Friday, July 26, 2013

Cerita terkini siri realiti keluarga Kardashian


Cerita terkini siri realiti keluarga Kardashian | Kim Kardashian bersama anggota keluarganya merancang untuk menamatkan siri realiti mereka pada 2015. Bintang realiti televisyen itu dan ibunya mahu rancangan yang disiarkan di rangkaian E! dengan dibintangi oleh Khloe Kardashian , Kourtney Kardashian, Bruce Jenner, Kylie Jenner, Kendall Jenner dan ramai lagi ditamatkan pada ranking yang tinggi. ''Ia telah menjadi realiti francais terunggul sepanjang masa, Kim dan Kris mahu memastikan pengakhiran mereka dibuat ketika sedang di puncak, meninggalkan peminat yang mahukan lagi, daripada cuba dan meneruskan rancangan untuk beberapa musim lagi dan membiarkan rancangan itu 'mati' begitu sahaja.

 ''Selain itu, mereka sedang meneroka pilihan dan peluang-peluang baharu dengan Kim mahu menjaga anak perempuannya bersama Kanye, manakala Kris pula memberi tumpuan dalam bidang pengacaraan dan mungkin akan menghasilkan filem yang membolehkannya memenangi Oscar pada satu hari nanti,'' jelas sumber. Mereka juga telah menghasilkan wang yang banyak sehingga tidak perlu lagi bekerja. ''Jika mereka mahu berehat daripada rancangan itu, Ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan,'' katanya lagi. - AGENSI





.

Kisah terkini pelakon Haliza Misbun


Kisah terkini pelakon Haliza Misbun | Lama juga kita tidak mendengar khabar dramatis popular sekitar 90-an yang seorang ini. Siapa yang boleh lupa pada Haliza Misbun, seorang pelakon wanita penuh attidude. Bertemu beliau baru-baru ini, kami sempat bertanyakan khabar dan perkembangan terkini dirinya. Jelas Haliza, meskipun telah mencecah usia 40 tahun tetapi jiwa dan semangatnya tidak pernah tua. Malah pelakon yang pernah membintangi filem Andartu Terlampau ini sentiasa teruja, bersemangat dan lebih matang. Tiada rahsia awet muda, sebaliknya beliau mengamalkan senaman jogging setiap hari sejak 10 tahun dulu. "Saya seronok dan sentiasa menikmati kehidupan solo saya. Saya sentiasa ada aktiviti yang saya nak buat. Saya dikelilingi oleh kawan-kawan, keluarga dan anak-anak buah. Say tak pernah rasa sunyi.

"Tak ada rahsia apa pun. Dari dulu lagi saya memang amalkan berjongging", katanya yang kini nampak lebih langsing. Meskipun belum berumah tangga namun Haliza dia tidak pernah berasa sunyi. Sebaliknya wanita ini sangat menikmati kehidupan solonya. Namun, katanya, beliau tidak menolak jika ada lelaki yang sudi dan sanggup untuk berkahwin dengannya. Mengakui sebelum ini beliau memang cerewet dalam memilih pasangan kerana Haliza lebih tertarik dengan orang luar. Tetapi tapi sekarang kakak kepada pelakon Amanda Misbun ini tidak kisah lelaki berbangsa apa pun yang mendekatinya asalkan lelaki itu bukan suami orang.

"Kalau ada lelaki yang betul-betul ikhlas dan yang boleh saya get along, saya akan menerimanya. Saya dah bersedia untuk berkahwin. Tapi saya tak akan menerima lelaki itu kalau dia bersatus suami orang", katanya yang sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan aktor dari Indonesia, Ari Wibowo. Pekembangan lain, Haliza akan melancarkan novel pertama nukilannya bertajuk Cinta Rimau, selepas hari raya Aidilfitri nanti. Selain itu beliau akan menerbitkan sebuah program khas untuk wanita, Citra Wanita di saluran RTM. "Dah lama tak berlakon. Jadi cara saya curahkan segala kreativiti saya adalah dengan menulis novel. Novel ni bukan tentang diri saya tapi ia sebuah novel fiksyen dan mistik", terangnya. -mD






,

Tragedi : Anggota tentera maut dipanah petir ketika latihan


Tragedi : Anggota tentera maut dipanah petir ketika latihan | Seorang anggota tentera maut manakala rakannya cedera akibat dipanah petir ketika menjalani latihan hutan di kawasan air terjun berhampiran Kampung Temenin Baru, dekat sini semalam. Mohd. Razid Sadiran, 25, dari Markas 6 Renjer yang berpangkalan di Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Azwan Abdullah, 25, dari Markas 14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Gemas, Negeri Sembilan, dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT). Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa bersama 11 anggota lain merupakan pasukan pendahulu bagi membuat persiapan sebelum pasukan lain tiba untuk latihan hutan selama seminggu di situ. Kejadian malang yang menimpa kedua-dua mangsa hanya disedari anggota lain apabila mereka tidak muncul pada waktu berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd. Nor Rasid yang mengesahkan kejadian itu berkata insiden berlaku ketika hujan lebat apabila mangsa sedang bersiap-siap mendirikan khemah di lokasi kejadian. "Jenazah Allahyarham Mohd Razid dihantar ke Unit Perubatan Forensik HKT untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang dengan van jenazah tentera ke Pusat Latihan Pulada untuk pengurusan jenazah malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Jenazah anak kelima daripada sebelas beradik itu dibawa ke rumah keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Nita, Mersing. - BERNAMA




P/S - Gambar hiasan sumber google




.

Keburukan instagram


Keburukan instagram | Seorang penulis majalah di Amerika Syarikat menyifatkan laman perkongsian gambar Instagram menggalakkan orang ramai menunjuk-nunjuk gaya hidup mereka. Jessica Winter daripada majalah Slate dalam artikelnya berkata, Instagram yang berasaskan gambar memudahkan orang ramai untuk menunjuk-nunjuk, dan sekali gus memberi tekanan kepada orang lain. Malah, laman perkongsian gambar itu kini menjadi rangkaian media sosial yang kuat memberi tekanan jika dibandingkan dengan Facebook, katanya. Dia mendakwa, Instagram telah mengambil alih kedudukan Facebook sebagai laman sosial yang membuatkan orang berasa tertekan dan tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki.

Katanya, ini berlaku apabila seseorang itu melihat gambar rakan mereka atau orang lain yang dipos di Instagram yang menunjukkan keindahan hidup mereka yang seterusnya menimbulkan perasaan cemburu. Winter turut berbincang dengan profesor-profesor psikologi dan komunikasi yang pernah membuat kajian tentang kesan Facebook dalam usaha untuk menguatkan dakwaannya itu. Alasan utamanya adalah dia percaya Instagram sangat memberi tekanan kerana laman itu menggabungkan tiga aspek terburuk yang mencetuskan perasaan iri hati.

Dakwaan Winter turut disokong oleh Hanna Krasnova dari Universiti Humboldt, Berlin yang menyatakan gambaran tersurat dan tersirat tentang orang bahagia, kaya dan berjaya lebih banyak diperolehi daripada gambar berbanding pos status terkini. "Jika anda melihat gambar rakan anda yang cantik di dalam Instagram, satu cara untuk bersaing ialah pos gambar anda yang lebih baik dan rakan anda pula akan melakukan perkara yang sama dan ia akan berterusan," katanya. - AGENSI






.

Lelaki ini kejam dan tidak berperikemanusiaan


Lelaki ini kejam dan tidak berperikemanusiaan | Seorang lelaki menghempas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menyebabkannya menemui ajal selepas ibu mangsa enggan memberi laluan kepadanya untuk meletak kereta. Lelaki itu dikenali sebagai Han, mahu meletak kereta dekat perhentian bas namun wanita itu enggan beredar kerana sedang memeriksa anak perempuannya ketika itu, lapor akhbar Beijing Times, memetik seorang saksi sebagai berkata. Han berusia awal 40-an, keluar dari kereta Hyundai Sonata, memukul wanita itu sebelum menarik kanak-kanak itu keluar dari kereta sorong, memegangnya dan menghempasnya, kata saksi, seorang pemilik gerai jalanan, Zhou.


Tak menangis 

“Bayi itu tidak mengeluarkan suara selepas dijatuhkan dan tidak juga menangis kerana sakit,” lapor akhbar yang memetik Zhou sebagai berkata. Seorang lagi lelaki keluar dari kereta sama dan turut memukul ibu mangsa sebelum mereka pergi dari situ, tambahnya. Wanita berkenaan kemudian bergegas membawa anak kecilnya yang berada dalam keadaan kritikal ke hospital berhampiran. Bagaimanapun, kanak-kanak itu menemui ajal ketika dipindahkan ke sebuah hospital lain, menurut laporan. Polis kemudian menemui Han yang dibebaskan dari penjara tahun ini selepas menjalani hukuman kerana mencuri, di sebuah rumah mandian air panas dan menahannya, kelmarin. Dia mungkin didakwa kerana membunuh, lapor akhbar yang memetik pakar perundangan sebagai berkata. Ini bermakna, lelaki itu ada kemungkinan dikenakan hukuman mati mengikut undang-undang yang ada. Ketegangan sosial memuncak di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan jurang pendapatan meluas dan penyalahgunaan kuasa. - AFP






.

Isteri masih dalam pantang, suami kantoi tidur dengan perempuan lain



Isteri masih dalam pantang, suami kantoi tidur dengan perempuan lain  | Seorang isteri yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak terkejut apabila melihat suami separuh bogel bersama seorang perempuan warga Vietnam di atas katil biliknya. Cheang Keng Siuk,31, berkata,dia tergamam dan terkejut apabila melihat suaminya sedang tidur bersama dengan perempuan lain dalam bilik tidurnya baru-baru ini. Menurutnya, kejadian tersebut berlaku semasa dia pulang ke rumah untuk mengambil pakaian kerana tinggal di rumah emaknya apabila masih dalam tempoh berpantang melahirkan anak yang baru berusia 12 hari. “Pada hari kejadian, saya dikejutkan dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku di rumah saya dan saya sempat merakam gambar mereka berdua dalam keadaan separuh bogel.

“Bagaimanapun, tindakan saya disedari oleh perempuan tersebut yang terus mengejutkan suami tetapi saya sempat keluar dari rumah dan menyelamatkan diri apabila cuba dikejar oleh suami” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Dun Teratai, semalam. Keng Siuk berkata, dia berasa perkahwinannya tidak boleh diselamatkan lagi dan ingin berpisah dengan suaminya kerana hubungan mereka sudah tiada masa depan lagi. Katanya lagi, dia sudah putus asa dan mahu berpisah serta menuntut nafkah yang setimpal bagi perbelanjaan dua anaknya setelah berhenti kerja apabila dipaksa oleh suami sebelum ini. “Suami saya juga tidak mahu bersama dengan saya lagi dan mahu memberi duit nafkah sebanyak RM500 tetapi saya tidak bersetuju dengan jumlah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Adun Teratai, Tiew Way Keng berkata, sebelum ini, kedua-dua pihak tersebut telah berjumpa dengannya dan berbincang berhubung masa depan perkahwinan mereka. Katanya, isu di sini adalah campur tangan oleh pihak ketiga iaitu perempuan warga asing dalam rumah tangga pasangan ini dan kedua-duanya mahu berpisah setelah tiada kepercayaan lagi antara satu sama lain. “Bagaimanapun, saya menasihati pasangan ini supaya bertenang dan tidak mengambil keputusan terburu-buru kerana mereka mempunyai anak yang kecil,” katanya. Way Keng berkata lagi, dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya menggariskan satu panduan atau undang-undang berhubung isu sosial yang semakin berleluasa terutamanya kehadiran warga asing ke negara ini. -MD





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!