Thursday, July 18, 2013

Taman air Legoland, tarikan terbaru di Legoland



Taman air Legoland, tarikan terbaru di Legoland |Legoland Malaysia Resort akan secara rasminya membuka Taman Air Legoland pada 21 Oktober tahun ini. Pengurus Besarnya, Siegfried Boerst berkata taman air yang kini 75 peratus siap, akan menarik lebih banyak pelancong tempatan dan antarabangsa. "Taman Air Legoland akan meningkatkan keseronokan kepada keluarga dengan anak-anak berusia 2-12 tahun. "Taman Air menawarkan lebih 20 gelongsor air dan lebih 70 model Lego di antara tarikannya," kata beliau di sidang media di sini hari ini. Antara yang paling menarik termasuk Build-A-Raft River dan Joker Soaker.

"Build-A-Raft River adalah konsep unik di mana kanak-kanak boleh membuat rakit mereka sendiri menggunakan kepingan Lego lembut dan Joker Soaker ialah platform interaktif dalam kolam cetek di mana kanak-kanak boleh bermain meriam air dihiburkan oleh model pelawak Lego sementara 77 liter air dicurahkan ke atas mereka," kata beliau. Taman air itu juga menampilkan dua restoran, pondok kabana untuk disewa dan kedai jualan runcit.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Legoland berkata ia akan menjadi Taman Air Legoland terbesar apabila ia dibuka nanti. Ia juga akan menjadi Legoland pertama yang mempunyai pintu pagar kedua. "Pintu pagar kedua itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati fasiliti di kedua-dua taman tema itu secara bersama atau berasingan," kata syarikat itu. Sejumlah terhad pas tahunan premium, yang sah untuk taman air dan taman tema itu, berharga RM395, untuk kegunaan 12 bulan, akan mula dijual awal bulan depan. -- BERNAMA





.

Buat Renungan : Bufet Ramadan hanya membazir


Buat Renungan : Bufet Ramadan hanya membazir | KETIBAAN Ramadan disambut meriah saban tahun, tidak kurang juga kemunculan pelbagai tawaran dan pakej untuk merancakkan lagi kedatangan bulan mulia ini. Namun, tinjauan Sinar Harian mendapati reaksi orang ramai kurang berpuas hati dengan bufet Ramadan yang disajikan di kebanyakan restoran dan hotel kerana disifatkan mahal serta mengundang pembaziran. Seorang penjawat awam, Nurdin Farhan, 29, berkata, bagi sesetengah orang berbuka puasa di hotel dan restoran mewah kebelakangan ini sudah menjadi budaya di bulan Ramadan yang kononnya adalah satu gaya hidup berprestij dan satu kemegahan. “Harga yang perlu dibayar untuk berbuka di tempat seperti ini memang mahal. Kalau tengok iklan bufet Ramadan harga paling murah ialah RM40 seorang, malah sesetengah hotel mengenakan RM120 seorang.

 “Jangan terlalu gembira dan mudah terpengaruh untuk berbuka puasa di hotel atau di restoran besar. Sebagai orang Islam yang prihatin, kita perlu bertanya kepada penganjur atau orang yang mengundang adakah hotel berkenan mempunyai sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?,” katanya. Dalam pada itu, Norkhairunnisa Din, 27, berkata, walau ada beratus juadah, saiz perut kita tetap sama. Biasanya setelah minum segelas air dan makan dua tiga keping kuih, tidak banyak lagi yang boleh kita makan. Paling-paling pun hanya sepinggan nasi, sepotong kambing panggang, seekor dua udang goreng. “Kalau dinilai makanan yang kita ambil lebih-lebih pun RM20 seorang. Kalau dibeli di gerai biasa mungkin tidak sampai RM10. Tidakkah satu pembaziran membayar RM100 hanya untuk sepinggan nasi dan sepotong daging? Tidakkah membazir itu sahabat iblis?,” katanya.

Seorang pekerja swasta Fauzi Ahmad, 25, berkata, biasanya pelawaan bufet Ramadan datangnya daripada rakan tempat bekerja untuk berbuka bersama. “Bagaimanapun, ia lebih kepada pembaziran berbanding kebaikan. “Tawaran pakej yang tinggi seolah-olah mendidik kita menjadi pelahap sedangkan selepas azan berkumandang makan sebiji kurma, sepinggan nasi berlauk dan segelas air sudah cukup mengenyangkan dan harganya biasanya tidak sampai RM5,” katanya. Sementara itu, seorang usahawan, Zulfadli Faiz, 28 pula berkata, tawaran pakej Bufet Ramadan hanya menguntungkan pihak hotel dan restoran sahaja dan merugikan pelanggan. “Kebanyakan pelanggan hanya memenuhkan pinggan supaya berbaloi dengan harga yang dibayar bagaimanapun tidak termakan makanan yang di ambil dan terbiar begitu sahaja.

“Itu sebab pihak hotel atau restoran sanggup buat bufet Ramadan ini kerana tahu mereka tidak akan rugi,” katanya. Seorang anggota keselamatan, Azlan Mohd Noor, 27, pula berkata, tiada manusia pun yang mampu untuk menghabiskan semua makanan yang dihidangkan dalam tempoh dua jam dan ini menjadi punca utama pembaziran. Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma’amor Osman mencadangkan agar pengusaha restoran dan hotel lebih menyantuni golongan anak yatim, orang tua dan kanak-kanak kurang bernasib baik bukan hanya sekadar mengaut untung semata-mata. “Tidak dapat dinafikan harga pakej yang ditawarkan Bufet Ramadan sangat tinggi, itu ialah sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan dan memanfaatkan peluang sedia ada.

Pengguna harus bijak memilih tawaran,” katanya. Ma’amor berkata, sepanjang Bufet Ramadan banyak menu enak dihidangkan oleh yang demikian, pengusaha sewajarnya menyajikan nilai tambah kepada setiap pelanggan yang mengunjungi premis mereka dengan mempamerkan jumlah kalori pada setiap makanan agar pemilihan makanan dapat dilakukan bagi mengelak penyakit. “Selain itu, diharapkan pengusaha supaya menyediakan panduan amalan pemakanan yang sihat dan betul kepada pelanggan,” katanya. Dari sisi positif pula, Malaysia sebagai destinasi kunjungan pelancong perlu memberi gambaran sebenar rakyat Malaysia sama ada Islam atau bukan Islam meraikan Ramadan dengan penuh kemeriahan. “Ini akan membawa budaya positif kepada pelancong luar di samping berpeluang menikmati makanan popular Malaysia yang sukar didapati melainkan pada bulan puasa dan musim perayaan.

“Dalam pada itu, bagi syarikat-syarikat besar inilah kesempatan mereka untuk berkongsi rezeki dengan meraikan pekerja, pelanggan dan juga anak yatim,” katanya. Sementara itu, pengguna seharusnya bertanggungjawab atas perbelanjaan sendiri dan tidak boleh mengharapkan pihak lain dengan mendakwa pengusaha restoran dan hotel cekik darah sedangkan pilihan itu ada di tangan mereka. “Hotel hanya menjalankan pakej berdasarkan tingkah laku konsumer bagaimanapun, perlu menitik beratkan penghayatan Ramadan dengan menghormati bulan mulia ini dengan memastikan taraf halal yang disahkan daripada Jakim, pakaian pengendali makanan tidak terlalu terdedah dan muzik yang bersesuaian dengan majlis. “Kepada pengguna adalah lebih baik berbuka puasa di rumah tetapi tidak ada salahnya untuk memilih berbuka puasa di restoran mewah ataupun hotel bersama keluarga sekali sekala janganlah selalu tanpa mengabaikan waktu solat,” katanya. -SH





.

Tips : Bagaimana mengawal lapar di bulan puasa



Tips : Bagaimana mengawal lapar di bulan puasa | Setiap Muslim percaya bulan Ramadan merupakan masa untuk kita menguji ketahanan, kemampuan diri serta belajar mengharungi cabaran-cabaran sewaktu berpuasa. Umat Islam bukan sahaja bertahan daripada makan, minum, merokok dan melakukan hubungan seks namun dilarang melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar. Bagi mereka yang baru belajar berpuasa, semestinya sukar untuk mereka mengawal lapar dan dahaga. Jadi, kami berikan 8 tips berguna kepada anda untuk mengawal rasa lapar sepanjang bulan mulia ini.

  • Alihkan perhatian. Sibukkan diri anda dengan pelbagai kerja untuk mengelakkan rasa lapar. 
  • Buatlah sesuatu yang anda suka seperti menelefon kawan dan sebagainya. Jika anda fokus terhadap sesuatu kerja, kelaparan yang dirasai pasti akan berkurang. 
  • Latihan kardiovaskular. Luangkan masa anda melakukan aktiviti kardiovaskular. Senaman yang ringan juga membantu mengurangkan rasa lapar. 
  • Rehat. Jika tidak berkesan, dapatkan rehat pada waktu petang. Rehat sekejap akan membuatkan fikiran anda cepat menerawang dan sedar tak sedar, sudah hampir masuk waktu untuk berbuka. 
  • Dapatkan tidur yang cukup juga boleh menurunkan paras ghrelin dalam badan. 
  • Kawal pengambilan makanan. Ketika waktu sahur, jangan terus menelan makanan anda, makan terlalu cepat menyebabkan anda makan berlebihan dan berpotensi untuk cepat lapar. Sebenarnya, otak mengambil lebih masa yang lama daripada perut untuk menerima mesej anda sudah kenyang. Jadi, telan dan kunyah makanan anda perlahan-lahan. Sebelum makan, amalkan meminum air. 
  • Abaikan kepedihan. Bagi mereka yang baru sahaja belajar berpuasa, mereka pasti mengalami pedih akibat lapar. Cuba biarkan sakit itu dan anda pasti akan terbiasa. Bacalah buku atau apa sahaja yang dapat memotivasikan kamu. 
  • Kurangkan karbohidrat, lebihkan protein. Serat adalah senjata utama bagi pengamal diet untuk menahan nafsu makan mereka. Bijirin penuh berkhasiat, rendah lemak dan kaya dengan serat. Bijirin penuh juga bagus untuk menurunkan kalori. Sesetengah sayuran seperti brokoli dan cendawan mengandungi banyak serat, amalkannya untuk membuatkan anda lebih bertenaga walaupun tanpa makanan.





.

Kerajaan arah rakyat kurangkan makan tomato


Kerajaan arah rakyat kurangkan makan tomato | Penduduk Argentina marah selepas diminta mengurangkan makan tomato. Kerajaan meminta warga negara itu melakukannya untuk sekurang-kurangnya dua bulan apabila bekalan berkurangan atas faktor musim. Pegawai kerajaan berkata, semua jenis buah-buahan dan sayur tiada masalah. Tetapi, penduduk dikatakan kecewa kerana tomato biasa digunakan dalam kebanyakan hidangan termasuk membuat sos dan salad.

Argentina juga menghadapi kekurangan tepung selepas hasil bijirin terburuk dalam sejarah menyebabkan harga roti melonjak, satu cabaran bagi tukang masak negara itu. Harga buah-buah juga semakin meningkat menyebabkan pihak berkuasa meminta pengguna mengubah suai resipi dan menggunakan bahan lain. “Atas sebab perubahan musim kerana pertukaran menanam tanaman di ladang, Pasar Utama Buenos Aires memaklumkan orang ramai mengenai kekurangan tomato,” menurut kenyataan Pejabat Perdagangan. - AGENSI





.

Cerita Shila Amzah di Shanghai


Cerita Shila Amzah di Shanghai | Merantau sendirian di Shanghai, China mengaja r Shila Amzah supaya lebih mencintai diri dan menghargai peluang yang datang tanpa dibebani tekanan luar jangkauan. Mengakui agak terkejut pada permulaan, Shila, 22, berkata, dulu dia hanya mengambil ringan teguran terutama daripada keluarga kerana teguh dengan prinsip diri.Shila percaya peminat akan setia berdiri di belakang dan menyokong perjuangannya, tanpa mempedulikan perubahan fizikalnya. Namun sejak bernaung di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG), keselesaannya itu bagaikan disentak terutama apabila didesak supaya segera menurunkan berat badan. Sebahagian besar artis di sana sombong.

Mereka jarang bergaul, terutama dengan kru produksi kerana menjaga status sebagai selebriti" Shila Amzah “Jika terus di Kuala Lumpur, saya mungkin tidak memikirkan semua itu kerana selesa dengan apa yang ada. Saya langsung tidak mempedulikan berat badan yang naik mendadak. “Biarpun merasai pertambahan berat memberi kesan kepada mutu persembahan, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Kejayaan penyanyi bertubuh gempal, Adele menjadi inspirasi. “Tetapi di Shanghai, semuanya berubah. Saya sering diingatkan supaya melihat diri. Membandingkan susuk tubuh saya dengan penyanyi wanita lain di sana, membuat saya tersentak. “Ketika itu, saya mula terfikir supaya mengambil serius teguran yang diberikan.

Mujur juga pengurusan di sana garang, ia secara tidak langsung memberi motivasi untuk saya segera berubah,” kata Shila. Pada permulaan, Shila mengakui agak sulit untuk menyesuaikan diri malah pernah bertanya, mampukah dia melunaskan setiap permintaan? “Mereka meletak harapan terlalu tinggi, membuat saya tercabar. Saya berusaha keras untuk membuktikannya kerana yakin, saya mampu melakukannya. “Alhamdulillah keputusan berhijrah ke Shanghai adalah tepat kerana sejak dua bulan lalu, saya mula nampak perubahan positif dalam diri.“Sejak kembali aktif, saya sudah jarang dihinggapi sakit. Saya juga semakin berani untuk mencuba aktiviti mencabar yang dulu akan saya jauhi,” katanya.

Berhijrah ke Shanghai umpama peringatan kepadanya supaya tidak mengambil ringan setiap perkara dan bekerja keras jika ingin mencapai apa yang diimpikan. Berada di rantau orang kata penyanyi Patah Seribu ini, mengajarnya menghargai didikan yang diterima dalam perjalanan mengejar cita-citanya. “Sebahagian besar artis di sana sombong. Mereka jarang bergaul, terutama dengan kru produksi kerana menjaga status sebagai selebriti.

“Saya pula berbeza kerana terbawa-bawa dengan suasana kerja di sini. Mungkin kerana itu saya disenangi. Saya harus bijak membawa diri. “Seronoknya di sana saya lebih bebas melakukan apa saja aktiviti. Mungkin kerana masih belum popular, jadi tidak ramai yang memberi perhatian. Lagipun jika tidak bekerja, saya jarang mengenakan solekan,” katanya.


Berpuasa di perantauan 

Sempat menyambut Ramadan di Kuala Lumpur, sebelum kembali ke Shanghai, Shila berkata, dia tidak dapat membayangkan suasana puasa di sana. Melihat kedatangan Ramadan sebagai satu rahmat, Shila bagaimanapun gembira kerana terlepas daripada godaan Bazar Ramadan dan itu memudahkannya untuk lebih pantas menurunkan berat badan. “Tidak susah mencari makanan halal kerana di kawasan tempat tinggal ada restoran Muslim. Jika tidak saya akan memasak hidangan ringkas tetapi sihat. “Sejak dipaksa menurunkan berat badan, saya tidak lagi terlalu memikirkan soal makanan. Pulang ke Kuala Lumpur, saya lebih banyak berkurung di rumah berbanding menghabiskan masa di luar.

“Tidak mudah untuk mengawal emosi namun disebabkan keinginan yang tinggi, saya kuatkan juga azam. Alhamdulillah kerana saya mempunyai pembantu peribadi yang sentiasa mengawal pemakanan yang diambil,” katanya. Cuma yang membuat Shila sedikit terkilan kemungkinan untuk mengerjakan solat Tarawih kerana sepanjang Ramadan, dia sudah mula sibuk dengan promosi bergerak. Bersyukur kerana pengurusannya mengambil berat kebajikan dirinya, Shila bagaimanapun, mengakui hatinya berbelah bagi mengenangkan kesukaran yang bakal dialami.

“Pengurusan ada bertanya apakah saya mampu untuk bekerja nanti? Saya tiada masalah, biarpun terikat dengan jadual kerja yang ketat. “Saya juga tidak dapat bercuti lama untuk menyambut Syawal. Saya terpaksa merayu untuk memohon pelepasan, mujur diluluskan biarpun dalam tempoh singkat. “Saya faham kerana pengurusan sudah melabur banyak untuk melihat saya berjaya menawan pasaran di sana. Untuk sementara waktu, saya sedia berkorban,” katanya.






.

Seorang atlet tak sangka dia hamil, sedar-sedar sudah melahirkan


Seorang atlet tak sangka dia hamil, sedar-sedar sudah melahirkan | Trish Staine (33), berasal dari Duluth, Minnesota, menyangka sakit punggung yang dideritanya adalah biasa setelah melakukan larian setengah marathon. Ibu dari tiga anak ini mengatakan bahawa dia tidak menyangka dirinya sedang hamil, kerana berat tubuh tidak bertambah serta tidak memiliki tanda-tanda seperti sedang hamil. Bahkan suaminya telah melakukan vasektomi.

Namun setelah sakit punggungnya semakin parah, dia pun memutuskan untuk memeriksa diri di hospital. Dia terkejut ketika pihak hospital mengatakan bahawa dia sedang hamil dan akan segera melahirkan. Meskipun dia menyangkalnya, namun dia segera dibawa ke ruang bersalin. Lima minit kemudian lahirlah seorang bayi perempuan dengan berat 3.3 kg. Staine mengatakan suaminya terkejut ketika mendengar anaknya lahir. -AP






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!