Saturday, April 27, 2013

Penemuan baru mengejutkan, dari bahagian pesawat yang melanggar bangunan World Trade Centre


Pihak polis New York mengesahkan, telah menemui potongan logam yang disyaki bahagian roda pendaratan pesawat yang melanggar bangunan World Trade Center pada 11 September 2001. Potongan logam itu ditemukan secara tidak sengaja oleh sepasukan juruukur pada Rabu (24/04) di celah dua bangunan bertingkat di New York. Pada potongan logam yang berukuran sekitar 1.52 meter itu terdapat tulisan Boeing serta nombor sirinya, kata polis. "Ini adalah bukti kongkrit dari aksi teroris yang mengerikan, satu setengah blok dari tempat kita berdiri sekarang," kata Ketua Polis New York, Ray Kelly, kepada wartawan, di dekat lokasi penemuan. "Penemuan potongan pesawat ini membawa kembali kenangan buruk kepada siapa saja yang ada di sini, yang terlibat dalam peristiwa itu."


Jasad manusia 


Lokasi penemuan potongan pesawat itu tidak jauh dari bangunan yang dulu diusulkan untuk dibangunkan sebuah masjid, serta tidak jauh dari "Ground Zero", bekas lokasi berdirinya dua bangunan berkembar. Pihak polis New York akan meneruskan pencarian di sekitar lokasi penemuan untuk memastikan apakah ada sisa-sisa jasad manusia. Walaupun bekas-bekas runtuhan bangunan menara kembar telah dibersihkan pada 2002, potongan-potongan pesawat serta bekas-bekas runtuhan masih ditemukan di sekitar tempat itu pada tahun-tahun berikutnya. Hampir 3000 orang terkorban dalam serangan pengganas dengan menggunakan pesawat terbang di tiga tempat iaitu di New York, Washington dan Pennsylvania. Lima orang anggota organisasi Al-Qaeda saat ini sedang menunggu dibicarakan di mahkamah ketenteraan AS. -AP





.

Kemalangan ngeri menjelang pilihan raya


Hasrat seorang pemuda berusia 21 tahun yang melakukan kerja sukarela menggantung bendera parti politik disokongnya bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), berakhir dengan tragedi apabila mangsa terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 10.45 malam kelmarin. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Lunas menuju ke Batu 6 dan ketika kemalangan berlaku. Menurutnya, kali ini merupakan PRU pertama bagi mangsa untuk menunaikan kewajipannya sebagai pengundi. “Mangsa dipercayai ke Lunas untuk menghantar seorang rakan setelah selesai bermesyuarat tentang penugasan menggantung bendera parti politik disertai mereka.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengelak lori muatan 10 tan yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh belakang sebelah kanan lori terlibat. "Akibat rempuhan kuat, mangsa terperosok di bawah lori sebelum terhumban ke tepi jalan. Mangsa cedera parah di kepala maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” katanya. Menurut Ghuzlan, lori terlibat ditahan sebelum dihantar ke Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) untuk menjalani pemeriksaan lanjut, selain kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut. Katanya jika sabit kesalahan, pemandu lori berkenaan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.

Katanya lagi, dari siasatan awal dijalankan, polis mendapati lori itu tidak diletakkan sebarang papan tanda kecemasan atau amaran selain menyalakan lampu kecemasan di belakang lori untuk memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka kerana kawasan itu gelap. “Sepanjang bulan April, sembilan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dilaporkan berlaku di Kulim. Saya menasihatkan kepada semua pemandu kenderaan berat supaya lebih bertanggungjawab ketika meletakkan kenderaan mereka. "Sekiranya berlaku kerosakan, pemandu seharusnya meletakkan papan tanda amaran atau memasang lampu kecemasan untuk memastikan kenderaan lain dapat melihatnya.

Kecuaian pemandu berbuat demikian boleh mengakibatkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya. Sementara itu, pemandu lori terlibat ketika ditemui berkata, dia membawa muatan kain dari Kemunting ke Kulim, sebelum kira-kira jam 7 petang, lori yang dipandunya rosak dan diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya. Kira-kira jam 10.30 malam dia menerima panggilan telefon daripada adiknya menyatakan mangsa telah merempuh bahagian belakang lori. -SH






.

Info : Twitter ada sesuatu yang baru!!



Laman sosial Twitter melancarkan khidmat Twitter Music yang membolehkan penggunanya berkongsi pelbagai lagu popular terkini. "Kami menawarkan perkhidmatan baru yang boleh memberi peluang kepada pengguna Twitter untuk lebih mengenali muzik dan mendapat pelbagai inspirasi daripada medium tersebut. "Perkhidmatan itu juga secara tidak langsung mendekatkan peminat dengan artis yang diminati apabila mereka boleh melihat pelbagai aktiviti selebriti kesayangan mereka," kata syarikat laman sosial itu di sini hari ini. - AFP





.

Dia berjaya menangkap ikan yang dikatakan paling besar..


Seorang pemancing amatur, David Griffiths, berjaya menangkap seekor ikan pari seberat 108 kilogram di perairan Scotland, baru-baru ini, dipercayai ikan pari paling besar pernah ditangkap di United Kingdom. Bagaimanapun, penerbit buku berusia 47 tahun itu membuktikan dia memancing bukan untuk mencipta rekod atau mendapat pengiktirafan, apabila bertindak melepaskan semula ikan itu ke dalam laut selepas mengambil gambarnya. Griffiths berkata, dia mengambil masa selama 90 minit untuk menaikkan ikan sepanjang 2.3 meter dan 1.8 meter lebar itu dari laut sedalam 152 meter.

"Ikan seperti ini boleh menyebabkan anda tercampak keluar dari bot. Selepas pulang dari memancing, seluruh badan saya berasa sakit," katanya. Dia juga tidak tahu ikan pari itu merupakan yang terbesar pernah ditangkap di Britain, sehinggalah pemilik bot yang disewanya, Ronnie mengeluarkan pita ukuran serta menyatakan ia merupakan rekod terbaharu di negara ini. Menurutnya, dia menggunakan umpan ikan kembung dan sotong ketika memancing selama enam hari bersama anak lelakinya Will, yang berusia 12 tahun.


Bagaimanapun, rekod tangkapan tersebut tidak boleh diiktiraf secara rasmi kerana ikan itu tidak ditimbang di tebing atau pelabuhan seperti yang disyaratkan. Rekod bagi tangkapan ikan pari terbesar di Britain dicatatkan pada 1986 dengan berat hanya 3.6 kilogram. Griffiths bagaimanapun disambut dengan upacara meriah oleh penduduk tempatan selepas dia kembali di pelabuhan setelah enam hari mengikuti ekspedisi memancing itu. - AGENSI





.

Anne Ngasri hamil anak keempat


Walaupun sedang hamil tiga bulan, pelakon Anne Ngasri tetap menemani suaminya, Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 29, berkata, setiap Jumaat hingga Ahad dia dan suaminya akan ke Pontian, Johor untuk membantu calon di kawasan tersebut memperkukuhkan kempen bagi kemenangan Barisan Nasional (BN). "Keadaan saya yang hamil tidak menghalang untuk saya menemani suami berkempen malah saya cukup bersemangat. "Bagaimanapun bukan setiap hari saya keluar berkempen tetapi mengikut kesesuaian dalam keadaan berbadan dua. Namun peluang turun berkempen cukup menyeronokkan," jelasnya.

Dalam pada itu, Anne berkata, pengalaman pertama turun padang membantu calon PRU-13 bagi Parlimen Pontian iaitu Datuk Ahmad Maslan sangat berharga buatnya.Jelas Anne, dia tidak berasa kekok menyertai aktiviti itu kerana dia sendiri adalah seorang ahli Umno. Sementara itu, Anne berkata, selepas ini dia akan mengurangkan aktiviti seni sehingga dijangka bersalin pada September depan. Kandungannya kali ini tidak mempunyai sebarang masalah dan pengalaman melahirkan tiga cahaya mata sebelum ini banyak membantu Anne mengawal situasi.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan peluang ini saya akan gunakan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan Insya-Allah saya akan kembali aktif selepas bersalin kelak," katanya. Anne dan Sumali mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 22 Disember 2012. Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 4, dan Nazharah Afrozah yang kini berusia tiga tahun. Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim, 8, hasil perkahwinan terdahulunya. -Mstar




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!