Sunday, March 3, 2013

Ini penemuan yang menakjubkan


Sekumpulan penyelidik yang melakukan ekspedisi selama 40 hari untuk mencari serpihan tahi bintang dilaporkan telah menemui meteorit terbesar seberat 18 kilogram (kg) di Antartika pada akhir Januari lalu. Ahli geologi dari Universiti Libre de Bruxelles, Vinciane Debaille yang mengetuai kajian itu memberitahu mereka sangat teruja dengan penemuan tersebut. "Ia adalah meteorit terbesar yang pernah ditemui di Antartika Timur dalam tempoh 25 tahun. Saiznya yang agak besar membolehkan ia dilihat dengan mudah dari jarak 50 kilometer. Tujuan kami mengkaji batu ini adalah untuk memahami bagaimana bumi terbentuk dan berkembang di dalam sistem suria," jelasnya.


Sehingga kini, kumpulan terdiri daripada lapan penyelidik dari beberapa universiti termasuk Jepun yang melakukan kajian di bawah Projek Samba tersebut sudah menemui 425 serpihan tahi bintang dengan jumlah berat keseluruhan 75 kg. Tahi bintang gergasi itu kini berada di Jepun untuk melalui proses pencairan khas sebelum dikaji dengan lebih mendalam. Bagaimanapun, Khamis lalu, International Polar Foundation berpusat di Brussels memaklumkan serpihan tahi bintang itu ialah kondrit biasa (mengandungi bahan silika). - MailOnline






.

Khabar terkini mengenai Pelakon kacak, Jericho Rosales


Pelakon kacak lagi versatil, Jericho Rosales, bukan satu nama asing bagi peminat-peminat Malaysia terutamanya mereka yang meminati drama-drama bersiri Filipina. Paling memberi impak ialah kemunculannya menerusi drama fenomena Pangako Sa 'Yo dan Sana'y Wala Nang Wakas yang mana mengandingkan dia dengan aktres cantik Kristine Hermosa. Ketika itu mereka diberi jolokan Pasangan Paling Ideal Asean sehingga ada peminat yang menyangka mereka betul-betul pasangan kekasih sebenar.

Hampir 13 tahun berlalu (sewaktu itu Jericho berusia 22 tahun), atas permintaan ramai, drama Pangako Sa'Yo bersiaran semula di saluran Astro Bella (133). Sempena ulang tahun pertama Astro Bella, pemilik nama sebenar Jericho Vibar Rosales ini diterbangkan khas ke sini bagi bertemu peminat-peminatnya. Ikuti perbualan kami bersama jejaka pujaan ramai ini mengenai perkembangan terbaru, kekasih hati juga Jericho mendedahkan dia pernah berasa tertekan sehingga membuatkan dia bertindak mengurung diri dalam tempoh yang lama.

Bila kali terakhir anda berkunjung ke Malaysia?
Saya memang lemah bab mengingati tarikh. Tapi kalau tidak silap, kali terakhir saya datang pada tahun 2010. Sewaktu tu saya datang sebagai duta dan mempromosikan produk kolon menggunakan nama saya Jericho Collone.

Selalu juga anda ke sini bukan?
Setiap kali datang, apa yang anda paling suka? Malaysia sudah seperti rumah kedua saya. Saya suka makanan di sini. Saya suka nasi lemak, saya suka makanan yang berkari. Setiap kali datang ke sini, saya rasa tidak jauh beza dengan suasana di Filipina. Peminat-peminat saya di sini juga ramai dan mereka sangat memberi sokongan kepada saya.


Anda masih berhubung dengan Kristine?
Hmm... dah jarang. Dia pun sekarang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Saya tak mahu mengganggu dia dan keluarganya. Tak mahu buat kacau (senyum).

Ada perancangan untuk kembali berlakon bersamanya pada masa akan datang?
 Tak mustahil untuk kami akan bergandingan semula pada masa akan datang. Tapi saya harap kemunculan kami berdua tu nanti biarlah nampak berbeza daripada apa yang kami pernah buat (berlakon) bersama dahulu. Sebab saya dan Kristine dah banyak berlakon bersama. Untuk kali ini mungkin jalan ceritanya lebih matang dan berlainan daripada yang pernah kami lakonkan.

Sepanjang hampir 17 tahun bergelar anak seni, selain berlakon anda juga seorang penyanyi. Mungkin boleh kongsi sedikit mengenai pengalaman sepanjang karier anda sehingga kini. Ada pengalaman pahit atau manis yang pernah dilalui?
Ya, ia berlaku kira lapan tahun lalu. Satu pengalaman yang memang tak akan saya lupakan. Sebenar saya juga minat muzik. Jadi ketika itu saya membuat keputusan yang besar dalam hidup saya, saya berhenti berlakon kerana mahu menumpukan perhatian sebagai penyanyi. Tapi malangnya peminat tak suka saya berhenti berlakon, mereka marah dan kecewa bila saya tidak lagi muncul di televisyen atau filem.

Apa yang terjadi pada anda sebenarnya?
Saya mula rasa tertekan. Saya hanya berkurung dalam bilik. Walaupun saya berasa tertekan tapi masa saya banyak dihabiskan dengan mencipta lirik lagu dan tidur. Selama setahun saya begitu. Tapi apabila saya mula memperdengarkan lagu saya kepada umum, ramai yang suka dan peminat juga kembali mula memberi sokong kepada saya. Jadi ianya menyuntik semangat saya untuk meneruskan karier nyanyian. Saya mula tampil dengan band. Peminat kembali gembira. Kemudian demi tidak mahu menghampakan peminat, saya kembali kepada dunia lakonan.

Mana satu yang paling anda akan pilih, berlakon atau menyanyi?
Sangat sukar untuk saya buat pilihan. Sebab kedua-duanya, berlakon dan menyanyi sudah menjadi darah daging saya. Tapi seandainya saya dipaksa memilih, emm.... saya akan pilih untuk menceburi dunia muzikal. Kerana dengan itu saja setidak-tidaknya saya tetap masih boleh berlakon dan sambil itu, menyanyi.


Anda bermain alat muzik?
Yup. Saya main gitar dan kini saya belajar main piano. Saya akan muncul dengan projek terbaru saya bersama band.

Anda mempunyai band?
Err... ada tapi 'pinjam'. Buat masa ini saya pinjam band kawan saya. Band tu namanya Salamin.

Khabarnya anda akan berlakon di bawah produksi Malaysia dan akan digandingkan dengan aktor popular di sini, betul?
Ya, saya ada mendapat tawaran daripada pihak Astro untuk menjalani penggambaran drama bersiri.

Boleh kongsi siapakah pelakon lelaki itu?
Hahaha... kemungkinan saya boleh dipecat kalau saya beritahu anda. Tapi saya difahamkan individu itu adalah pelakon yang popular.

Adakah dia Aaron Aziz?
Emm... Saya tak tahu nama dia. Mungkin projek itu akan bermula pada sekitar penghujung tahun ini. Lagipun saya perlu menyelesaikan beberapa projek di bawah produksi saya sendiri Ten Again Production dan juga penggambaran drama bersiri di Manila.

Diusia 33 tahun, apa lagi impian dalam dunia seni yang anda yang belum capai atau teringin nak lakukan?
Salah satu impian saya, saya mahu karier saya bertapak di Hollywood. Bukan sebab nak popular. Memang sebelum ini saya ada melibatkan diri dengan projek indie d Hollywood. Tapi saya teringin nak bekerja dengan pengarah-pengarah hebat di sana seperti Quentin Tarantino. Saya nak rasa pengalaman berkerja dibawah produksi besar, buat projek filem yang bagus. Teringin juga nak berlakon cerita ala Pirates Of Carribbien. Mungkin juga genre penggembaraan, drama atau komedi romantik. Itu saya kira kejayaan yang paling tinggi kalau saya dapat realisasikan.

Apa perkara paling indah dan paling teruk selama bergelar seorang yang popular?
Paling best, bila dapat ramai kawan, pakir percuma, makanan percuma. Tak best bila orang menilai kita. Tapi saya terima semua itu, kerana pernilaian mereka sangat bermakna pada kerjaya saya. Privasi? Emmm... itu harga yang perlu dibayar sebagai seorang artis. Saya okay saja.

Sejauh mana perhubungan anda dengan pelakon Malaysia, Carmen Soo?
Kami kawan. Kami kawan baik. Saya akan jumpa dia esok (hari ini). Saya kenal Carmen sejak kami sama-sama berlakon drama bersiri Kahit Isang Saglit (Time For Us) empat tahun lalu. Dia satu-satunya kawan artis Malaysia yang saya kenal. Tapi saya harap selepas ini saya dapat ramai lagi kawan di kalangan artis di sini.

Bagaimana pula hubungan dengan teman wanita anda sekarang, Kim Jones. Ada perancangan nak kahwin? 
Ya! Oh, anda tahu tentang teman wanita saya, ya? Saya dan Kim okay. Kami belum terfikir lagi untuk berkahwin. Hubungan kami sangat baik dan indah. Dia sebagai pengacara TV, saya pula sebagai pelakon. Dia sangat baik, merendah diri, peramah. Kami dah setahun lebih berkenalan.

Bagaimana kalian bertemu? 
Dia lahir di United Kingdom. Umur dia 25 tahun. Dia kacukan Australia-Cina-Filipina. Dia balik ke Filipina untuk bertemu dengan keluarga dan saudara mara. Kemudian dia memulakan kerjaya sebagai hos TV. Kami diperkenalkan oleh kawan. Ketika itu di satu majlis. Kami berbual dan mula kenal antara satu sama lain. Seperkara yang lucu, loghat Australia dia terlalu pekat jadi ada sesetengah perkataan yang saya tak faham apa yang dia cakap, tapi saya pura-pura faham (gelak).

Ada target bila nak kahwin? 
Tak. Belum sampai seru lagi.

 Okay. Itu saja, terima kasih. 
Sama-sama.




-MD





.

Shilla Amzah : Gambar saya dimanipulasi


Penyanyi Shila Amzah, 23, mengakui kesal dengan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang telah mencuri dan memanipulasi gambar miliknya melalui akaun palsu Instagram. Menurut Shila, dia akan mengambil tindakan jika perkara tersebut terus berlanjutan sehingga menjejaskan kredibilitinya sebagai artis dan duta kepada program IM4U. "Saya sangat sedih melihat perkara itu apabila gambar saya yang di muat naik di Instagram di curi oleh pemilik akaun palsu yang menggunakan identiti saya. "Mereka menulis kata-kata yang tidak sepatutnya tentang 1 Malaysia sedangkan saya adalah duta kepada program kerajaan IM4U," katanya kepada media, baru-baru ini.

Shila berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau mengkritik produk yang dilabelkan sebagai barangan 1 Malaysia dan penyanyi ini turut difitnah cuba mempersendakan slogan ’1 Malaysia’ yang selama ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia.Shila turut mengesa agar individu yang tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan tersebut sebelum menjadi lebih serius. "Perkara ini jika tidak dikawal selia akan jadi lebih serius, saya harap individu tersebut hentikan perbuatan tidak berfaedah ini," ujarnya. Jelasnya, tujuan sebenar gambar itu dimuat naik ke akaun Instagram miliknya adalah hanya untuk berkongsi bersama peminat yang sentiasa ingin mengetahui perkembangan dan aktiviti sehariannya.

"Saya memang sering muat naik gambar-gambar terkini dan tidak sangka akan dicuri dan dimanipulasi. Apa yang pasti peminat saya tahu itu bukan akaun saya dan orang ramai pasti dapat menilai sendiri mana yang benar dan salah," katanya. Dalam perkembangan lain, Shila sekeluarga yang akan berangkat ke tanah suci Mekah selama dua minggu bagi menjalani ibadah umrah pada 6 Mac ini berharap dapat melalui segala dugaan dan kontroversi yang menimpa dia dan keluarga dengan tenang. -Mstar






.

Penduduk buru wanita murtad


Polis Mesir, semalam melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penduduk Islam yang mengadakan demonstrasi di luar sebuah gereja di selatan negara ini, selepas tersebar khabar angin menyatakan seorang wanita Islam yang memeluk agama Kristian sedang bersembunyi di gereja tersebut. Kejadian di luar sebuah gereja di Kom Ombo dekat Aswan, kira-kira 1,000 kilometer dari selatan Kaherah, merupakan kes terbaru menukar agama, yang mencetuskan ketegangan antara masyarakat Islam dan Kristian Qibti di negara ini. Sumber keselamatan berkata, polis mengambil tindakan tersebut selepas penunjuk perasaan bertindak membaling batu ke arah polis. Akhbar rasmi Al-Ahram dalam laman webnya melaporkan, polis juga tidak membenarkan penganut Kristian meninggalkan gereja itu bagi mengelak mereka bertempur dengan penduduk Islam yang mengadakan tunjuk perasaan. -AP






.

Perjalanan kerjaya Shilla Amzah yang cemerlang


Selepas menjuarai Asian Wave 2012, Shila Amzah, 23, sekali lagi bakal mencatat sejarah menjadi sebagai artis Malaysia pertama yang akan mengadakan persembahan di Lincoln Center, New York, Amerika Syarikat. Konsert yang akan berlangsung pada 30 Mac ini bakal membawa Shila bersama beberapa artis hebat negara China dalam konsert jelajah Amerika di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG). Bapa yang juga pengurus kepada penyanyi ini, ND Lala atau Amir Amzah Salleh, 52, berkata perancangan rapi telah diatur bagi membawa Shila ke peringkat antarabangsa sekaligus menjadikannya artis bertaraf Superstar.

"Tumpuan diberikan untuknya mempersiapkan diri bergelar superstar. Kita buat yang terbaik, Saya percaya dengan semangat dan jati diri yang ada dalam dirinya, dia boleh berjaya sekaligus mengharumkan nama Malaysia ke persada muzik dunia, "Banyak perancangan yang diatur selepas pulang dari menunaikan umrah dan Shila merupakan artis pertama yang menandatangani kontrak selama enam tahun bersama Shanghai Media Group (SMG). Shila juga telah dilantik sebagai Duta Persahabatan negara Malaysia dan China pada Januari lalu," katanya pada sidang media selepas majlis doa selamat sempena penubuhan Shila Entertainment Berhad, di kediamannya, Jumaat. Syarikat tersebut bertindak menguruskan perjalanan kerjayanya di Malaysia, di Hong Kong dan Los Angeles.

Tambah ND Lala, Shila akan menetap di Shanghai selama enam bulan bagi membolehkannya menguasai bahasa Mandarin dan mengikuti segala aktiviti yang telah disusun oleh pihak pengurusan di sana. "Bermula April depan Shila akan menetap di Shanghai yang akan ditemani ibunya. Dia melakukan proses rakaman album Mandarin dan membuat persembahan di sana. Di samping itu Shila juga perlu menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik," ujarnya. Sementara itu, Pengurus Besar Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (PRISM), Ong Peng Chu yang turut bertindak membantu menguruskan kerjaya Shila bersama SMG berkata perancangan yang dibuat mampu mengangkat nama Shila sebaris dengan artis popular Asia.

"Saya percaya, selepas setahun nanti tidak mustahil Shila akan menjadi artis yang namanya melebihi artis hebat seperti Tata Young. Malah saya difahamkan orang-orang di negara China sangat mengangumi cara dan gaya Shila membawakan lagu-lagu Mandarin. Dia seorang yang sangat unik dan luar biasa", "Selama 3 minggu kami akan berada di Amerika Syarikat. Selain konsert jelajah, Shila juga berpeluang berkolaborasi dengan artis popular Hollywood," katanya. Dalam perkembangan lain, bagi peminat-peminatnya di Malaysia, Shila memaklumkan dia bakal melancarkan album terbarunya pada Mei depan. -Mstar






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!