ketiga), Ketua Undang-undang Syariah Islam (defendan keempat), Ketua Kampung Gampong Jawa (defendan kelima), Imam Masjid (defendan keenam) dan Ketua Pengurus masjid (defendan ketujuh). "Dalam pertemuan tadi Sayed Hasan telah menyatakan akan menarik balik samannya di Mahkamah Daerah Banda Aceh dan pengakuan itu dibuktikan dengan surat pernyataan bertandatangan beliau (Sayed Hasan).

Beliau juga telah meminta maaf kepada penduduk," katanya. Illiza berkata penduduk Gampong Jawa sangat marah kepada Sayed Hasan yang menyaman pihak berkuasa berhubung penggunaan pembesar suara oleh Masjid al-Muchsinin untuk mengumandangkan ceramah atau bacaan al-Quran selama 30 minit sebelum azan maghrib dan sebelum azan subuh. "Ini kes pertama di Aceh dan anehnya rumah penuntut saman itu jauh dari masjid al-Muchsinin," katanya. Kes saman alat pembesar suara masjid itu dibicarakan di Mahkamah Daerah Banda Aceh sejak 11 Februari lalu. Pihak yang menyaman itu juga dilaporkan keberatan dengan tindakan penduduk menggunakan pembesar suara pada acara tadarus al-Quran di bulan Ramadan. BERNAMA





.

Pelakon itu ditemui mati dalam keadaan mengerikan


SEORANG pelakon yang pernah mengecapi populariti lebih sedekad lalu, ditemui mati pada Mac tahun lalu dalam keadaan mengerikan. Mayat Gemma McCluskie ditemukan terapung tanpa kedua-dua tangan dan kaki serta kepala di sebuah terusan di timur London. Penemuan tersebut adalah hasil operasi mencari yang dilakukan oleh pihak polis selepas kes kehilangan wanita berusia 29 tahun itu dilaporkan. Seminggu kemudian, kedua-dua belah tangan dan kakinya dijumpai di dalam sebuah beg hitam. Tengkorak mangsa pula hanya ditemukan enam bulan selepas itu di dalam air di terusan berkenaan. Selepas siasatan dijalankan, apa yang mengejutkan adalah perbuatan kejam itu dilakukan oleh abang Gemma sendiri, Tony McCluskie, 36.

Selepas 10 bulan kematian mangsa dalam keadaan ngeri, Tony menerima pembalasan dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh adik perempuannya itu. Tony didapati bersalah dengan majoriti 11-1 selepas dibicarakan di Old Bailey di London. Dengan keputusan itu, dia bakal meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 20 tahun. Bunyi esakan dan tangisan kedengaran sewaktu hukuman itu dijatuhkan, namun Tony yang berdiri di kandang pesalah tidak menunjukkan sebarang emosi. Semasa perbicaraan, Tony yang bekerja sebagai pencuci tingkap bangunan pencakar langit dan penagih tegar mendakwa dia hilang kawalan selepas dimaki oleh adiknya itu. Katanya, perkara terakhir yang diingatinya adalah adiknya datang menghampirinya dengan memegang sebilah pisau.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menyatakan, dia membunuh adiknya selepas Gemma hilang sabar terhadapnya dan mendesaknya keluar dari flat tempat tinggal mereka berdua di Pelter Street, Shoreditch, timur London. Dalam kejadian itu, Gemma dibunuh selepas dipukul di kepala sekurang-kurangnya dua kali. Mayatnya kemudian dikerat enam dengan menggunakan dua bilah pisau termasuk sebilah pisau pemotong daging sebelum dibuang secara berasingan di terusan Regent. Keesokan harinya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Tony dilihat mengheret sebuah beg pakaian untuk dimasukkan ke dalam sebuah teksi. Apabila pemandu teksi bertanya apa kandungan beg itu, dia berkata, ''Adik perempuan saya''. Dia kali terakhir dilihat membawa beg itu ke arah terusan berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim yang mendengar kes itu memberitahu, Tony bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan kejam tersebut akibat didorong rasa ketagihan dadah dan iri hati atas populariti serta kejayaan adiknya. Hakim tersebut memberitahu, jenayah yang dilakukan oleh tertuduh adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan apa yang menjadikan kes itu lebih dahsyat adalah cubaan Tony untuk menyembunyikan mayat mangsa, selain menyalahkan orang sekelilingnya. Gemma yang meraih populariti ketika berlakon sebagai Kerry Skinner dalam drama, EastEnders di rangkaian televisyen BBC pada 2001 ketika berusia 17 tahun, kali terakhir dilihat menghadiri majlis perasmian Hospital Diraja London di Whitechapel, timur London. Ketika berita kehilangan Gemma tersebar, Tony turut menyertai rakan-rakannya dalam operasi mencari mangsa.

Rakan Gemma, Nicole McLaren berkata, jelas dalam ingatannya dia mendakap Tony kerana berasa sedih terhadapnya ketika mereka bersama-sama mencari wanita tersebut. Peguam Diraja, Crispin Aylett yang mengendalikan kes pendakwaan itu berkata, Tony membuatkan pihak polis melakukan kerja sia-sia mencari mangsa yang dilaporkan hilang. Menurut Aylett, sebenarnya terdapat ketegangan hubungan antara Gemma dan abangnya. Malah wanita itu pernah memberitahu seorang rakannya bahawa Tony sentiasa di bawah pengaruh dadah. ''Dia mengambil dadah seawal waktu pagi dan tidak tahu apa yang dilakukannya,'' kata Aylett.

Menceritakan rentetan kes itu, Aylett berkata, pada 1 Mac tahun lalu, Gemma sejurus sampai ke rumah mendapati abangnya telah membiarkan air paip mengalir tanpa ditutup sehingga melimpah membasahi lantai. Tidak tahan dengan sikap abangnya itu, Gemma mendesak Tony berpindah dari rumah tersebut menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati, lalu mengambil tindakan yang menyalahi akal fikiran yang waras. -DailyStar






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!