Monday, July 1, 2013

Bunuh diri selepas bunuh keluarga sendiri


Bunuh diri selepas bunuh keluarga sendiri | Seorang lelaki di utara China membunuh empat ahli keluarga termasuk seorang cucu lelaki berusia 7 tahun sebelum membunuh diri dalam pertelingkahan dengan bekas menantu. Seorang lelaki yang berusia 60 tahun dan dikenali dengan nama Zhao dikatakan pergi ke rumah bekas menantu yang bernama Zan, petang semalam. Menurut laporan agensi berita Xinhua, Zhoa kemudian bertindak membunuh Zan dan isterinya, menantu perempuan bersama cucunya dengan sebilah tukul dan pisau pemotong. - AFP





.

Ganjaran buat pemberi maklumat mengenai rasuah


Ganjaran buat pemberi maklumat mengenai rasuah | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan ganjaran kerana memberi maklumat mengenai penawaran, pemberian atau penerimaan rasuah hanya diberikan kepada penjawat awam. "Pengiktirafan itu diberi kepada mana-mana penjawat awam yang melaporkan mengenai penawaran atau pemberian rasuah untuk meningkatkan, menggalakkan dan sebagai motivasi kepada mereka mengikut garis panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara berkuatkuasa 1 Jun 2011," demikian menurut kenyataan SPRM Kedah kepada Bernama berhubung laporan akhbar mengenai perkara itu Khamis lepas.

Menurut kenyataan itu pengiktirafan itu hanya diguna pakai untuk penjawat awam sahaja dan peruntukan kepada orang awam tidak termasuk dalam garis panduan ini. Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan ganjaran untuk orang awam yang melapor atau memberi maklumat mengenai rasuah kepada agensi itu. Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) SPRM Kedah Yusof Shamsudin bahawa pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat menggalakkan orang ramai dan penjawat awam tampil menyalurkan maklumat kepada SPRM. - Bernama






.

Benarkah Nelydia, Qi Razali hadiri kursus kahwin?


Benarkah Nelydia, Qi Razali hadiri kursus kahwin? | HUBUNGAN Nelydia Senrose dan Qi Razali bukan lagi satu rahsia dan keduanya mengakui merancang untuk membawa hubungan tersebut ke gerbang perkahwinan. Bagaimanapun, timbul desas-desus yang mengatakan Nelydia dan Qi sudah menghadiri kursus perkahwinan setelah sekeping gambar menunjukkan Qi yang bersongkok dan Nelydia bertudung manis. Menerusi akhbar tempatan, Nelydia tampil menjelaskan supaya tiada salah faham berlaku akibat gambar yang dimuat naik di Instagram itu. “Gambar tersebut tiada kena mengena dengan kursus kahwin. Sebenarnya kami perlu berpakaian sopan ketika di undang untuk program Akustika Ramadan Raya TV3,” jelasnya. -SH




.

Lelaki maut dipukul angkara ada hubungan sulit dengan isteri orang


Lelaki maut dipukul angkara ada hubungan sulit dengan isteri orang | Gara-gara disyaki menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, seorang peniaga sayur maut selepas dirempuh dengan motosikal dan dibelasah suami wanita itu di Kampung Pasir Minal, Kemaman, baru-baru ini. Mangsa yang berusia 61 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira pukul 11 malam kelmarin akibat kecederaan parah di kepala. Sebelum itu dalam kejadian Selasa lalu, mangsa yang cedera parah akibat dilanggar dan dipukul suspek berusia 43 tahun dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, berdasarkan laporan anak saudara mangsa berusia 22 tahun, pada pukul 5 pagi hari kejadian dia terdengar jeritan mangsa meminta tolong dari luar rumah ketika tidur di rumahnya yang terletak berdekatan.

Katanya, pengadu kemudian ternampak suspek yang juga jiran mereka sedang menunggang motosikal mengejar bapa saudaranya sebelum melanggar mangsa dan memukul kepalanya dengan topi keledar sehingga tidak sedarkan diri. "Selepas kejadian menimpa bapa saudaranya, pengadu membawa mangsa dengan kereta ke Hospital Kemaman sebelum dipindahkan ke HSNZ kerana kecederaan serius di kepala, bagaimanapun mangsa meninggal dunia kelmarin. "Siasatan polis turut menemukan sebuah motosikal yang bahagian depannya terdapat kesan terbakar serta topi keledar tidak jauh dari tempat kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Berikutan kejadian itu, katanya, suspek bertindak melarikan diri ke Kuala Lumpur dan hasil siasatan maklumat saksi, suspek bersama seorang rakannya diberkas di terminal bas Hentian Putra di ibu negara pukul 7 malam kelmarin. "Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam hingga 5 Julai ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati," katanya. Manoharan berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati motif kejadian disebabkan suspek, seorang penganggur dan berasal dari kampung yang sama mengesyaki mangsa menjalin hubungan sulit dengan isterinya. -utusan




.

Detik 12.20 yang sangat misteri. Umpama berulang


Detik 12.20 yang sangat misteri. Umpama berulang | Detik 12.20 tengah hari seumpama menjadi satu misteri apabila dua kemalangan maut berlaku pada waktu itu, di kawasan sama pada hari berbeza. Dalam kejadian terkini, seorang lelaki maut manakala seorang parah apabila motosikal yang mereka naiki terbabas di Kilometer (KM) 257.7 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 12.20 tengah hari dan penunggang motosikal, Haidir Bakar, 20 maut di tempat kejadian. Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala setelah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya terbabas ke kiri jalan dan turut menyebabkan pembonceng motosikal terbabit, Mohd Fikri Mad Said, 21 parah.

 "Hasil siasatan, polis mendapati mangsa merupakan seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan semasa kejadian dia dalam perjalanan dari Ipoh ke Bagan Serai. Pembonceng yang cedera parah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan. "Mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan menetap di Parit Gabis, Bagan Serai, Perak tidak dapat mengawal kenderaan sewaktu tiba di tempat kejadian dan telah terbabas ke kiri jalan," katanya. Abdul Gaffar berkata, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kes sebelum ini, seorang lelaki, Su Wai a/l Nai Perm, 33 maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke sebelah kiri jalan di KM 258 Lebuhraya Utara-Selatan, Rabu lalu. Perkara yang menghairankan adalah waktu kejadian dan kawasan adalah sama dengan kejadian kelmarin dan kedua-dua mangsa terbabit disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala. Kedua-dua mangsa merupakan penunggang motosikal dan membawa pembonceng pada masa kejadian. -SH





.

Keputusan penuh Final Piala konfederasi 2013 Brazil Vs Spain



Piala Konfederasi FIFA 2013 diadakan di Brazil pada tahun 2013 sebagai sebuah permulaan kepada kejohanan Piala Dunia FIFA 2014. Kejohanan ini bermula dari 16 hingga 1 Julai 2013. Brazil adalah juara bertahan.

Brazil mempertahankan kejuaraan dengan jaringan 3-0, yang menyaksikan persembahan menarik daripada pasukan yang bergelar 'samba' itu. Melihat corak permainan yang dipersembahkan, tidak keterlaluan dikatakan Brazil seolah-olah mula memberi amaran kepada Spain, yang mereka akan menjadi pencabar hebat untuk menjuarai piala dunia yang akan diadakan juga di Brazil pada tahun depan.

Gol pertama dijaringkan oleh Fred seawal minit kedua. Dan selepas itu Neymar menambah lagi untuk gol kedua. Bermula masa kedua, Fred menjaringkan gol kedua untuk dirinya dan juga gol ketiga untuk Brazil. Bagaikan hilang punca, skuad Spain diaibkan apabila Sergio Ramos gagal menjaringkan gol ketika dihadiahkan sepakan penalti. Gerard Pique menambah sengsara Spain apabila pengadil memberi kad merah sekaligus Spain kurang seorang pemain. Tahniah Brazil. Tahniah penyokong samba...




P/S - Diulas oleh lulu (^___^)v





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!